Hero Kampung (Bab 2)


BAB 2
LELAKI itu melangkah ke arahnya dengan langkah malas. Senyuman nakalnya sudah terbit. Dari gayanya, memang semua orang akan cap yang dia itu seorang bad boy. Berbaju t pagoda putih yang berleher luas. Tak dimasukkan habis ke dalam seluar jeans lusuhnya yang terkoyak-koyak. Rambut serabai. Pencungkil gigi, entah dari mana dia dapat itu digigit-gigit. Jambang yang mungkin lewat cukur dalam masa kurang seminggu kelihatan meliar di pipinya.
Fatiha berundur setapak demi setapak. Takut juga dia. Senyuman lelaki itu semakin melebar. Pencungkil gigi diludah ke tanah. Dah macam hero filem tamil pula lagaknya. Siap dengan angin sepoi-sepoi lagi mengibas rambutnya yang agak panjang itu. Kedua belah tangan masih digari di depan. Lengannya ditarik oleh seorang polis yang kelihatan lebih tua daripadanya.
Tapi kaki dia tetap juga melangkah ke arah Fatiha. Berdegil, menongkah arus. Kalau ada rentak yang mengiringi langkah lelaki itu sekarang, Fatiha rasa mungkin rentak awal lagu rock Smoke On The Water sesuai dengan situasi ini. Ish! Tak pasal-pasal bulu romanya meremang.
“Sinilah!” sekali lagi polis pengiring menarik lengannya namun ditepis oleh lelaki itu dengan sikunya. Dia nak bercakap dengan gadis tadi! Tiada sesiapa yang boleh menghalang keinginannya.
“Ish! Tepilah kau, sibuk aje!” marah lelaki itu pada polis pengiringnya. Fatiha menggeleng-gelengkan kepala dengan tahap biadap lelaki itu. Memang teruk sangat perangainya!
“Hai... kuat jodoh kita.” Tegur lelaki itu apabila mereka bertentangan.
“Euuu, please.” Ter…keluar pula perkataan itu dari mulutnya. Fikirnya, dia hanya akan mendiamkan diri dan berpura-pura bisu di hadapan lelaki tak bermoral itu. Polis yang mengheret lengan lelaki itu tadi hanya tergelak dengan reaksi spontan Fatiha.
“Eleh, jual mahal… mujur lawa…” lelaki  itu  tersengih lagi macam kerang busuk.
“Tepilah! Orang nak lalu!” marah Fatiha bila laluannya terhalang dek kewujudan lelaki itu. Lelaki itu menghalang langkahnya. Kalau dia ke kiri, lelaki itu turut ke kiri. Begitu juga dengan sebaliknya. Sengaja tak nak bagi dia laluan.
“Tepilah!” jerkah Fatiha. Lelaki itu tersenyum-senyum nakal.
‘Garangnya cik adik manis ni…’
“Sayangnya. Muka lawa… tapi…” tak sempat dia nak habiskan ayat, seseorang sudah menyampuk.
“Mana kroni-kroni Hero? Alah! Tak syoklah kena tangkap sorang-sorang! Kosonglah trak tu.” sindir satu suara. Fatiha berpaling. Terkejutnya dia melihat Inspektor Ismail tadi menegur lelaki itu. Hero? Siapa? Takkanlah ini…
Oh, boy…” macam betul aje tekaan dia.
‘Sungguh ni? Kenapa rupa diaorang tak ada ‘match’ langsung?’ gumam Fatiha di dalam hati.
“Bah. You miss me?”  soal Hero kepada ayahnya. Nak gugur jantung Fatiha dengan ‘kebetulan’ itu. Tumpuan Hero beralih kepada ayahnya, manakala Fatiha kekok sendiri di tengah-tengah. Macam mana dia nak lari?
“Macam mana boleh kena tangkap sorang-sorang aje ni?” soal Ismail lagi.
“Dia seorang je yang bersantai dekat situ. Siap nyalakan rokok lagi, macam ternanti-nanti bila nak ditangkap. Yang lain cabut lari tak sempat nak kejar. Rasanya ada spy beritahu diaorang kut.” Anwar bersuara bagi pihak Hero.
“Kenapa tak lari sekali?” soal Ismail kepada anaknya. Dia geleng kepala. Dah ada peluang, dia tak lari pula.
“Allah, Bah… nak lari buat apa? Diaorang dah kenal muka aku. Bazir tenaga je kalau lari pun. Biarlah. Dah dua bulan aku tak naik trak tu. Rindu.” Macam tak serius saja jawapannya.
Sebenarnya, dia sibuk mengutip duit hasil menang judi tadi. Bila dia hampir sampai ke motornya untuk melarikan diri tadi, polis pula dah sampai. Dah alang-alang polis tengok muka dia, biarlah. Malas nak lari, jadi dia relakan saja. Hari itu dia menang besar, jadinya mood dia agak baik.
Bila mood dia baik, dia rasa nak bertegur sapa dengan pihak polis yang menyerbu tempat mereka berjudi itu. Tapi sayang, sekarang wangnya dirampas pula. Dia dah menang besar pun tadi. Habis wang yang disorokkan di bawah seat motor dirampas sama.
“Rindu kepala otak dia.” Tak sangka Fatiha termenyampuk. Geram dengan cara lelaki itu bercakap. Sambil lewa betul. Macam tak ambil serius langsung dalam setiap perkara dalam hidupnya. Memang Fatiha cukup menyampah dengan lelaki begini. Tak ada tanggung jawab dan tak ada masa depan.
“Eh, awak. Lupa ada awak. Bah, aku kenalkan… girlfriend aku. Nama dia… kejap, nama awak apa ya, sayang?” Hero angkat kening. Terlupa yang dia masih belum berkenalan dengan gadis di hadapannya itu.
Eeeuuuu.” Sekali lagi Fatiha buat muka meluat. Geli sungguh dia dengan lelaki itu. Lantaklah anak inspektor ke anak doktor ke. Dia tak suka!
“Jangan eeuuu sangat, yang. Nanti kita naik pelamin sekali, tau?” giat Hero.
Fatiha rasa nak termuntah sangat. Kenapa kakinya macam terpacak kukuh di situ? Tak boleh nak bergerak langsung! Inilah kali pertama dia tengok seorang lelaki mengurat di depan abahnya. Sudahlah lelaki itu ditangkap oleh orang bawahan abahnya. Gila!
Kalau hantar cerita ni dekat Ripley’s Believe It Or Not pun rancangan tu sanggup beli dengan harga satu juta!
“Hero…” tegur Ismail. Malu dia pada gadis itu dengan perangai tak matang anaknya.
“Nama saya, Hero. Nama sebenar Hairul Azam bin Rashid. Ini bapak saya. Tuan Ismail.” Hero memperkenalkan diri tanpa memperdulikan ayahnya.
Kening Fatiha berkerut. Bapak? Ismail. Tapi kenapa berbinkan Rashid? Anak luar nikah ke?
“Ayah tiri saya ni, sayang.” Gulp! Tiba-tiba dia rasa bersalah sebab dah fikir yang bukan-bukan.
“Tak tanya pun.” Fatiha mencemik. Hero merapati Fatiha sehingga bahu mereka berlaga. Fatiha ketap bibir. Takut diapa-apakan walaupun lelaki itu bergari. Tapi kenapa dia tak boleh bernafas normal pulak ni?
Lelaki itu tak berbau busuk macam orang mabuk pun. Wangi gila. Macam bau perfume Paco Rabbane, Invictus. Sekejap saja dia boleh cam bau lelaki itu sebab dulu dia pernah bekerja di Sephora ketika di KL.
“Muka awak nak tahu sangat tu, sayang.” Hero berbisik di sebelah telinganya. Siap dengan pakej kucup cuping telinga dia lagi. Mata Fatiha membesar dengan jayanya!
“Argh!” Fatiha terjerit, serentak itu tangannya naik ke pipi lelaki itu. Pang! Dia rasa nak samak di situ juga!
Hero hanya tersenyum walaupun dilempang gadis itu. Lempang manja… bisik hatinya.
Senyuman nakalnya itu yang menambahkan rasa bengang Fatiha. Kenapa dia tak sepak aje anu lelaki itu? Berani Hero mencabul dia! Tanpa sedar, air matanya bertakung. Dia takut. Gila seks punya lelaki! Kalau Izzul ada ni, memang pecah muka lelaki itu! Dia tak hairan kalau terpaksa ikat jamin Izzul untuk sekali lagi. Menyesal dia tak tunggu Izzul dulu tadi.  
“Hero!” jerkah si abah tirinya. Serentak itu telinga Hero dipiat-piat oleh si abahnya macam budak kecil. Hero mengaduh kesakitan. Tiada apa yang dia boleh buat dengan tangan bergari itu.
“Mintak maaf sekarang!” Ismail nampak garang sungguh. Hero tergelak saja melihat amarah bapa tirinya. Lucu. Bapa tirinya tak sesuai jadi garang begitu. Nampak macam kartun!
“Kenapa? Aku tak buat salah…” selamba badak sahaja jawapan yang diberi.
“Boleh tanya kenapa?” gigi Ismail sudah terkacip geram.
“Dah, Nuar, tolong bawak dia masuk. Naya dekat anak dara orang. Semua orang nak dikacaunya.” Arah Ismail. Bengang dengan anaknya yang tak pernah serius itu. Anwar mengheret Hero masuk.
“Bukalah dulu gari ni… aku nak mintak nombor dia.” Hero meronta-ronta.
Takde, takde. Mati hidup semula pun dia takkan bagi. Takde sesiapa nakkan orang perangai buruk macam kau.” Anwar mengutuk selamba lantas diheret Hero ke dalam balai.
Ismail menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tunduk, picit dahi. Pening kepala dia dengan perangai anak terunanya yang itu.
“Maafkan anak saya ya? Dia memang macam tu. Nakal sangat. Sebelum ni dia tak pernah buat perangai pervert dia tu. Maaf sangat-sangat ya?” Ismail serba-salah. Kesiannya dia pada gadis itu. Tentu trauma.
Air mata gadis tadi sudah meleleh. Malu sebenarnya dengan lelaki tua itu. Dia dikucup di khalayak ramai. Berani betul Hero!
“Aduh, apa aku nak buat ni?” Ismail garu kening. Kelam-kabut sebaik sahaja tengok hidung kecil gadis di hadapannya itu mula memerah dan kembang-kuncup.
Fatiha tak mampu bersuara. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya saja. Tak terluah untuk dia bersuara. Fatiha mengesat air matanya sebelum berlalu meninggalkan Ismail. Debaran di dada tak surut-surut.
Ismail terpinga-pinga.
“Hero…” gigi terkacip menyebut nama anaknya. Siaplah kejap lagi…

“HERO dah gila ke? Kenapa buat perangai tak bermoral macam tu? Depan orang pulak tu! Tak rasa malu ke? Muka aku ni malu gila tahu?” Ismail berleter. Geram dia dengan perangai Hero yang terlalu buruk itu.
“Buat apa?” Hero buat-buat tak faham. Menyampahlah. Dia bukannya peluk gadis itu pun. Kalau tangannya tak bergari tadi, mungkin dia peluk. Tapi masalahnya sekarang, tak. Ayah dia bereaksi seolah-olah dia dah cabul gadis tadi.
“Macam mana kalau dia buat report? Makin lamalah nanti Hero duduk dekat dalam ni. Ada otak tak nak guna! Geramnya aku!” ditenyeh kepala Hero dengan geram. Hero pula menahan diri dari gelak. Dia tahu ayahnya serba-salah dengan keadaan tadi.
“Alah, tak ada apalah tu, bah. Dia over je tu. Padahal suka.” Hero tayang sengih nakalnya.
“Suka kepala kau! Sampai menangis macam tu pun kau kata dia suka? Budak tu trauma dibuatnya.” Bebel Ismail. Hero senyum lagi. Iyalah tu trauma. Takkan tak suka kena cium dengan seorang superhero macam dia?   
“Ni akulah… Hero kut yang cium dia? Mesti dia bangga.” Hero mengangkat bakul sendiri.
“Heee, apa aku nak buat dengan anak aku ni, Nuar?” soal Ismail buntu. Digaru-garu kepalanya dengan penuh serabut. Dia takut termati kata kalau terserempak dengan Izzul nanti. Izzul mesti akan cari Hero sehingga ke lubang cacing punya bila dapat tahu Hero dah cium adik dia!
“Kalau abang dia dapat tahu, teruk Hero kena belasah. Abang dia ada dekat sini. Abah tak rasa Hero selamat kalau benda ni sampai ke pengetahuan abang dia.” Ismail berkata risau. Dia tahu Izzul itu mempunyai baran yang sangat tinggi.
Bagaimana dia tahu? Lihatlah pada keadaan orang yang dibelasah Izzul kes sebelum ini. Ada yang rongak. Ada yang duduk di hospital. Padahal dia seorang saja yang berlawan.
Bagaimanalah nasib Hero kalau Izzul dapat tahu tentang hal itu?
“Rilekslah. Dah nama pun Hero. Hero nak takut apa?” Hero mencemik.

“WEH, KAU? Hero!!! Kau kat sini jugak? Allah! Lamanya tak jumpa kau!” teguran itu mengejutkan Hero. Dan Ismail. Ismail gigit penumbuk. Habislah! Mereka saling berkenalan pula tu! Macam mana kalau Izzul tahu tentang Hero yang dah mencabul adiknya?
Hero pula nampak tergamam dengan teguran lelaki itu. Dia berkerut. Cuba mengecam wajah lelaki di hadapannya. Kemudian mukanya bercahaya.
“Kau? Izzul! Weh, Izzul lah, gila! Lama gila tak jumpa kau, Zul! Besar dah anak asuhan aku…” Dia cuba mendepangkan tangan untuk memeluk tubuh lelaki itu tetapi tak berjaya. Dia masih digari! Sakit pergelangan lengannya akibat tindakannya itu.
“Opps, sorry.” Dia buat muka sambil menayang gari di tangannya.
Izzul ketawa. Dia menghampiri Hero dan memeluk tubuh sahabat lamanya itu. Bahu Hero ditepuk-tepuk. Ismail pula, terus membeku. Macam tertelan tanah. Maknanya Hero dan Izzul dah lama tak jumpa. Anak asuhan? Ada saja panggilan lucu untuk sahabat-sahabatnya. Hero… Hero…
Janganlah Hero pergi cerita tentang perbuatannya tadi dekat Izzul. Dari gaya Hero tu macam dia tak tahu gadis tadi itu adik kepada Izzul.
“Macam ini punya wangi pun boleh kena tangkap?” soal Izzul. Dipicit-picit bahu Hero, masih tak percaya rakannya lamanya wujud di depan mata. Siapa sangka? Rakannya yang sama-sama memanjat pagar sekolah untuk memonteng dulu kini berada di depan matanya? Di balai pula tu!
“Alah, biasalah…” Hero sengih-sengih. Tak namanya Hero kalau tak masuk lokap. Fikirnya.
“Salah apa kau dah buat?” soal Izzul sambil tergelak.
Dia langsung tak rasa kekok menyoal walaupun mereka sudah lama terpisah. Terasa macam waktu sekolah dulu, ketika mereka berjumpa di bilik guru disiplin atas alasan merokok dan memonteng. Kena rotan pun masih boleh terkekeh-kekeh gelak. Kena berdiri depan perhimpunan dari pagi sampai matahari mencanak naik ke atas kepala pun masih boleh bergurau senda.
Seronok sungguh bila ada kawan yang tiga suku macam Hero. Hal yang teruk pun terasa senang bila ada kawan yang payah nak serius itu.
“Alah… main 21 aje pun.” Hero sengih. Izzul kerut kening. Apa benda tu?
“Judi.” Ismail yang mendengar kini menyampuk. Izzul ternganga. Judi? 21? Blackjack. Oh! Terup. Dia tergelak besar. Tak sangka, bila dah besar pun Hero masih tak jadi apa. Zero!  
“Macam mana boleh kena tangkap? Kau memang dari kecik kan buat salah tapi tak pandai nak lepaskan diri?” sindir Izzul. Balik-balik, muka Herolah yang kantoi memonteng dan merokok. Nama aje Hero. Tapi tak pandai langsung nak selamatkan diri.
“Eleh, kau pun sama! Kalau tak ada orang perumahan tu yang buat report pasal kitaorang melepak, memang tak kantoi punyalah. Aku tengah menang besar tadi. Lahanat betul!” maki Hero. Geram bila wangnya dirampas!
“Ya Allah, tengah hari pun kau berjudi?” terjojol mata kawannya apabila mendengarkan kata-katanya yang penuh selamba itu.
“Duit, Zul. Kita perlukan duit setiap masa. Kau pulak macam mana boleh ada dekat sini? Kau datang buat report ke buat salah?” soal Hero pula. Ismail yang mendengar hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Sudahnya, dia hanya menjadi pendengar dan pemerhati kepada dua sahabat yang lama terpisah itu.
“Oh. Aku… aku gaduh sikit dengan budak. Biasalah…” Izzul garu kening. Dia memang terkenal dengan sikap barannya. Pantang orang usik sikit, mudah sangat nak melenting. Tapi kali ini, dia melenting sebab dia benar!
“Eleh, kau pun dua kali lima sepuluh aje dengan aku. Kejap, macam mana kau boleh lepas eh?” terkejut juga dia melihat Izzul yang tak bergari, macam sedang bersiap-siap nak balik aje.
“Adik aku ikat jamin.” Izzul sengih. Bangga dia ada adik macam Fatiha. Selalu ada ketika dia memerlukan.
“Adik kau? Ti’ah? Jihah?” soal Hero. Setahunya, lelaki itu hanya ada dua orang adik. Itupun kedua-duanya perempuan. Entah macam manalah rupa adik-adik Izzul tu sekarang?
“Ti’ah. Jihah meninggal dah tiga tahun lepas dengan arwah abah aku. Accident.” Cerita Izzul. Wajahnya nampak biasa saja. Mungkin sebab dah lama peristiwa itu berlaku. Wajah Hero pula yang berubah.
Dia bukanlah rapat sangat dengan Jihah ataupun Fatiha. Fatiha sering juga jadi bahan ejekannya dulu disebabkan tubuhnya yang gebu. Tapi kalau arwah Jihah, dia tak pernah pula bergurau senda. Mungkin sebab Jihah pada waktu itu sudah agak dewasa. Dia jadi segan nak menyakat Jihah yang muda dua tahun daripadanya.
Tak sangka, Jihah dah tak ada. Dulu waktu remaja, pernah juga dia pandang-pandang arwah Jihah tu. Lawa.
“Oh… sorry aku tak tahu. Berapa lama dah kita tak jumpa weh?” dia mengubah topik.
“Adalah dalam sepuluh, sebelas tahun tak?” Izzul berkerut. Ismail terangguk-angguk sendiri. Faham dah sekarang kenapa Hero boleh tak cam adik Izzul tadi.
“Lebih kuranglah. Eh kejap. Budak… oh. Tadi adik kau agaknya…” tiba-tiba, liur ditelan terasa pahit. Teringat pada satu-satunya orang perempuan yang keluar dari balai itu tadi.
Bila terkenangkan raut wajah gadis tadi, macam ada iras saja dengan muka Izzul. Alamak! Dia dah curi cium telinga gadis tadi. Okey, seram… Dia geram sangat tadi! Dia sendiri pun tak sangka yang mulutnya gatal pergi cium cuping telinga gadis itu.
“Ti’ah? Kau terserempak dengan dia ke?” semakin bergemuruh Hero mendengar soalan Izzul itu. Ismail sudah tersenyum senget. Mengejek anaknya.
“Yelah kut. Pakai baju merah. Lipstick coklat pucat. Eyeliner tajam yang mampu membunuh sesiapa yang memandang.” Lengkap dia menggambarkan gadis tadi.
“A ah. Sah, dia.” Adeh! Kali ini, dia rasa bagai dihempap batu besar di kepala. Kalau Izzul tahu ni, memang nahas dia. Nanti dia kena minta maaf dengan Fatiha sebelum Fatiha buat report dekat abang dia.
“Aku mengurat dia. Dia buat muka meluat. Aku sedar. Siapalah nak pandang lelaki yang bergari macam aku ni kan...” Hero cuba berlagak selamba. Macam tak ada apa yang berlaku. Dia perasan badan Ismail terhinggut-hinggut ketawakan dia tanpa suara.
Mesti bapa tirinya mengejek dia. Cium adik kawan sendiri. Alah, losernya.
“Kihkihkih! Padan muka. Sedar pun. Meh aku share tips untuk mengurat perempuan.” Izzul tepuk bahu Hero.
“Apa dia?” Bukannya dia tak hebat pun dalam hal mengurat perempuan. Tapi dari gaya Fatiha melayannya, macam payah aje nak mengurat gadis itu. Lebih baik dia belajar dari Izzul cara-cara nak menangi hati Fatiha.
“Pertama, gunakan mulut manis kau tu untuk mengurat perempuan lain. Jangan mengurat adik aku. Aku takkan benarkan.” GULP! Rasa macam ada ketulan batu di lehernya. Terkejung dia di situ.
‘Matilah nak! Aku dah cium pun adik kau tu. Siapa suruh comel sangat?’
“Hahaha! We’ll see.” Dia ketawa dengan dada bergemuruh. Ismail pula memandang ke arah lain dan tergelak lagi. Tak sabar dia nak padankan muka Hero. Sesiapa pun tak nak jadikan Hero adik ipar atau menantu! Perangai macam hantu.
Izzul tak benarkan? Mengurat Fatiha mungkin mengambil masa yang lebih lama dari yang Hero jangkakan. Fatiha tak suka dan Izzul tak benarkan. Tapi dia suka. Bila dia suka, dia sanggup merintangi segala cabaran.
Bibirnya terukir senyuman nakal. Cabaran itu yang dia suka. Dan… bukan namanya Herolah kalau dia tak buat apa yang dilarang.
We’ll see.”
“Berapa lama kau balik kat sini, Izzul?” Hero mengubah topik. Sekarang, dia rasa perutnya macam disengat seribu ekor tebuan.
“Aku dah pindah sinilah weh. Mak aku nak duduk sini semula.” Hero lega mendengarnya… itu bermakna yang Izzul dan Fatiha akan menetap di situ. Bolehlah dia selalu berjumpa dengan Fatiha.
“Oh yeke?” kenapalah baru hari ini mereka terserempak?
“Dah setahun pun aku kat sini.” Ujar Izzul lagi.
“Setahun? Tak pernah jumpa pun!”
“Itulah… aku ingatkan kau dah duduk tempat lain. Budak-budak sama nakal dengan kita dulu semuanya aku dah tak tahu khabar berita.” Izzul sendiri pun memikirkan hal yang sama.
“Aku dah kurang keluar melepak kat Lipis. Sebab tu kut? Dekat Padang Tengku dah ada tempat lepak. Tak macam dulu.”
“Ha ah. Aku pun lepak kat Kampung Gua tu ajelah. Banyak kedai makan. Patut pun tak jumpa-jumpa dengan kau. Tak sangka last-last, dekat sini kita jumpa. Lepas ni bolehlah jumpa lagi. Kat luar balailah pulak harapnya. Aku pun dah stay kat sini. Bolehlah melepak sama-sama.” Izzul merancang perjumpaan seterusnya. Senyuman Hero semakin melebar.
Itu yang dia nanti-nantikan!
“Baguslah. Kau duduk dekat mana?” terus tanya rumah. Tak mainlah melepak dekat kedai makan dah. Rancangan dah berubah.
“Dekat rumah aku dululah. Mana lagi nak duduk?” soalan dibalas soalan. Tak mengesyaki apa-apa.
“Cantik!” Hero petik jari. Sekurang-kurangnya Hero tahu di mana dua beradik itu tinggal. Di Kampung Gua.
Boleh dia cari Fatiha dan minta maaf dengan Fatiha. Tak. Dia tak pernah menyesal pun sebab dah cium telinga gadis itu. Kalau dia tak bergari tadi, mesti dia dah peluk-peluk Fatiha. Comel gila! Dia berharap mereka dapat berjumpa lagi. Itu saja. Pedulilah kalau dia didebik Izzul pun. Bukannya dia tak biasa didebik pun.
Kalau Izzul serabut sangat dengan dia, dia rela dinikahkan dengan Fatiha.  
Nikah? Semenjak bila dia berfikir pasal nikah? Terkejut sendiri Hero dengan pemikirannya. Ah, mengarutlah! Takkanlah tiba-tiba aje dia nak menikah dengan Fatiha? Setakat jadi awek tu, bolehlah.
“Pun masih, kau tak boleh mengurat adik aku.” Izzul sekali lagi menepuk bahu Hero. Dia takkan gadaikan masa depan adiknya untuk seorang lelaki seperti Hero. Tidak sama sekali! Dia kenal Hero bagaimana orangnya. At least, dia pernah kenal rapat dengan Hero. Dan sekarang mereka bertemu di balai polis. Sebagai banduan pula tu.
“Alah, janganlah weh. Kau wali aku…” gurau Hero.
“Wali, puih! Entah bila kau boleh keluar, ada hati tu.” Izzul tayang muka meluat.
“Aku dah boleh lepas dah ni. Bapak aku ada.” Yakin saja Hero bersuara. Sekejap lagi gerenti dia boleh dilepaskan begitu saja. Ujian air kencingnya sentiasa negatif. Dan duitnya juga sudah dirampas. Sepatutnya, mudahlah untuk dia dilepaskan.
“Bapak? Bukan bapak kau dah tak ad…” pelik juga Izzul. Setahunya Hero itu anak yatim dulu.
“Bapak tiri… Inspektor Ismail.” Sampuk Hero sambil menyebut pangkat bapanya dengan jelas dan kuat. Sengaja nak berbangga yang dia itu ada ‘kabel’. Ismail senyum dan tunduk sedikit kepada Izzul. Izzul turut membalas senyuman itu. Pegawai polis yang agak ramah dengannya itu merupakan ayah tiri Hero rupa-rupanya. Kalaulah dari awal lagi dia tahu, tentu dah lama mereka berjumpa.
Nice.” Izzul senyum senget.
“Jangan mimpi abah nak ikat jamin dah.” Tiba-tiba Ismail bersuara. Ada baiknya kalau Hero duduk di lokap dulu, fikirnya. Kalau Izzul dapat tahu tentang Hero, memang lunyai anak tirinya. Dia dah pernah tengok Izzul mendebik orang dulu. Memang tak pandang kiri kanan dah.
“Alah, bah…”
Good luck!” ucap Izzul bersama tawanya. Bahu Hero sempat ditepuk-tepuk sebelum dia berlalu. Lega bila dia dah dibebaskan. Sekejap lagi, dia bakal diamuk oleh adiknya. Tak apalah…  

Emak mereka ada penyakit darah tinggi, jadi, Izzul suruh adiknya merahsiakan dari pengetahuannya. Bimbang jika si emak masuk hospital pula gara-gara terkejut dengan berita tentangnya masuk lokap. Jenuh dia menyalahkan diri sendiri. 

2 komen:

  1. Salam, sangat menarik. jenguk juga blog saya kat http://ceritaberemosi.blogspot.com/

    ReplyDelete

 

LunaSAMS Template by Ipietoon Cute Blog Design