Hero Kampung ( Bab 1 )

From Hero to Zero?

Bagi Hero, seorang hero bermaksud berani menanggung risiko, lasak, kental, keras ‘pedal’ dan kadang-kadang gila. Macam dia. Zero pula maksudnya berada di zon selamat, iaitu menjalani hidup tanpa risiko dan cabaran. Macam budak baik dan skema yang terlalu banyak berfikir membosankan. 
Bagi Fatiha pula, hero maksudnya lelaki yang baik, penuh dengan kasih sayang, yang boleh melindung perempuan dan tidak menimbulkan sebarang masalah. Berbeza dengan definisi zero baginya. Lelaki zero itu adalah seorang lelaki seperti Hero. Tahu buat masalah saja dan tiada masa depan.
Masing-masing sibuk mempamerkan prinsip Hero-Zero mereka. Fatiha dengan pendiriannya. Hero yang nakal dengan pendiriannya.
Prinsip Hero-Zero siapa yang betul sebenarnya?

BAB 1
LELAKI itu memandang ke arahnya dan tersenyum senget. Sambil merenung dia, lelaki tersebut menggaru hidung mancungnya dengan tangan yang masih bergari.
Pada awalnya, Fatiha langsung tak rasa apa-apa. Tapi apabila lebih dari lima minit dia memandu di belakang trak polis tersebut, baru dia perasan yang mata lelaki itu ralit merenungnya sambil tersenyum-senyum gatal. Fatiha rasa macam dicabul bila direnung dengan renungan yang sebegitu. 
Bulu romanya meremang sebaik sahaja melihat lelaki itu tiba-tiba memberikan flying kiss ke arahnya.
Oh boy…”  mulut Fatiha hampir ternganga tak percaya bila diganggu begitu.
Kali ini lelaki itu memuncungkan mulutnya berkali-kali. Konon-konon nak cium dia berkali-kali. Fatiha menggeliat sendirian. Kalaulah dia dapat sepak kawasan ‘nur kasih’ lelaki tu, memang puas sungguh rasanya hati dia. Miang gila!
Tak selesa dia dibuatnya. Sudahlah dia memandu sendirian. Pegawai polis di sebelah lelaki itu beberapa kali menggeleng-gelengkan kepala dengan perlakuan lelaki tersebut.  
"Ish! Gatal betul mamat ni. Tak sedar ke yang dia kena angkut dengan trak polis tu? Tangan bergari lagi. Ada hati nak tunjuk perangai tak semenggah macam tu..." Mulutnya mengomel tak berpuas hati dengan pandangan penuh nafsu dari lelaki berambut serabai itu.
Muka memang kacak. Tapi jahat! Kalau dah kena gari, gerenti adalah tu benda jahat yang dilakukannya. Mesti lelaki itu ada kesalahan mencabul anak dara orang... Dari rupa, ada gaya. 
Lelaki itu tersengih bila Fatiha menjelingnya dengan tajam. Menyampah dengan flying kiss yang diberikannya tadi.
‘Entah-entah mat ganja?  Eeeeyu!’
Lelaki itu melambai kedua belah tangannya yang bergari tadi bersama mulut yang bergerak, ‘hai’. Automatik lidah Fatiha terjelir. Nak termuntah sungguh rasanya. Ini memang betul-betul sampah masyarakat ni!
Kerana tidak tahan dengan gangguan separa seksual dari lelaki tersebut, dia membuat keputusan untuk memotong trak polis itu. Lantaklah trak polis ke trak askar. Dia tak mahu terus ‘dicabul’ oleh mata lelaki itu.
"Gatal! Miang!" Makinya apabila lelaki tersebut sempat mengenyitkan mata kepadanya.
“Aku harap kau kena hukuman berat. Lagi bagus kalau kau kena penjara seumur hidup! Jijik!” Fatiha menyeranah sendiri setelah berjaya memotong trak tersebut.

HERO tersengih-sengih sendiri melihat wajah gadis yang disakatnya itu. Merah menyala. Mulut mengomel geram, comel aje. Geram dia nak cium.
“Hero, sudahlah mengayat. Dia takkan pandanglah kau tu. Kau tu bergari, bukan menari.” Polis di sisinya membidas.  Serentak itu Hero mencemik.
“Kau jangan sibuk boleh tak?” bidas Hero semula kepada polis yang begitu kerap dia jumpa semenjak dia belasan tahun lagi.
“Bilalah kau nak serik?” Anwar membebel bersama gelengan kepalanya apabila Hero masih giat menyakat gadis yang sedang memandu di belakang trak mereka.
Kali ini sudah masuk empat kali Hero berada di atas trak itu bersamanya. Kalau dengan polis lain, entah berapa kali pula… itupun dah banyak kali dia bagi muka dekat Hero. Kalau mood dia baik, dia lepaskan saja.
Hero merupakan banduan yang sangat popular dengan kenakalannya. Bukanlah bermain dadah atau ganja. Tapi… nakalnya lebih kepada kesalahan merempit, bergaduh, bermain daun terup sehingga ke pagi dengan duit taruhan berteraburan di bawah punggungnya.
Hero, setanding nama… memang hebat bermain judi baik daun terup mahupun mesin. Di atas motor, dia jugalah heronya. Kalau bab main nombor ekor saja, dia zero! Pau banyak-banyak, satu pun tak mengena. Sudahnya, habis topi keledar dihentam ke jalan tar akibat geram.
“Comellah awek ni..” ujar Hero kepada Anwar. Sekali lagi kepala Anwar digeleng-gelengkan. Tiga suku sungguh Hero ni.
Si gadis sudah memotong trak yang mereka naiki. Tak tahan kena sakat agaknya. Tersengih-sengih Hero dibuatnya. Kereta Honda Accord, plat BEE 1883. Aku akan cari kau. Tunggulah…
“Kalau nak tackle dia, tolong berubah. Tak ada perempuan nakkan lelaki yang keluar masuk jel macam kau ni.” Selamba Anwar bagi ceramah percuma. Hero membalas kata-kata Anwar itu dengan mengorek hidung menggunakan jari kelingking kirinya bersama muka meluat. Muak dia dengan bebelan Anwar itu.
“Hidup zaman muda ni, enjoylah dulu. Bosannya jadi kau ni Nuar. Mesti zaman muda kau dulu nerd aje.” Selamba Hero mengutuk lelaki yang berbeza hampir dua puluh tahun dengannya itu.
Enjoy sampai menyusahkan orang lain? Aku naik bosan dah tengok muka kau masuk trak polis.” Kutuk Anwar. Mereka dah macam kawan pun. Berbual macam rakan sekerja padahal layak digelar rival.
“Kalau bosan, lain kali jangan tangkap aku. Pergi tangkap orang lain. Banyak lagi orang kampung jahat-jahat. Kenapalah kau obses dengan aku?” Hero masih dengan muka tak berperikemanusiannya itu.
“Kau buat salah, memang kena tangkap. Dah kantoi. Kalau tak kantoi lain cerita.”
“Eleh, sebelum ni kau lepas aje aku. Tak malu ke? Bawak trak besar-besar tapi last-last dapat tangkap aku sorang je? Baik takde orang langsung, at least orang fikir, kau tengah nak cari budak buat hal.” Hero bermain kata.
“Biarlah nak malu pun. Kau sorang je ibarat penuh lori ni dengan budak jahat.” Anwar mengutuk. Hero mengeluh. Anwar sangat baik dengannya. Tapi itu tak bererti Anwar mudah dipujuk untuk melepaskan dia.
“Bila kau nak serik eh? Tak kesian ke kat mak bapak kau?” soal Anwar. Hero buat pekak saja.
“Boleh buka tak gari ni?” Hero mengubah topik. Rimas juga dia bila nak garu hidung pun, dia terpaksa mengangkat kedua belah tangannya. Nak bergerak pun tak bebas. Lagi satu, dia rimas dengan bebelan Anwar. Karang, sampai di balai dia perlu menghadap bebelan ayah tirinya pula.
“Tak. Karang kau terjun trak ni. Aku tak percaya kat kau.” Anwar mendengus.
“Aku tak pernah terjun trak bila dengan kau ek? Dulu kau tak gari pun aku. Dulu kau percayakan aku. What happened to you, my friend?” Hero membodek. Anwar masih dengan muka ketatnya.
“Tapi dengan Sham, kau terjun. Sebab tu aku kena gari kau. Kang aku yang dapat masalah kalau tak buat apa yang disuruh ketua aku.”
“Aku terjun dulu sebab dia tu kerek nak mampus dengan aku. Perangai macam setan. Mintak duit je tau. Bila salah aku berjudi sikit, nampak. Rampas semua duit aku. Siap mintak duit lebih lagi kalau tak nak kena tangkap. Bila dia mintak rasuah tu? Ingat elok?” bebel Hero yang begitu bengang dengan peribadi seorang polis bernama Sham itu.
“Manusia.”
“Habis aku ni apa? Bukan manusia? Alien? Kau pikir aku dilahirkan dengan tiga lubang bontot?” Hero memprotes. Anwar mengekek ketawa bila mendengar kata-kata Hero itu.
“Lek…” Bahu Hero ditepuk-tepuk.
“Kenapa tak tangkap dia jugak?” Hero mencemik.
“Ada masa nanti dia kenalah tu…” Anwar malas nak campur sangat urusan polis tak bertauliah itu. Dia pernah buat report tapi tak ada sesiapa yang nak ambil tindakan. Mungkin masing-masing takut dengan pangkat Sham yang lebih tinggi daripada mereka.
“Kau kan tau, aku akan bebas jugak? Bazir masa aje. Baik kau buka gari ni.” Hero masih cuba membodek. Rimas dia dengan tangan yang bergari itu. Jatuhlah market dia di depan gadis comel tadi.
“Sebab bapak tiri kau bermurah hati nak ikat jamin kau.” Anwar julingkan mata ke atas. Bapa tiri Hero merupakan orang atasannya, Inspektor Ismail. Lelaki itulah yang selalu mengikat jamin Hero. Semua orang tahu betapa Ismail sayangkan Hero walaupun sudah terlalu banyak kali Hero menconteng arang ke mukanya.
“Itu tugas dia.” Tanpa rasa bersalah, dia bersuara. Hubungan dia dengan bapa tirinya baik… tapi itulah. Pengaruh rakan sebaya yang membuatkan dia nakal terlajak. Banyak kali juga dia dimarahi Ismail tapi biasalah… anak muda. Degil tu wajib ada.
“Sampai satu tahap nanti, aku rasa dia akan fed up tolong kau…” Anwar menceber. Hero mencemik. Dia menyeluk tangannya ke dalam kocek dengan bersusah payah sebelum mengeluarkan sebatang pencungkil gigi yang wajib ada di situ. Pencungkil gigi itu disua ke mulutnya.
“Aku yang temukan jodoh dia dengan mak aku. Berani dia nak fed up?” selamba Hero berkata.
Dulu, sewaktu kali pertama dia ditangkap, dia menelefon ibunya untuk mengikat jamin. Dari situlah bermulanya pertemuan Ismail dengan ibunya. Masing-masing bergelar duda dan janda. Setiap kali ada masalah, pasti Ismail akan menghubungi ibunya. Disebabkan Hero seorang yang payah serik, maka berlakulah banyak masalah yang menyebabkan emaknya dan Ismail selalu berhubung. Akhirnya, mereka jatuh hati dan menikah.
Hero pula? Tak membantah langsung dengan keputusan emaknya untuk bernikah lagi. Lagi dia suka sebab mudah dia nak ‘kawtim’ kalau ada orang dalam. Lagipun, emaknya dah lama menjanda. Arwah abahnya dah lama pergi.
“Berlagaknya kau… bercakap macam jodoh tu kat tangan kau aje.” Kepala Hero disekeh-sekehnya akibat geram. Hero hanya terkekeh ketawa.
“Tapi kau tak nafikan, kan?” Hero angkat-angkat keningnya. Anwar menahan senyum. Tiga suku sungguh anak tiri Tuan Ismail ni.

“BERGADUH dengan siapa pulak kali ni?” bebel Fatiha tak menyempat-nyempat sebaik sahaja melihat kelibat abangnya. Izzul menggaru-garu kepalanya. Polis yang mengiringnya menahan diri daripada senyum. Kelakar bila melihat dia dimarahi adiknya yang datang mengikat jaminnya.
“Terima kasih.” Ucapnya pendek tanpa menjawab soalan si adik.
“Kau nak aku beritahu mak ke?” ugut Fatiha sambil mengecilkan mata. Tak suka dia naik ke balai untuk kedua kalinya dalam tahun ini. Ingatkan bila dah berpindah ke sini, perangai abangnya itu akan berubah. Tak sangka, sama aje. Masih baran! Mujurlah baran-baran Izzul itu, masih takutkan dia dengan emak mereka.
“Aduh…” kepala yang tak gatal digaru-garu. Takut bila diugut ‘beritahu emak’.
“Duit aku yang ikat jamin kau itu hari, kau tak ganti lagi kan?” jari telunjuk adik naik ke depan mukanya.
“Kita gaduh kat tempat lainlah. Malulah orang tengok.” Izzul tertunduk-tunduk bila ada beberapa orang pegawai polis memandang mereka sambil tersenyum-senyum.
“Kau masuk sini tak malu?” si adik sudah bercekak pinggang.
“Tak ada orang tahu kan selain kau?”  
“Lepas ni aku nak mak tahu. Biar kena tarbiah sikit.” Mulut comel itu berterusan membebel.
“Janganlah, Ti’ah.”
“Aku nak kau duduk dulu, dengar ceramah tuan ni. Tuan, tolong ‘basuh’ abang saya ni kaw-kaw.” Pinta Fatiha kepada pegawai polis di hadapannya.
“Aku tunggu dekat kereta. Malas nak duduk dekat sini lama-lama. Tebal muka aku! Berapa kali setahun kau nak aku muncul kat sini?” rungut Fatiha dengan ayat sindiran pedasnya.
“Alah, janganlah bebel. Malu weh…” Izzul menarik leher baju dan menutup hidungnya. Malu. Bukan niatnya pun nak bergaduh sampai berakhir di lokap. Kalau boleh, tak ingin dia susahkan sesiapa.
Dan kes dulu pun bukan salah dia. Dia diserang. Bila diserang, dia seranglah balik. Penyudahnya masing-masing masuk lokap.
“Dahlah. Aku tunggu kat kereta.” Fatiha terus berlalu meninggalkan abangnya berurusan dengan pegawai polis. Biarlah. Dia dah selesai buat pembayaran. Nak bagi taklimat ke apa ke dekat abang dia tu, silakan!
“Buat report ke?” tegur salah seorang pegawai polis di pertengahan umur kepada Fatiha sewaktu mereka terserempak di lobi balai.
“Tak… ikat jamin abang.” Fatiha mencemik. Masih terasa bengangnya pada Izzul yang suka sangat mencari pasal itu. Lelaki tua itu tersengih.
“Izzul?” tekanya. Fatiha agak terkejut.
“Tuan kenal dia?”
“Kenal. Banyak kali dah dia dekat sini.”
“Banyak kali?” terbuntang mata Fatiha mendengarnya.
“Ya, biasanya tak kena tahan lama pun. Biasalah budak muda. Ujian air kencing negatif, kita lepas terus. Tapi hari ni masuk lokap pulak dia.” Cerita lelaki tua itu. Hidung Fatiha sudah kembang kuncup. Tak sangka Izzul banyak kali ditangkap polis.
“Saya tak tahulah apa nak jadi dengan dia… buat masalah je tahu.” Rungut Fatiha. Malu dia dengan lelaki itu.
“Awak tak berhadapan lagi dengan anak saya… mesti awak pening kepala. Dia lagi kerap…”
“Anak tuan?” Fatiha mengerutkan keningnya. Macam pelik je bila anak polis pun kena tangkap juga.
“Ya. Pelik kan? Anak polis pun bikin masalah. Orang muda…” keluh lelaki yang memakai tag nama Ismail itu. Melihat paku pada bajunya, Fatiha tahu lelaki itu pegawai atasan.
“Yelah, abang saya lagi teruk. Bukannya reti nak cari kerja tu. Asyik buat pasal aje…” tak menyangka yang dia merungut kepada lelaki tua itu. Ismail hanya tersenyum mendengarnya.
“Abang awak tak terlibat dengan dadah, awak patut bersyukur. Ujian urin dia negatif. Nakal-nakal sikit tu biasalah. Darah muda. Anak saya pun…” Ismail berjeda. Tak sanggup dia nak teruskan kata-katanya.
Fatiha mencemik. Bukannya muda sangat pun si abangnya. Dah tua bangka pun. Perangai aje tak matang-matang.
“Anak tuan…” tak sempat Fatiha nak tanya, lelaki itu terus menjawab.
“Anak saya pun dua kali lima macam dia. Tapi versi yang lagi teruk. Bawak motor tak ada road tax. Merempit sana sini. Main daun terup sampai ke pagi. Vandalisme, menyakat, membuli… apa aje dia tak pernah buat? Dulu setiap bulan muka dia ada dekat sini.”  Cerita Ismail. Mata Fatiha sudah terjojol.
“Setiap bulan?”
“Ya, setiap bulan. Muka sayalah yang kena ikat jamin dialah, apalah.” Ismail hanya tersengih melihat muka terkejut Fatiha itu.
Kalau dulu dia rasa malu sangat bila anaknya asyik ditangkap, sekarang… dia dah lali pun. Dia tak mahu Fatiha rasa terbeban berabangkan Izzul. Mungkin dengan menyatakan keburukan anaknya, Fatiha akan bersyukur dengan ‘apa’ yang dia ada.  
“Dahsyat betul perangai anak tuan…” Fatiha geleng-gelengkan kepalanya. Dia yang mendengar ini saja sudah rasa sakit kepala, inikan pula Ismail yang berhadapan dengan anak seperti itu. 
“Ni kejap lagi, sampailah dia. Saya kena ‘jemput’ dia. Entah apa dia buat pulak kali ni.” Keluh lelaki tua itu.
“Sabarnya tuan... Kalau arwah ayah saya ada lagi ni, dah lama hilang telinga abang saya tu. Tak dengar kata.” Fatiha berkata selamba. Kemudian, baru dia tersedar keterlanjurannya. Berbual macam dah lama kenal.
“Eh, saya banyak cakap pulak… sorry. Saya pergi dulu…” dia meminta diri. Ismail senyum dan mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Baik-baik jalan.” Pesan lelaki itu. Fatiha hanya senyum dan mengangguk sebelum berlalu.
Teringat perbualannya dengan polis itu tadi. Kepala digeleng-gelengkan tak percaya. Tak sangka langsung wujud juga orang macam anak Ismail itu. Kalau dia ada anak yang begitu, memang cepat dia ‘jalan’. Mujurlah abangnya tak sampai ke tahap itu.
Jantung  Fatiha seolah-olah berhenti berdegup buat seketika. Terkejut melihat lelaki di dalam trak polis tadi, kini berada di depan matanya. Lelaki itu sedang memandang ke bawah. Macam ralit sangat pandang jalan.
Oh boy!” terlucut kata-kata itu dari mulutnya. Fatiha terkaku.
Dia tak tahu nak ke mana. Kalau dia terus berjalan, nanti lelaki itu perasan pada kewujudannya. Kalau dia pusing balik, lelaki itu tetap akan berjumpa dengannya juga. Ah, sudah! Masaklah dia…
Tiba-tiba lelaki itu mendongak sekali gus mata mereka bertentangan. Tepat!



 p/s : Maaf kalau Hero tak menepati citarasa hero anda. I'll try my best untuk membuat hero yang 'lost'... terima kasih kerana membaca. drop your comments below if you like this first chapter :) 

2 komen:

  1. Oh boy ! Izzul dgn hero dua kali lima ja . Saya tak kisah pasai perangai hero . Nanti mesti herubah kan ? Best ! Good luck kak na !

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehehehe mesti dia berubah punya! Terima kasih ya syg... <3

      Delete

 

LunaSAMS Template by Ipietoon Cute Blog Design