SALAH SIAPA? 10


Bab 10
“INGAT, kau mesti menang. Aku tak nak kau emo kat atas sana. Get your shit together okey? You can do this.” Pesan Ikmal sambil membalut kain putih di sekeliling tangan Hafizul. Hafizul mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia faham. itulah matlamat dia. Hendak memenangi semua pertandingan itu agar dia dapat merebut gelaran juara di penghujungnya nanti.
Dan jika waktu itu tiba, dia akan pulang bersama hadiah dan juga bersama maruah kepada Aida. Dia bukan selemah yang Aida sangkakan. Dulu Aida sering bimbangkan keselamatan dia. Aida tidak yakin pada kebolehannya. Dia mahu membuktikan yang Aida salah.
“Abang!” mereka disergah satu suara. Arman tersengih lebar sebaik sahaja masuk ke bilik persiapan Hafizul. Hafizul yang pada awalnya terkejut melihat kemunculan Arman itu akhirnya ikut tersengih memandang adik iparnya. Terasa semakin bersemangat melihat Arman datang menyokongnya di sini.
“Hey! Datang dengan siapa, Man?” soal Hafizul sambil mencari kelibat isteri tercinta. Namun, hampa.
“Datang dengan Along, Arissa. Mak dan ayahlah. Kitorang tak nak tengok dalam tv. Macam tak real. Itu pasal nak tengok yang depan-depan ni ha. Jenuh kitorang kelentong dekat guard tu tadi... mana nak tahu, kena ada tiket bagai.” kata Arman bersama keluhan.
Dia membelek-belek beg hitam kepunyaan Hafizul itu dengan penuh kagum. Glove, mouthguards, tali skipping dan bermacam-macam alatanlah yang ada. Pembalut tangan pun ada. Kagum dia jadinya.
Hampa sekali lagi menyapa hati Hafizul bila tiada nama isterinya disebut. Jadi, benarlah, Aida masih tidak pulang lagi. Kenapa dia terlalu berharap?
“Kenapa tak call dulu? Boleh abang arrangekan.” Hafizul bersuara.
“Tak tahu pasal tiket itulah. Cadang nak buat surprise.”
Well, menjadi. Diorang mana? Dah tu macam mana Arman lepas masuk ke kawasan ni?” soal Hafizul pelik. Setahunya, hanya staf, peserta dan keluarga terdekat dengan izin pihak atasan sahaja yang boleh masuk ke kawasan ini.
“Tadi Man cakap dekat uncle cina kat luar tu yang abang ni abang Man. Siap tunjuk gambar kita lagi dekat dia. Tak cukup dengan tu, kitorang tunjuk gambar abang dengan kak Aida dulu. Mujur ada simpan lagi...” Kata Arman selamba.
“Seorang aje masuk sini?” soal Hafizul lagi.
“Dengan Rissa tapi dia cari toilet dulu. Sesat agaknya.” Jawab Arman sambil tergelak-gelak.
“Buat apalah susah-susah? Dekat dalam sini ada toilet.” Ikmal yang dari tadi menjadi pendengar tiba-tiba bersuara sambil memuncungkan mulutnya ke arah tandas di bilik itu.
“Oh, tak tahu itulah. Tadi dia tak tahan sangat kononnya.” Arman menceber.
“Abang!” suara lain pula menyapa. Kali ini wajah ceria Arissa. Terhenti perbuatan Ikmal yang membalut tangan Hafizul itu sebaik sahaja terpandang kelibat Arissa. Terkejut barangkali melihat gerangan lain masuk ke bilik persediaan Hafizul. Perempuan pula tu.
“Eh? Rissa, dah jumpa toilet?” soal Arman tersengih-sengih.
Arissa pula dalam lelahnya, tergelak-gelak tanpa henti menyebabkan Hafizul dan Ikmal yang tak tahu cerita itupun ketawa mengekek. Lucu melihat keadaan Arissa yang ketawa sampai terbatuk-batuk itu. Hanya wajah Arman saja yang masam mencuka bila soalannya tidak dijawab.
“Apa yang kelakarnya?” soal Arman sakit hati. Arissa masih lagi ketawa terkekeh-kekeh. Bila dia hendak membuka mulut, pasti rasa lucu itu timbul semula menyebabkan dia tak mampu untuk bersuara langsung.
“Apa ni? Jumpa ke tak tandasnya?!” Arman sudah naik angin.
“Tak...” jeda Arissa. Dia ketawa lagi. 
“Dah tu apa yang lucunya? Kau kencing merata?” soal Arman geram. Soalannya membuatkan tawa Arissa menjadi-jadi. Hafizul dan Ikmal ikut mengekek. Arissa memanglah. Bila dah start ketawa, ramai yang akan berjangkit.
“Tak... Tadi kan, Rissa termasuk dekat bilik mat saleh mana entah... handsome... tapi...” lepas itu dia ketawa lagi. Macam kelakar sangat cerita yang ingin disampaikan itu.
“Lepas tu kan, Arissa terkejut... Rissa pun jerit kuat-kuat sebab dia pakai seluar pendek yang seksa sangat waktu tu. Bawah sikittttt aje dari dia punya... tu. Badan dia pun basah-basah. Ada towel dekat bahu dia. Huh! Memang seksi gila. Dia pun menjerit kuat sebab terkejut tengok Rissa. Terus Rissa cabut lari. Terbantut niat. Arman tak tengok muka dia waktu menjerit tu... macam pondan! Siap tutup badan dengan towel lagi.” sambung Arissa setelah diyakini tawanya sudah habis.
Tapi, sebaik saja habis menuturnya, dia kembali gelak. Kali ini bukan setakat dia saja yang gelak, mereka yang mendengar ceritanya itu turut sama tergelak lucu. Arman ketawa sampai berair mata.
“Mesti dia marahkan Rissa, kan?” Giliran Arman yang tak henti-henti ketawa. Hafizul juga sama. Ikmal menahan dirinya dari ketawa lagi. Tak sangka yang dia akan ketawa sampai macam ni di saat sedang serius.
Selamba sungguh Arissa bercerita bagaikan dia tidak wujud saja di situ.
Hafizul tak ada pula bercerita tentang wajah cantik si Arissa ni... biasanya Hafizul kata Arissa tu rajin tolong dia saja. Dia fikir Arissa masih budak lagi... rupa-rupanya dah besar panjang. Terhenti berdegup jantung dia tadi sebaik sahaja Arissa melangkah masuk ke dalam bilik itu.
“Setiap bilik ada toilet. Rissa dah salah masuk bilik peserta lain. Mujur tak kena ambil tindakan, tau?” bebel Ikmal tiba-tiba.
“Err, siapa ni?” soal Arissa ke telinga Arman. Arman angkat bahu. Dia pun belum sempat berkenalan dengan kawan Hafizul itu. Tertanya-tanya juga dia siapa.
“Ops, sorry. Abang dah bebel-bebel kat Rissa tanpa kenalkan diri abang. Abang kawan Abang Pijoi awak berdua. Nama abang, Ikmal.” Ikmal menayang sengih. Arissa ikut tersengih. Handsomenya! Cair dia...
“Abanglah corner boy tu, kan? Yang jadi tukang lap peluh apa semua tu?” Arissa bertepuk tangannya sebaik saja teringat pada wajah Ikmal. Lelaki yang dia puji dulu. Hmm, depan-depan lagi handsome! Fikir hati nakalnya.
“Jurulatih abanglah.” Hafizul membuat pembetulan. Arissa mengangguk-angguk tanda faham. Ikmal tergelak. Jatuh standard dia bila dikategorikan sebagai tukang lap peluh!
Sorry.” Ucapnya perlahan. Ikmal geleng-gelengkan kepala tanda tak mengapa.
“Eh kejap... Kat bilik ni ada toilet?” soal Arissa dengan mata yang membulat. Ikmal, Hafizul dan Arman mengangguk serentak.
“Rissa minta diri dulu ye... niat dah muncul semula. Terima kasih Abang Ikmal... hai. Eh, bye.” Kata Arissa malu-malu. Tergelak Ikmal dibuatnya. Hafizul merenung Ikmal dengan pandangan nak mengejek.
‘Gatal kau dengan adik ipar aku!’ bagaikan faham dengan isyarat mata Hafizul, Ikmal matikan senyuman. Dia berdeham.
“Kelakar...” komen Ikmal sambil meneruskan balutan di tangan Hafizul. Sesudah siap, dia menyarungkan glove berwarna hitam bersaiz lapan milik Hafizul ke tangan kekar sahabatnya itu.
“Kami mengganggu ke?” soal Arman lantas duduk di tempat duduk yang berdekatan.
“Tak adalah. Abang lega sikit ada peneman selain Ikmal ni. Rasa ada penyokong. Kalau ada Aida lagi abang suka.” Kata Hafizul jujur.
Arman menarik nafas lega. Bimbang juga jika dia dan Arissa sekadar mengganggu kerja abang iparnya. Sungguh dia ingatkan sukan muay thai yang masuk rancangan tv begini hanya ada di luar negara sahaja. Tidak menyangka bahawa dia akan menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri di Malaysia. Abang ipar dia sendiri pula tu sebagai peserta. Siapa tak bangga?
“Selesa?” soal Ikmal terhadap tangan Hafizul yang sudah siap dibalut itu. Hafizul mengangguk-angguk tanda selesa.
“Ketatnya ok?” soalnya lagi.
“Ok!” jawab Hafizul yang mula menghayunkan tangan ke depan.
Menumbuk angin. Sengaja ingin menguji ketangkasan tangannya. Ikmal sudah bersedia dengan punch pad di tangan. Dia menghalakan pad itu ke arah Hafizul dan Hafizul mula menumbuk-numbuk pad itu dengan ketangkasannya. Kagum Arman menyaksikan gaya abang iparnya. Sangat bergaya.
Punch, left right. Left, right. Tunduk, tunduk. Defense kalau boleh jangan lama sangat walaupun dia tak kira mata pun, okey? Tapi kau kena kumpul mata. Ingat tu. Serang-serang. Jab, jab, jab, hook, uppercut. Kick! Jab, jab, kick!” Ikmal mengajar laju. Hafizul menurut dengan spontan. Tiba sewaktu kick, tubuh Ikmal terdorong ke belakang dengan tendangan kuat Hafizul. Dia kembali merapatkan jarak mereka.
“Sekali lagi.” Ikmal mengarahkan Hafizul untuk berlatih lagi. Hafizul melagakan penumbuknya tanda bersetuju untuk berlatih lagi. Masa masih banyak untuk dia berlatih sementara menunggu peserta lain bertarung di gelanggang.
“Guna lutut tu jugak.” Arah Ikmal. Punch pad dihalakan ke bawah, Hafizul melutut punch pad itu.
Hook kepala, angkat lutut!” arah Ikmal yang semakin serius. Hafizul mencangkuk leher Ikmal dan menaikkan sikunya ke atas, tetapi tidak mengenai mana-mana tubuh Ikmal. Sekadar berlatih.
“Apa maknanya tu?” soal Arissa yang baru muncul dari bilik air itu kepada abangnya yang tercengang-cengang menyaksikan latihan Hafizul dan Ikmal yang kelihatan begitu bergaya sekali pada matanya. Kedengaran banyak arahan daripada mulut Ikmal dan Arissa langsung tidak memahaminya.
Hook, perbuatan mencangkuk pihak lawan. Uppercut, tu tumbukan cedok dari bawah bawak ke dagu pihak lawan.” Ikmal menjawab bagi pihak Arman sambil meneruskan latihannya terhadap Hafizul.
“Nanti berteraburlah gigi dia.” Arissa berkata perlahan tetapi mampu membuatkan Ikmal mengulum senyum.
“Sebab tu setiap petinju kena pakai mouthguard.” Kata Ikmal sambil tersenyum-senyum. Tangannya tangkas mengelak serangan Hafizul.
Jab tu pulak apa bendanya?” soal Arman ingin tahu.
“Tumbuk berhadapan atau tumbukan lurus kiri dan kanan. Nak kumpul skor. Itu perkara asas yang akan diajar dalam boxing, muay thai.” Terang Ikmal lagi. Suka dia menerangkan perkara itu kerana memang itu minatnya. Dan dia sudi berkongsi minatnya dengan sesiapa yang bertanya. Lagi pula, dia sedang cuba untuk mengagumkan Arissa.
Biasalah. Dia itukan lelaki? Lelaki mana yang tak tertarik dengan gadis cantik macam Arissa? Lelaki gila namanya.
“Wow! Abang Ikmal terrorlah!” puji Arissa seperti yang diharapkan Ikmal.
Ikmal tersenyum bangga. Hafizul di hadapannya mengerutkan kening. Asyik tersenyum sahaja rakannya ini. Jangan berbiras pula mereka nanti. Bukannya dia tidak nampak betapa lebarnya senyuman Ikmal setiap kali Arissa buka mulut.
“Dia bekas champion.” Hafizul menaikkan saham sahabat karibnya.
Kalau Ikmal suka, apa salahnya? Lagi pula, dia kenal benar dengan sahabatnya yang satu ini. Ikmal sangat baik orangnya. Cuma... Arislah masalahnya. Dan, usia Ikmal dan Arissa agak jauh berbeza.
“Patutlah. Kenapa tak join sekali battle ni? Mesti boleh jadi champion lagi, kan?” kata Arman kagum. Ikmal tersenyum hambar mendengar soalan itu.
“Ada masalah...” kata Ikmal menutup rasa sedihnya.
“Bini tak bagi?” soal Arissa laju menyebabkan Ikmal ketawa berdekah-dekah. Hafizul ikut ketawa. Selamba sahaja soalan Arissa.
“Kau mengayat ke dik?” Arman menyiku adiknya. Soalan adiknya itu bagai ingin mencungkil status sebenar Ikmal. Sungguh dia malu!
“Mana ada?! Orang tanya elok-elok ni ha...” Arissa mencemik. Bukannya niat dia nak menyibuk tetapi soalan itu yang terpacul keluar dari mulutnya, dia boleh buat apa?
“Abang Ikmal tak kahwin lagi. Dia tunggu calon bini macam bidadari.” Kata Hafizul sambil menghantar senyuman nakal kepada Ikmal. Menyakat. Ikmal menggeleng-gelengkan kepalanya dan tersenyum.
“Sayangnya lambat kahwin...” komen Arissa perlahan. Kali ini Arman menekup mulut laser adiknya. Bimbang Ikmal naik meluat dengan perangai Arissa yang terlebih jujur itu. Ikmal sudah sakan tergelak.
“Mulut dia memang macam ni. Tak ada insurans. Sorry ye, Abang Ikmal.” Pinta Arman bagi pihak adiknya. Mulut si adik dilepaskan dengan ragu-ragu. Bimbang akan keluar lagi soalan berani mati dari mulut adiknya.
“Eh! Tak ada apalah. Abang tak kisah pun.”
Get ready! Ten minutes.” tiba-tiba muncul seseorang di muka pintu untuk mengingatkan Hafizul tentang perlawanannya sebentar lagi. Sebaik sahaja dia memberi peringatan, dia kembali menghilangkan diri.
“Rissa pulak yang berdebar.” Arissa berbisik di telinga Arman. Arman mengangguk-angguk setuju. Hafizul melaga-lagakan penumbuknya.
“Joi. Ingat, jangan bagi foul!” Ikmal kembali serius. Kalau dilayan Arissa, alamatnya, dia sendiri pun leka sehingga tidak menghantar Hafizul ke gelanggang nanti.
Foul?” soal Arman dan Arissa serentak.
Foul tu kalau tumbuk belakang badan. Kalau tak dengar arahan pengadil pun foul juga. Boleh tolak markah.” Terang Ikmal sambil meneruskan tugasnya sebagai jurulatih Hafizul.
“Itu aje boleh kena foul?” soal Arissa.
“Kau ni banyak mulutlah! Orang nak berlatih tu. Patut aku tinggalkan aje kau kat rumah tadi.” Bebel Arman geram. Sakit hati bila adiknya terlalu banyak tanya.
Mesti Hafizul serabut. Orang tua itu dahlah perlukan ketenangan sebelum beraksi sebentar lagi dan Arissa tak habis-habis dengan mulut murainya. Arissa mencemik. Hafizul pula hanya ketawa melihat pergaduhan kecil itu. Arman dan Arissa bagaikan anjing dengan kucing.
“Aku perkenalkan adik ipar aku, The Catdog Malaysia.” Hafizul bersuara. Bertambah lebar senyuman Ikmal. Dia perasan... Arissa dan Arman tak henti-henti berperang mulut.
Foul tu terjadi kalau menjatuhkan pihak lawan dengan menolak pinggang, bahu atau kaki. Macam permainan judo tu. Tak boleh. So, foul la jawabnya. Lepas tu, kalau mengunci pihak lawan macam dalam gusti tu pun dikira foul. Kalau guna sepakan sapuan pun sama. Kalau peluk pihak lawan sampai mereka sesak nafas pun boleh jadi foul juga.” Terang Hafizul yang berhenti berehat. Penat juga kalau asyik berlatih saja.
“Banyaknya syarat yang tak boleh.” Rungut Arissa.
“Memang banyak. Kalau pegang tali gelanggang sebab nak sepak atau hentak lutut pun tak boleh. Sengaja melantunkan badan dekat tali gelanggang untuk menyerang atau mempertahankan diri pun tak boleh. Kalau tak melawan semula selepas diserang banyak kali pun foul juga. Nak nak kalau gigit, cekik, ludah, hantuk kepala, mencarut pada pihak lawan, lagilah tak boleh.” Tambah Hafizul bersungguh-sungguh.
Semakin berkerut-kerut kening Arissa dan Ikmal mendengarnya. Mungkin pelik kerana banyak benar pantang larang dalam Muay Thai. Memang itu kebiasaannya ada dalam sukan lain. Kena menghormati juga pihak lawan kerana Muay Thai merupakan satu sukan bukan pergaduhan.
“Tak dengar cakap pengadil pun kena, kalau serang bahagian ‘terlarang’ pun kena...” sambung Ikmal. Kali ini wajah Arissa memerah. Arman sudah tergelak besar.
“Tak apa dah Abang Ikmal. Dia akan diam untuk sejam selepas penerangan abang tu.” Mengekek dia ketawakan adiknya yang sudah tersipu-sipu malu itu. Berdekah-dekah Ikmal ketawa mendengar kata-kata Arman itu. Tahu pun malu.
“Kau ni, Man! Bisinglah!” marah Arissa. Wajahnya masih terasa kebas.
“Tahu pun. Knockout tu kalau jatuh tak bangun-bangun tu kan?” soal Arman kepada Ikmal. Ikmal mengangguk, mengiyakan soalan Arman itu.
“K.O, kalau biasa main game. Singkatan bagi knockout. Yang atas lantai dan dikira satu sampai sepuluh tu dikira knockout. Kalau cedera teruk atau dah tak mampu nak berlawan lagi dipanggil T.K.O atau Technical Knockout. Biasanya pengadil yang umumkan T.K.O ni.” Ajar Hafizul. Arissa dan Arman mengangguk-angguk tanda faham. Banyak informasi yang mereka terima pada hari itu sahaja. Ikmal tersenyum.
“Kalau dua-dua rebah?” soal Arissa.
“Tu dipanggil seri. Kalau diorang rebah serentak dan tak larat nak bangun.” Ujar Hafizul menggantikan Ikmal. Dia kembali ingin meneruskan latihan apabila Ikmal sudah bersedia dengan punch padnya.
“Nak tahu pemenang macam mana?” soal Arissa pendek.
“Menang bagi yang kumpul skor tertinggilah. Takkan itu pun tak tahu?!” bebel Arman. Arissa menjelir saja.
“Betul tu. Bergantung pada skor dari pengadil.” Ikmal mengiakan.
“Banyak ke peraturan dia?” Komen Arissa. Ikmal mengangguk-anggukkan kepalanya. Memang banyak. Tapi kalau dah berminat, pasti sudah terbiasa dengan semua peraturan itu.
“Rissa teringin  nak bertinju ke?” soal Ikmal sambil menayang senyum manis.
“Teringin. Sebab waktu sekolah dulu selalu kena buli. Teringin nak bagi segedebuk kat budak-budak yang suka buli Rissa tu. Pakai cara yang uppercut tu sekali. Biar senyap terus. Knockout! Waktu tu jangan haraplah nak minta ampun. Takkan dapat punya.” Kata Arissa penuh dendam. Hidung disapu dengan hujung ibu jari. Menayang lagak. Ikmal mengekek mentertawakan kata-kata Arissa. Sungguh spontan namun mampu menerbitkan senyumannya berkali-kali.
“Nanti kalau ada masa, abang ajarkan. Tapi bukan untuk dendam ye. Untuk mempertahankan diri.” Pesan Ikmal. Arissa sudah bersorak gembira mendengarnya.
“Man pun nak juga belajar.” Kata Arman penuh harapan. Moga Ikmal sudi mengajarnya juga.
“Man belajar dengan Abang Pijoilah.” Kata Ikmal selamba. Arman mencemik. Macamlah dia tidak tahu yang Ikmal itu sedang mengayat adiknya. Huh! Langkah kaki abang Aris dululah! Desis hatinya angkuh.

“ABANG Ikmal cakap, dia nak ajar Rissa cara-cara bertinju...” cerita Arissa kepada Aris dengan senyuman bangga. Matanya ralit memandang ke arah gelanggang. Sekejap lagi, Hafizul bakal beraksi. Masing-masing mengucapkan kata-kata semangat sebelum meninggalkan bilik persiapan Hafizul tadi.
“Siapa pulak Ikmal?” soal Aris pendek.
“Kawan abang Pijoi selaku manager dan jurulatih dia. Yang handsome duduk kat corner dulu tu.” jawab Arissa angkuh. Berlagak bila dia berkenalan dengan manager abang iparnya. Sungguh segak bergaya. Badan pun agak katang.
“Sempat pulak kau menggatal!” Aris mendengus tak senang bila adik bongsunya berkenalan dengan mana-mana lelaki. Nak nak dengan kawan Hafizul, orang yang merosakkan adiknya sendiri. Mungkin rakan-rakan Hafizul yang membawa pengaruh yang tidak elok kepada Arissa.
“Mana ada? Dah dia ada kat situ. Berkenalanlah.” Kata Arissa dengan cebikan meluat.
Bengang dengan Aris. Sikit-sikit nak mengatur hidup dia. Itu sahajalah yang mampu Aris buat, agaknya. Tiada kerja, sengaja cari kerja. Tiada orang suruh menjaga tepi kain adik-adik, sibuk juga dia nak menjaga. Tetapi, adik-adik Aris memang hormatkan Aris selaku abang sulung mereka kerana Aris sangat bertanggung jawab dan tegas.
“Eh! Dengar, diorang dah panggil lawan abang Pijoi.” Arman bersuara teruja.
“Eh! Tu ke lawan dia?” soal Achik tidak sedap hati melihat tubuh lelaki yang bakal menjadi lawan kepada Hafizul. Tubuhnya tidak terlalu tinggi tetapi agak padat. Tentu sekali lincah di gelanggang. Arissa turut memandang ke arah lelaki yang dikatakan ibunya.
“Errr, dialah tadi yang Arissa cakapkan tu, Man. Bilik dialah yang Rissa salah masuk tadi.” Arissa menyiku Arman dan berbisik di telinga abangnya. Arman memandang lelaki itu.
“Hahahaaha!” tawanya terhambur kuat. Aris menekup mulut adiknya. Tidak mahu mereka menjadi perhatian pula. Hafizul keluar selepas namanya dipanggil tidak lama kemudian. Bersorak sakan Arissa dan Arman di tempat duduk.
Hafizul keluar penuh bergaya. Jubah berhoodie diselak ke belakang. Sebaik sahaja menyelak hoodie itu, penonton perempuan mula memekik. Pantang nampak lelaki kacak!

“KAU ni beruntung dapat suami yang pandai lawan-lawan ni. Muka pun boleh tahan handsome. Dapat laki petinju ni memang selamatlah hidup selagi dia tak tinju ke kita. Tak ada sesiapa berani nak cari pasal.” kata isteri Pak Lan kepada Aida. Aida mengeluh. Untunglah sangat. Untung sangat ke bersuamikan Hafizul? Si perosak tu...
Aida di sini pun, Pak Lan yang menjemput. Pak Lan merupakan bapa saudaranya di sebelah mak. Pak Lan bernikah dengan janda di Kelantan dan mengambil keputusan untuk menetap di situ bersama isterinya. Di rumah emak dan ayahnya, Aida malu hendak menonton tinju bersama keluarganya. Di rumah Pak Lan, dia mahu menonton pula perlawanan Hafizul.
Hendak melihat sendiri prestasi suaminya. Pak Lan tahu nasib yang menimpa dia dan Pak Lan berpesan agar dia banyak bersabar. Mujurlah dia diterima baik oleh Pak Lan dan isterinya. Pak Lan sama macam ayah dan emaknya. Tidak mahu meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak. Setiap orang pasti ada salahnya sehingga perkara itu terjadi. Anak kecil di dalam perutnya tiada dosa. Itu sahaja komen Pak Lan.
“Pak Lan tak sangka langsung yang Pijoi masuk tinju bagai ni. Macam bukan dia.” Kata Pak Lan kagum. Aida tersenyum hambar.
“Dari kecil, itu minat dia.” komen Aida. Memang Hafizul ada menunjukkan minat berlawan dari kecil lagi tetapi tiada sesiapa yang galakkan dia. Aida ingat lagi kata-kata Hafizul sewaktu mereka remaja dulu.
‘Besar nanti aku nak belajar bertinju, lepas tu aku akan tinju sesiapa yang mengacau kau. Nanti kau selamatlah dengan aku.’ Senyuman sinis tiba-tiba terbit di bibir Aida. Selamatkah dia?
Perutnya diusap-usap. Ada tindak balas bila mana si anak sudah menendang perutnya. Berkali-kali. Teruja benar nampaknya hendak menyaksikan perlawanan bapanya. Tiba-tiba Aida rasa sebak. Dia semakin sayangkan anak itu. Tegakah dia hendak berpisah dengan anak itu nanti?
“Hmmm. Haraplah dia menang hok ni. Harap dok jadi gapo-gapolah.” Kata Pak Lan tiba-tiba. Pak Lan agak rapat dengan Hafizul dulu. Tidak hairanlah kalau Pak Lan tidak mengamuk bila mendengar berita itu.
Hok tu lawe dio, abe we... tengok bade, gerun sungguh nengoknyo. Mampuh keno gocoh kalo kawe tu!” Komen isteri Pak Lan dengan slanga Kelantan yang agak pekat sebaik sahaja ternampak kelibat si lawan kepada Hafizul. Dia mengurut-urut dadanya.
‘Percayalah Mek Ning, saya lagi gerun melihatnya. Bolehkah Pijoi menang? Pijoi, kau kena menang...’ kata-kata itu hanya bergema dalam hati Aida sahaja.
Hendak bersorak, egonya melarang. Hafizul sepatutnya dapat merasakan yang dia semestinya akan menyokong suaminya sendiri tak kira apa jua keadaan... fikirnya.





9 komen:

  1. kenapa cite ni diberhentikan? best la..nak tau apa yg jd sebenarnya..huhu..please sambung..

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih sudi baca SS10. <3 <3 <3 cerita ni dah siap... kena tunggu penilaian... hehehe

      Delete
  2. Bila nk sambung ni? Ke dah publish? :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya akan publish sendiri hujung bulan ni. :)

      Delete
  3. Replies
    1. novel ada di pasaran cuma yang di pasaran dah siap touch up. biasanya yang ada dekat blog semua yang version lama dan unedited. :D

      Delete
  4. Masih ada stock lagi ke untuk novel ni

    ReplyDelete

 

LunaSAMS Template by Ipietoon Cute Blog Design