SALAH SIAPA? 4


Bab 4
HAFIZUL termenung melihat kerusi yang sudah dua minggu kosong di ruang pejabat itu. Sudah seminggu dia bergelar seorang suami. Sudah seminggu dia tidak mendengar khabar dari Aida. Selalu sangat dia termenung, membayangkan mereka bergurau senda sambil membaling gumpalan kertas yang bertulis nota sewaktu bos tiada di pejabat.
“Joi, makan jom?” ajak Sofiya. Tersentak dengan pelawaan itu, Hafizul mengangkat mukanya. Wajah Sofiya tersenyum-senyum dipandangnya sekilas. Kemudian, dia menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Aku tak nak makan.” Hafizul kembali menekuni kerjanya di atas meja.
Tidaklah setekun yang orang lain sangkakan. Fikirannya entah ke mana. Dia berpura-pura tekun untuk mengelak dari bercakap dengan sesiapa. Kalau dahulu, dia selalu mengusik Aida yang sedang tekun membuat kerja. Sekarang Aida sudah tiada. Bank Rakyat itu begitu sunyi tanpa Aida.
Bila Aida dapat kerja di Bank Rakyat, dia berusaha untuk bekerja di situ juga. Aida membantunya memberitahu ada jawatan kosong dan sebagainya. Kalau boleh, sehari pun dia tak mahu berenggang dengan Aida. Cuma, selepas kejadian hitam itu, agak jarang dia bercakap dengan Aida. Dan sekarang? Dia langsung tak dapat bertemu dengan Aida.
“Jomlah, aku belanja.” Sofiya masih memujuk.
“Aku tak naklah, Opie. Kau pergilah.” tegas Hafizul. Kalkulator mula ditekan sesuka hati. Dia geram. Tertekan. Tertekan dengan ketiadaan Aida.
“Kau ni. Aku tahulah Aida dah tak ada kerja kat sini. Jangan frust sangat. Dia bukannya kahwin dengan lelaki lain pun. Kau masih ada peluanglah. Kalau tak ada peluang sekalipun, aku ni ada. Aku ajak pergi makan aje pun...” Sofiya bersuara geram. Sudah lama dia menaruh minat pada Hafizul namun siapa yang lelaki itu pandang? Hanyalah Aida!
“Kau diamlah! Aku tak nak makan, faham bahasa tak? Aku tak nak! TAK NAK!” nafas Hafizul sudah turun naik. Sofiya menghentak-hentak kakinya dengan geram. Susah benar untuk dia mengajak Hafizul makan!
“Jangan menyesal! Sebab Aida tak ada, terus nak emo. Sayang sangat kat perempuan tu. Dia tak pernah sukakan kau. Kau je perasan lebih! Dia layan kau macam abang je. Dia sendiri pernah beritahu aku.” Sofiya bersuara geram.
Hafizul berdiri dan menghentak tangannya ke meja. Kuat. Bengang diganggu Sofiya. Sofiya tersentak. Seluruh pejabat itu senyap sunyi mendengar hempukan keras itu.
“Kau blah!” jerkah Hafizul lantas berjalan keluar dari pejabat yang dirasakan cukup panas itu.
Sofiya berundur beberapa tapak sebelum berlari ke tandas. Menangis. Hafizul bukannya tak dapat baca perasaan Sofiya padanya. Dia belum buta lagi untuk menilai perasaan seseorang terhadapnya. Dia cuma buta menilai perasaan Aida terhadapnya. Aida tidak pernah cintakan dia...

HAFIZUL mengeluarkan telefon bimbitnya. Nombor Aida dicari. Dia teragak-agak untuk menekan nombor itu. Dia mahu bertanya, betulkah Aida memang menganggapnya sebagai seorang abang? Dia tak boleh terima! Dia lebih rela kalau Aida menganggapnya sebagai rakan karib sampai bila-bila.
Kalau Aida menganggapnya sebagai abang, dia mula terasa sumbang! Memang mak dan ayah Aida menjadikan dia sebagai anak angkat, tapi itu tak bermakna dia menganggap Aida sebagai adiknya. Tidak sama sekali!
Baru lagi hendak mendail nombor telefon Aida, niatnya terbantut. Dia tak mahu tahu... takut kalau-kalau betul Aida memang menganggapnya sebagai abang. Pasti rasa kecewanya bukan kepalang.
Tiba-tiba telefon bimbitnya bergetar. Satu sms masuk.
‘Bro apa cerita? Lama diam.’ daripada Ikmal. Hafizul angguk sendiri. Dia perlukan Ikmal sekarang. Dia perlukan rakan untuk berbual.

“DA, makan nak.” panggil Achik lembut. Aida menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia masih termenung di tepi jendela rumah itu. Mengenang nasib diri. Gambar dia berdiri di sebelah Hafizul ditenung lama. Mereka memang akrab. Hafizul pula sentiasa boleh dipercayai. Tetapi sekarang? Kecewa dia dengan sikap Hafizul yang sudah jauh terpesong dengan Hafizul yang dulu.
Dia benar-benar terkilan dengan apa yang telah Hafizul lakukan padanya. Hafizul sudah jauh berbeza. Lima tahun lalu... apa yang mengubah Hafizul? Macam mana Hafizul boleh terjebak dengan arak?
Kalaulah dia tahu masalah Hafizul sebelum ingatannya hilang, tentu dia akan menasihati Hafizul. Kepala diketuk-ketuk perlahan. Kepalanya masih terasa sakit. Berat. Kadang-kadang dia rasa keliru. Kadang-kadang dia rasa seperti sedang bermimpi. Kenapa wajah Hafizul nampak keruh benar? Apa sebenarnya yang menyebabkan Hafizul merogolnya malam itu? Adakah kerana terpaksa? Adakah manusia yang merogol kerana terpaksa? Tak logik!
Tapi kenapa wajah Hafizul macam... macam menyimpan seribu derita? Macam tersimpan seribu rahsia! Bukan setahun dua dia mengenali Hafizul. Semenjak mereka kecil lagi... Hafizul tidak pernah kelihatan seserabut itu. Bagai ada yang mengugutnya untuk tidak menceritakan hal yang sebenarnya. Benarkah anak dalam perutnya ini merupakan anak Hafizul?
Aida mengusap perutnya perlahan. Benarkah ini anak kau, Joi? Soal Aida di dalam hati. Dia berharap agar anak itu anak Hafizul. Tidak rela rasanya jika lelaki selain Hafizul melihat keadaannya yang mengaibkan. Dalam dia membenci, dia berharap Hafizullah orang yang merosakkannya. Jika lelaki lain... tak mungkin dia sanggup hidup lagi! Dia tidak mengenali lelaki lain sedalam dia mengenali Hafizul.
“Makan, Aida.” suara keras Aris menyapa telinga Aida sehingga mati lamunannya.
Dia memandang Aris tanpa riak. Muka Aris membengis. Aris marah! Hafizul yang dipercayai mampu melindungi Aida telah merosakkan gadis itu. Harapkan pagar, pagar makan padi! Kasihan adiknya, termenung sepanjang hari. Sudah sebulan keadaan adiknya begitu. Hafizul tidak langsung memunculkan diri.
Dayus! Dia mengheret lengan Aida ke dapur.
“Makan! Berhenti fikirkan orang gila tu!” jerkah Aris. Tidak sanggup untuk berterusan melihat adiknya begitu. Sebagai seorang abang, dia merasakan dirinya gagal! Gagal melindungi Aida. Dek kerana terlalu percayakan Hafizul, maruah adiknya tercemar.
Aida memonyok. Tidak suka didesak.
“Buat muka! Kau tak payah fikir orang gila tu. Sekali pun dia tak ada nak jenguk kau! Dayus namanya!” jerkah Aris geram.
Tiba-tiba Aida rasa terluka apabila Hafizul dikutuk begitu. Bukan Hafizul tidak mahu menjenguknya. Setiap hari Hafizul cuba menghubunginya dengan menelefon dan menghantar sms, merayu supaya membenarkan dia pulang ke kampung. Cuma dia yang tak mahu membalas sms itu mahupun mengangkat panggilan Hafizul.
Dia tahu Hafizul risaukan dia dan anak dalam kandungannya. Tetapi entahlah. Selagi hatinya tidak dapat menerima perbuatan Hafizul, selagi itulah dia tidak mahu melihat wajah lelaki itu.
“Aku yang tak bagi dia datang! Aku yang tak bagi dia munculkan diri depan aku!” entah kenapa dia membela lelaki itu. Yang pasti, memang benar, bukan salah Hafizul yang tidak datang menjenguknya.
“Kau pun bodoh! Dah kahwin dengan dia, sibuk nak balik rumah! Kalau dah sayang sangat kat jantan tu, pergilah tinggal kat rumah dia. Dia dah jadi laki kau. Kau tak boleh nak salahkan dia seratus peratus memandangkan kau tak ingat langsung. Entah-entah anak dalam perut tu jadi sebab kau rela.” Aris berkata geram.
Aida beristighfar panjang. Tudung dia tidak pernah cabut, solat pun dia tidak tinggal, takkanlah dia tiada iman langsung sehingga perkara begitu boleh jadi?
Tapi... Hafizul juga sama. Hafizul tidak pernah meninggalkan solatnya. Takkanlah perkara sebegini boleh terjadi? Betulkah anak ini anak Hafizul? Betul! Melihat cara Hafizul menanggung kesalahan itu membuatkan dia yakin bahawa janin di dalam rahimnya itu merupakan anak Hafizul.
“Aris! Aris kenal adik Aris macam mana kan? Kenapa menuduh adik macam tu?” soal si bapa.
Aris terdiam. Memang dia kenal adiknya bagaimana. Tetapi, dia juga mengenali Hafizul itu bagaimana orangnya. Jadi dia tidak tahu, sebelah mana yang salah sebenarnya. Tapi apa yang pasti, dia marahkan Hafizul sangat-sangat sebab terlalu mengikut kehendak Aida untuk berpisah.

AIDA menatap sms yang diterimanya. Hafizul. Lelaki itu tidak putus-putus menghantar sms kepadanya. Dia tahu, lelaki itu cukup terseksa dengan layanannya. Tetapi setimpallah dengan perilaku lelaki itu. Hafizul selayaknya menerima hukuman itu. Malah lebih teruk lagi.
Da, anak aku macam mana? Sihat tak dia?
Kau macam mana? Sihat? Aku rindu kau berdua.
Sms yang diterimanya daripada Hafizul itu hanya mampu dipandang sepi. Sudah puas dia cuba mencari sesuatu yang positif untuk dia maafkan Hafizul namun tak berjaya. Dia masih lagi diselubungi dendam yang mendalam.
Anak di dalam kandungannya... entahlah. Dia tidak punya rasa sayang langsung terhadap anak itu. Dia juga benci pada anak itu sama seperti dia bencikan Hafizul.
Sms diterima lagi. Lambat-lambat butang ok ditekan.
Sekali pun kau tak nak balas sms aku, tolonglah cakap ‘ok’.
Aku risaukan anak aku. Aku risaukan bini aku.
 Telefon bimbit digenggam kuat. Hafizul hanya berlakon risau. Entah-entah di bandar sana, lelaki itu sibuk mengulit perempuan lain. Mengenangkan hal itu, dia semakin rasa sakit hati dengan Hafizul. Perkara itu tak mustahil memandangkan Hafizul dah rosakkan dia.
Sms tidak dibalas lagi. Mungkin kerana bengang smsnya tidak dibalas, Hafizul lantas membuat panggilan ke nombor Aida. Aida mengangkat panggilan tanpa bersuara. Dia juga rindukan Hafizul. Semakin perit hatinya apabila menyedari hal itu.
“Aida...” panggil Hafizul lemah. Aida ketap bibir. Menahan rasa sebak dan rindu yang tiba-tiba datang bertandang sebaik sahaja mendengar suara lelaki itu.
“Aku rindu kau sangat. Sangat... sangat... sangat...” tangis Hafizul di hujung talian.
“Dah sebulan kau diamkan diri. Aku rindu...” tangis Hafizul lagi. Hingus ditarik lemah.
Air mata Aida jatuh.
“Aku pergi sana eh? Dapat tengok kau pun jadilah kalau kau tak nak bercakap dengan aku. Aku rindu sangat dekat kau, Da. Rindu sangat-sangat.” Hafizul bersuara lagi dengan lebih sebak. Aida menahan tangisannya sedaya upaya. Ya Tuhan, sungguh, aku benar-benar rindukan dia. Hati Aida menangis pilu.
“Kalau kau sayangkan budak ni, tak payah balik.” Aida mengugut.
“Ya Allah, Da... rindunya nak dengar suara kau...” Hafizul menahan sebak.
Aida sudah tidak mampu menahan tangisannya. Panggilan diletak. Telefon dimatikan. Dia menangis semahunya.
“Pijoi, kalau kau nak tahu, aku rindu sangat kat kau. Tapi aku tak boleh nak layan kau macam biasa. Sebab aku tak nak tengok lagi muka orang yang dah hancurkan hidup aku. Orang yang merosakkan masa depan aku adalah orang yang paling aku percaya dalam hidup. Dia adalah kau, Pijoi...” tangis Aida sebak. Dia merebahkan kepalanya ke atas bantal lalu dipejamkan matanya rapat.

HARI berganti hari. Sedar-sedar, sudah lebih dua bulan Aida menyepi selepas panggilan dari Hafizul dulu. Anak di dalam kandungan Aida sudah pun menginjak usia lima bulan. Hafizul rindukan Aida. Kalau dahulu, dia sering menghitung hari agar Aida ingat kembali.
Benarkah kata doktor? Ingatan Aida yang hilang itu hanya untuk sementara? Kalau benar, kenapa sehingga kini Aida tidak muncul di rumahnya? Jika ingatan Aida sudah pulih, Aida sendiri akan tampil di hadapannya. Dia yakin Aida tidak akan semarah itu bila dia kembali ingat pada kejadian lama. Kejadian yang menyebabkan anak dalam kandungan Aida itu wujud.
Doanya hanya satu. Jika Aida tidak mahu maafkan dia pun tak mengapa asalkan Aida ingat semula kejadian itu. Kejadian yang berlaku tanpa sengaja itu. Dia rasa dayus bila sudah terlalu lama tidak berjumpa dengan isterinya sedangkan dia ada peluang dan masa.
Dia cuma mahu Aida kembali percayakan dia. Percayakan janjinya dulu yang dia takkan pulang selagi Aida tidak mencarinya. Sekarang, dia terseksa dengan janjinya itu.
Sudah beberapa kali dia menelefon Aida dan menanyakan mengenai anak mereka tetapi Aida hanya mendiamkan diri tanpa sepatah kata. Teruk benarkah dia di mata Aida?
“Prestasi kerja awak semakin teruk, Hafizul. Awak dah buat masalah dengan semua pekerja dekat sini. Semua pekerja banyak mengadu tentang sikap awak. Saya minta maaf, saya terpaksa pecat awak.” kata-kata itu Hafizul terima dengan anggukan perlahan.
Dia bangkit dari kerusi dan terus melangkah keluar pejabat. Barang-barang diisi di dalam kotak. Pekerja lain yang memandangnya dengan pandangan simpati. Sedikit pun dia tidak endahkan pandangan itu.
Dia sebenarnya lega bila dipecat. Dia sudah tiada keinginan lagi hendak bekerja.
“Hidup dia macam tak bermakna je lepas Aida takde. Kenapa entah? Bila kita tanya dulu, dia kata Aida tu kawan baik dia. Macam ada apa-apa aje,” telinga Hafizul menangkap kata-kata dari seorang pekerja di situ.
Bukan dia yang suka mencari masalah dengan pekerja di sini tetapi mereka yang mulakan dulu. Macam sekarang. Perangai suka mengambil tahu hal tepi kain orang memang sebati dalam diri pekerja-pekerja di sini, baik perempuan mahupun lelaki. Macam mana Hafizul tak naik angin?
“Itulah! Aku pun tak sangka. Aida entah ke mana? Dia pulak macam orang pikul beban. Entahkan Aida kahwin dengan orang lain tak? Tu yang frust sangat tu.” Satu lagi suara bergosip.
Semakin lama semakin banyak suara yang berbunyi, mentanglah dia sudah dipecat. Mahu sahaja dia amuk dan tinju muka mereka  yang  mengatanya itu sampai berkecai. Dia tidak suka apabila ada yang sibuk ingin mengambil tahu hubungan dia dan Aida.
“Dah tak ada kerja lain?” soalnya berapi. Terdiam terus satu pejabat itu disergahnya. Semenjak beberapa bulan ini, mood Hafizul macam puting beliung. Hanya golongan mak cik-mak cik yang kepoh saja yang suka cari pasal dengannya.

“ASSALAMUALAIKUM...” suara seseorang menyapa telinga. Aida menjengah keluar tingkap. Posmen. Hampa sedikit hatinya. Kenapa dia berharap agar Hafizul yang memberi salam sedangkan dia yang tak bagi Hafizul cari dia?
Mana pergi mak dan ayahnya? Abang Aris di mana? Pelik! Dia menuruni anak tangga dengan berhati-hati. Bimbang jika terjatuh. Pasti memberi kesan kepada kandungannya. Walaupun dia cuba untuk membenci anak itu, namun semakin lama dia rasa semakin sayang.
Pergerakan anaknya itu lama kelamaan menghiburkan hati dia yang bersedih.
“Assalamualaikum...” sekali lagi salam diberi. Lelaki itu tersenyum ke arah Aida.
“Waalaikumsalam.” Jawabnya pendek. Si posmen memandang pelik wajah Aida.
“Noor Haida?” soal si posmen. Aida mengangguk-angguk dan tersenyum. Pelik. Mana posmen itu tahu namanya? Dalam tempoh ingatannya hilang, mereka ada berkenalankah?
“Ya saya.” Aida mengiyakan dengan tanda tanya di minda.
“Surat awaklah ni.” si posmen memberi Aida surat melalui Poslaju kepada Aida. Aida menyambut huluran lelaki itu. Nama pengirim dilihat. Mohd Hafizul. Suaminya menghantar sesuatukah buatnya?
“Tanda tangan dekat sini.” Arah si posmen lagi sambil menghulurkan sebatang pen dan menunjukkan tempat yang perlu ditandatangani oleh Aida. Aida menandatangani surat itu dengan pantas. Dia sudah tidak sabar mahu melihat isi dalam surat itu.
“Saya tak sangka Achik ada anak perempuan lain selain Arissa.” Beritahu lelaki itu sambil tersenyum. Aida membalas senyuman si posmen itu dengan senyuman hambar. Nampak sangatlah dia jarang pulang ke kampung ini.
“Sebelum ni awak duduk mana sampai tak pernah tahu tentang saya?” soal Aida tanpa dapat ditahan lagi tahap keraguannya. Si posmen hanya tergelak dan tersenyum nipis.
“Saya baru berpindah ke sini dalam tiga tahun lepas dan saya langsung tak pernah melihat awak.” dia berkata sambil kaki melangkah ke motornya. Enjin motor masih tidak dihidupkan.
“Oh! Mungkin saya jarang balik ke kampung. Dan sepanjang tempoh saya balik ke kampung tu, kita tak pernah berjumpa agaknya.” Kata Aida pula. Si posmen mengangguk setuju.
“Berapa bulan dah?” tegur lelaki itu.
“Lima.”
“Baiklah Haida. Saya pergi dulu.” Kata si posmen. Aida hanya menganggukkan kepalanya. Kata-kata lelaki tadi terngiang-ngiang.
Takkanlah tiga tahun langsung dia tak perasan pada kewujudan aku?



0 komen:

Post a Comment

 

LunaSAMS Template by Ipietoon Cute Blog Design