SALAH SIAPA? 7


Bab 7
MAKANAN yang terhidang dipandang sepi. Setiap hari begitulah keadaan dia. Dek kerana terlalu sibuk memikirkan anak dan isteri, dia jadi tidak sampai hati hendak makan. Bimbang jika isterinya yang jauh di mata tidak lalu makan. Badannya juga sudah agak kurus jika dibandingkan dengan dulu.
“Makan Joi. Malam ni game kau. Jangan buat pasal. Tak ada tenaga kau nanti, sekali je kena debik dah K.O.” bebel Ikmal. Dia tak mahu Hafizul kalah di pusingan pertama. Sesiapa pun tak nak pelatih mereka kalah pada pusingan yang pertama. Pinggan ditolak ke arah Hafizul. Hafizul mengeluh perlahan.
“Entah bini aku makan entahkan tidak.” Kata Hafizul kerisauan.
“Dia makan punya. Kalau tak, sekarang ni kau dapat berita kematian dia.” Dengan selamba Ikmal bersuara.
Kadang-kadang dia rasa sakit hati dengan Aida. Mana boleh Aida menghukum Hafizul begitu? Kalau benar Aida mengenali Hafizul dari kecil, pasti Aida tahu bagaimana sikap Hafizul. Pasti Aida tahu ada sesuatu yang dirahsiakan Hafizul.
Sedangkan dia yang baru mengenali Hafizul tujuh tahun yang lepas pun sudah cukup kenal Hafizul. Bila Hafizul gembira, bila Hafizul sedih dan bila Hafizul ada masalah. Semua dia dapat tahu hanya dari memerhati air muka lelaki itu.
“Hish mulut!” marah Hafizul apabila Ikmal berkata begitu mengenai isterinya.
I’m just saying. Entah dia fikir entahkan tidak pasal kau. Entah dia kat sana makan sedap-sedap. Kau dekat sini lara je. Kau kena makan. Malam ni first game kau. Kau jangan nak buat malu muka aku sudahlah.” Ikmal membebel. Wajahnya serius sekali.
“Entahlah...”
“Makan! Kau kena fikirkan aku juga. Malu muka aku ni nak letak kat mana kalau kau kalah? Uncle Lim lagi...” Ikmal menaikkan keningnya.
“Yelah-yelah aku makan. Aku dah janji nak menang.” Lambat-lambat disuakan juga makanan ke mulutnya. Malas dia mendengar bebelan Ikmal lagi.
Dia berharap agar suatu hari nanti, dia akan duduk di tempat Ikmal dan biar Ikmal duduk di tempatnya. Dia berharap agar ada seseorang akan buat Ikmal jadi lemah seperti apa yang Aida telah buat terhadapnya. Cinta! Dan apabila tiba saat tu, dia akan ejek Ikmal secukupnya!
Cinta terhadap seorang perempuan memang mampu buat lelaki jadi gila!
“Nak menang, buat cara nak menang. Jangan termenung sana sini. So gelilah.” Ikmal bergurau dengan gaya perempuan mengada.
“Aku tumbuk jugak budak ni!” Hafizul sakit hati dengan gelagat Ikmal.

“INGAT, jangan stress. Lupakan masalah kau tu kejap. Kejap je. Untuk dalam tempoh perlawanan kau je. Lepas tu, aku tak kisah kau nak mengamuk ke apa.” Beberapa kali Ikmal berpesan perkara yang sama kepada Hafizul. Tangan Hafizul dibalut dengan pembalut yang berwarna putih sebelum disarungkan sepasang sarung tangan tinju berwarna hitam kepada tangan Hafizul.
“Ya, aku tahu. Banyak kali dah kau pesan. Dari tak stress, dah jadi stress semula dah aku ni.” Sindir Hafizul dengan selamba. Ikmal tergelak.
“Okey sorry. Ketat okey dah?” soal Ikmal sambil menepuk-nepuk sarung tangan Hafizul. Hafizul mengangguk-anggukkan kepalanya. Penumbuk dilagakan beberapa kali.
“Cuba jab.” Ikmal mengangkat kedua belah tangannya dan menyuruh Hafizul menumbuk tapak tangannya. Hafizul menurut. Penumbuk dihayunkan beberapa kali ke arah tapak tangan Ikmal dan Ikmal menangkapnya dengan cekap.
“Okey?” soalnya lagi. Sekali lagi Hafizul mengangguk-anggukkan kepalanya.
Groin protector pakai?” soal Ikmal.
“Kalau tak pakai, tak boleh tambah anak dah aku nanti.” Senda Hafizul sambil tersengih. Terkekeh-kekeh Ikmal ketawa. Bahu Hafizul ditepuk-tepuk. Lega dia apabila Hafizul sudah boleh bersenda.
“Mana tahu kut-kut nak sorang je ke anak?” Ikmal bergurau.
“Tak ada maknanya.” Impian Hafizul, dia nak ada banyak anak. Biar hidupnya dikelilingi oleh budak kecil yang nakal, menghiburkan dan membahagiakan... itu matlamat hidupnya. Dan tentulah kanak-kanak itu beribubapakan dia dan Aida.

“BAGI Rissa tengok cerita ni!” Arissa cuba merebut alat kawalan jauh Astro dari Arman. Arman mengelak dan mengangkat tinggi alat kawalan jauh itu ke atas. Arissa terkinja-kinja melompat untuk mencapai alat kawalan jauh itu. Berlakulah sesi tolak menolak antara mereka berdua. Masing-masing tidak mahu mengalah.
“Aku nak tengok cerita nilah mangkuk!” kepala si adik diluku dengan alat kawalan jauh itu. Arissa mengaduh geram. Dia mencekik abangnya. Tidak berpuas hati.
“Alah...” dia mengeluh. Cuba meminta simpati dari abang sulung yang hanya menjadi pemerhati sedari tadi.
Aris menggeleng-gelengkan kepalanya melihat telatah adik-adiknya. Hanya Aida sahaja yang kaku duduk di hadapan tv tanpa sebarang bunyi. Nak kata terhibur melihat keletah adik-adiknya, sikit pun tidak. Nak kata dia bengang dengan adik-adiknya juga tidak. Dia sekadar merenung tanpa rasa ke arah tv yang seringkali bertukar-tukar siaran disebabkan perebutan ‘takhta’ itu.
“Rissa ni asyik tengok drama melayu aje. Bosan sungguhlah!” Arman mengamuk. Telinga adiknya ditarik geram. Arissa mengaduh kesakitan. Si emak dan ayah hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala menyaksikan perbalahan adik-beradik yang saban hari berlaku di hadapan mata mereka. Tidak terdaya hendak menegur anak-anaknya.
“Mak! Tengoklah Arman ni!” Arissa menggadu kepada emaknya.
Si emak mengeluh dan memandang si bapa. Tidak lama kemudian bahu si bapa disenggol-senggol sambil menghantar isyarat mata ke arah Aida yang masih leka termenung. Aida bagaikan berada di dunianya sendiri.
Sudah puas mereka mendesak agar Aida pulang ke pangkuan Hafizul tetapi anak perempuan mereka yang itu begitu keras kepala sekali. Langsung dia tidak mahu pulang ke pangkuan Hafizul. Kononnya benci sangat padahal... semua orang tahu Aida begitu rindukan Hafizul.
“Ah! Bak sini. Aku nak tengok sukan.” Lamunan si emak terganggu apabila Aris berdiri dan merampas alat kawalan jauh di tangan Arman. Kedua adik-adiknya yang berebut tadi sudah mencemik geram. Dua-dua tak dapat! Siapa berani nak berebut remote dengan abang sulung mereka yang garang macam lanun itu?
Aris duduk bersilang kaki di sebelah Aida. Siaran MTV dialih ke siaran sukan. Itulah yang dia mahu lihat.
“Eh! Ala... muay thai. Boringlah!” rungut Arissa. Arman mencemik sama. tiada seorang pun dalam keluarga mereka suka menonton sukan tinju. Dalam berkira-kira hendak menukar siaran, mata Aris tiba-tiba terbuntang.
“Eh! Tu...” dia berjeda. Takkanlah pula benar bagai apa yang dilihatnya. Atau, dia tersalah melihat? Tapi, rasa-rasanya di gelanggang itu memang lelaki itu!
“Macam...” kali ini giliran Arissa pula yang ternganga. Aida ikut terkejut melihat lelaki di dalam kaca tv itu. Nampak macam seseorang yang sangat dikenalinya. Benarkah?
“Pijoi!!!” serentak mereka sekeluarga bersuara terkejut.
Aida merampas alat kawalan jauh Astro dari Aris untuk mengalih siaran. Dia tidak suka dengan apa yang dia lihat. Hafizul masih aktif dalam sukan bertinju? Ini tak lain tak bukan, mesti pengaruh daripada Ikmal ni. Atau... argh! Kenapa dia tidak suka melihat lelaki itu bakal didebik nanti?
“Eh, jangan alih!” Aris dan Arman bersuara serentak.
Remote di tangan Aida dirampas si adik bongsu, Arissa. Arissa juga sudah berminat hendak menonton sukan tinju? Apa sudah jadi dengan keluarga ini? Dengus Aida sendiri.
“Ya Allah, dia masuk tinju? Untuk apa? Dia tak kerja ke?” soal si emak dengan nada gusar. Si ayah juga mengangguk-anggukkan kepala bersetuju dengan soalan emaknya.
“Entah. Tengoklah dulu dia lawan. Siaran langsung ni.” Kata Arman bersungguh. Dia sudah bersila di atas lantai. Arissa ikut bersila di sebelah Arman. Bersungguh mereka mahu menyaksikan pertarungan antara Hafizul dengan peserta dari Australia.
“Teruknya rupa abang Pijoi. Macam orang tak terurus. Dengan jambang tak trim lagi. Huh! Teruk sungguh penangan kak Aida beri kat dia, kan?” Arissa berceloteh lantas menyiku Arman di sebelahnya. Arman mengangguk-anggukkan kepala mengiyakan. Aida memandang kaca tv dengan pandangan berkaca. Ya, sangat-sangat tak terurus suaminya.
Benarkah itu semua gara-gara dia? Kenapa Hafizul melibatkan diri kembali dalam sukan tinju? Bukankah lelaki itu sudah berjanji takkan melibatkan diri lagi dalam sukan itu? Kenapa Hafizul mungkir janji? Dia bangkit dari duduknya. Pertarungan bakal bermula dan ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dia melihat. Hafizul bakal didebik orang, takkanlah dia boleh bergembira dengan keadaan begitu?
Rasa sakit hatinya masih tidak hilang tetapi... tegakah dia untuk melihat Hafizul dipukul? Mereka bersahabat baik sudah lama. Dia tidaklah terlalu berdendam sehingga lupa pada kenangan manis mereka bersama dulu. Aida hanya berdiri di sebalik pintu. Mendengar sorakan adik beradiknya, dia jadi pelik.
Takkanlah pula sebab Hafizul masuk sukan tinju, mereka melupakan salah Hafizul terhadapnya? Takkanlah pula mereka menyokong Hafizul? Mak yang tidak suka menonton siaran sukan itu juga bukan main berteriak sakan.
“Kesian dia.” komen pendek dari si ayah membuatkan hati Aida disapa rasa sakit yang teramat. Hafizul sedang dipukul terukkah? Untuk menyaksikan perlawanan itu, dia tidak sanggup...
“Argh! Mesti sakit makan penumbuk tu!” Arman mengaduh kesakitan bagai merasai kesakitan yang dialami oleh Hafizul dalam kaca tv itu. Aida yang mendengar di sebalik pintu sudah bersandar ke pintu dan terduduk ke lantai. Mata dipejamkan.
“Syhhh! Diamlah aku nak dengar apa pengacara tu cakap.” Aris menepuk bahu Arman yang berceloteh itu dengan geram. Bising.
Dia ingin mendengar apa yang dikatakan oleh pengacara siaran sukan itu. Nampaknya pengacara sudah tahu yang Hafizul sudah beristeri dan... Hafizul masuk sukan bertinju kerana isterinya? Kerana apa? Aris tertanya-tanya pula jadinya. Setahunya, Aida memang tak suka langsung pada sukan tinju-tinju ini.
Atau, Hafizul mahu mendapatkan hadiah untuk diberi kepada Aida? Mungkin juga. Sanggup betul Hafizul didebik sedemikian rupa. Kalau dia, tak sangguplah jadi bodoh sebegitu rupa untuk menyenangi hati seorang perempuan yang tidak tahu menghargainya.
“Gila, dia memang serius masuk tinju ah. Hadiah apa dia dapat kalau dapat nombor satu erk?” soal Arman yang begitu banyak celotehnya. Arissa juga mengiakan soalan abangnya. Apa hadiahnya? Masing-masing ingin tahu.
“Ini baru lagi peringkat pertama. Banyak lagi challengers dia. Jangan harap dia nak kekal kat tempat nombor satu tu. Orang lain dari bermacam negara ada. Jangan pandang hadiah dululah. Orang lain banyak pengalaman...” kata Aris selamba. Yakin benar bahawa Hafizul tidak akan berjaya sampai ke peringkat seterusnya.
“Kategori apa?” soal si Arissa yang polos.
“Kategori A, berat junior middleweight. Kat bawah tu ada tulis dah. Bawah 70kg.” Kata si ayah apabila Aris tidak mahu melayan si bongsunya. Tak senang dia hendak menonton perlawanan itu mendengar anak-anaknya bersuara.
“Nampak aje kurus Hafizul ni. Berat juga.” Komen Achik, mencelah. Memang Hafizul nampak kurus. Mungkin kerana kes yang terjadi antara dia dengan Aida yang membuatkan tubuhnya kurus sebegitu.
“Mungkin juga sebab muscle dia... tengoklah badan dia. Tak macam sebelum ni. Teruk dia training ni. Patutlah lama diam.” Komen Aris.
“Kategori A tu macam mana?” soal si Arissa. Arman sudah menayang muka bengang bila si adik tidak diam. Mungkin soalan si adik mengganggu konsentrasinya untuk menonton perlawanan abang iparnya itu.
“Kategori A dianggap menggunakan peraturan penuh atau profesional. Boleh kita nampak dari segi pemakaian mereka. Mereka tak pakai penghadang muka atau vest. Terus saja tak pakai baju. Kalau kategori B, diorang pakai.” Aris menjawab bagi pihak Ayah Chik pula.
“Along tahu dari mana ni? Rasa-rasanya keluarga kita memang tak suka sukan muay thai.” Arman juga jadi pelik mendengarnya. Kalau tadi dia marah kerana si Arissa bertanya, kini dia pula diserang rasa ingin tahu. Tiba-tiba minat kepada sukan muay thai ini muncul pula dalam diri mereka sekeluarga sebaik sahaja melihat Hafizul beraksi dengan cemerlang di dalam gelanggang.
“Itulah, lain kali banyakkan tengok sukan. Bukan cerita tak berfaedah kau orang tu.” Jawab Aris dengan angkuh. Boleh tahan juga Hafizul mencari kabel untuk menyertai pertarungan itu. Bukan calang-calang orang boleh menyertainya. Dalam hati, dia sudah berasa kagum dengan Hafizul.
“Berapa pusingan dia kena lawan ni? Lamanya rasa.” Rungut Arissa. Dia tidak sanggup melihat Hafizul dipukul dan memukul orang. Rasa macam bukan Hafizul yang mereka kenal. Hafizul yang mereka kenal tidak nampak gagah langsung. Tak sangka pula bila dah beraksi di dalam gelanggang, Hafizul jadi selincah ini.
“Kategori A lawan lima pusingan. Tiga minit setiap pusingan. Waktu rehat dia dua minit.” Kata Aris lagi.
“Allah, banyaknya pusingan! Kesian Abang Pijoi. Dahlah tak pakai apa-apa pad pelindung pun...” Arissa sudah ketakutan. Bimbang abang iparnya didebik teruk.
“Menanglah Pijoi! Menanglah!!” si emak menyokong seratus peratus. Si ayah dan adik-beradik Aida juga berdoa di dalam hati. Moga kemenangan berada di pihak Hafizul. Mungkin mereka sudah memaafkan kesilapan Hafizul. Cuma menanti hati Aida sahaja yang lembut...

TING TING!! Loceng berbunyi. Hafizul berundur setapak demi setapak. Kepalanya sudah berpinar-pinar. Mungkin kesan ditumbuk berkali-kali tadi. Waktu itu, apa yang dia bayangkan hanyalah Aida. Ini harga yang aku harus bayar untuk kemaafan kau, Da. Aku rela.
Dia duduk bersandar kelesuan ke kerusi. Wajahnya dicurahkan air. Pipinya disapu minyak krim berwarna putih yang dipanggil Petroleum Jelly. Mouthguard di dalam mulutnya dicabut keluar oleh Uncle Lim. Bahunya ditepuk dan dipicit berkali-kali oleh pembantu Uncle Lim. Kesan lebam di atas kening ditindih dengan ice bag. Berkerut-kerut mukanya menahan sakit.
“Kau okey bro?” soalan Ikmal itu dibalas dengan anggukan. Air mineral dihulurkan ke tangannya. Dia meneguk mineral itu dengan rakus.
“Ingat, Joi. Punch! Elak, elak, left right then, dush!!! Uppercut! Elak, elak...dush, uppercut! Hook him! Kaki jangan lupa. Dapat peluang, kau guna lutut. Ingat, serang banyak kali dapat mata. Siku pun sama. Ingat, kau ada siku.” Ikmal berkata bersungguh-sungguh bersama gayanya. Wajah Hafizul yang basah dengan peluh dan air yang dipancut keluar dari botol air tadi dilap dengan tuala putihnya. Hafizul mengangguk tanda faham.
“Ingat, tak lama dah anak kau nak keluar. Kau kena menang ni. Kalau tak mana nak datang duit?” Pipi Hafizul ditepuk-tepuk, memberi semangat.
Hafizul angguk. Kalau tak silap, sudah lebih tujuh bulan kandungan Aida sekarang. Tak lama lagi dia akan bersatu dengan anaknya. Air mineral di dalam mulutnya yang tidak ditelan terus diludah ke dalam baldi kecil di bawah bangkunya. Masa rehat tidak lama. Dua minit sahaja. Suasana begitu kecoh sekali.
“Ingat jab tu kena banyak! Kalau rasa dia agak agresif, cepat-cepat defense. Jangan bazirkan serangan kau kalau rasa tak kena. Tu buat kau penat. Sia-sia.” kata Ikmal lagi dengan kuat.
Hafizul mengangguk macam burung belatuk. Dia kembali berdiri. Mouthguard disumbat ke mulutnya. Penumbuk dilagakan. Hafizul sudah bersedia untuk pusingan seterusnya.
Selepas sarung tangan mereka berlaga tumbukan kesepakatan, dia mula bertumbuk dengan bersungguh-sungguh. Sorakan orang ramai langsung tak diendahkan. Apa yang dia fikir sekarang ialah, untuk menang pertandingan ini. Biarlah sakit badan seteruk mana sekalipun akibat dihentam, dia takkan jatuh ke lantai. Itu janji dia pada diri sendiri.
Dia perlu melepaskan tumbukan yang lebih tertumpu di bahagian kepala dan badan dilepaskan berkali-kali kepada pihak lawan. Dia perlu mengutip mata yang banyak untuk kekal berada dalam pertandingan ini.

“WHOAH!!! Handsomenya yang jadi kuli dia tu!” tegur Arissa apabila melihat wajah Ikmal yang sedang membebel pada Hafizul sambil tangan lincah menyapu itu dan ini ke muka Hafizul yang sudah membengkak.
“Itu bukan kuli, itu corner boy! Kemungkinan dia itu jurulatih yang mengajar abang Pijoi korang bertinju. Nampak cara dia bercakap dengan Pijoi tu?” Aris membetulkan tanggapan adiknya.
“Oh... handsomenya... suami idaman ni.” puji Arissa lagi.
“Gatal! Kalau dia kat depan mata kau pun belum tentu dia nak pandang kau.” Aris mengutuk selamba. Arissa mencemik. Asal berangan sikit, mulalah Aris nak mematikan angannya.
“Entah-entah dah berbini...” Arman pula menyampuk sambil tergelak-gelak.
“Syhhh! Nak start dah! Gaduh lain hari pulak.” Ayah Chik memarahi anak-anaknya yang membuat bising.
“Aduh! Sakitnya dia!!” jeritan Arman dan Arissa di luar menyenakkan dada Aida. Sungguh demi tuhan, dia tidak sanggup lagi untuk mendengarnya. Dia tidak sanggup untuk terus membiarkan Hafizul dipukul.
“Kenapa Joi? Kenapa kau masuk tinju semula? Kau dah janji dengan aku kau takkan masuk tinju lagi... kenapa kau langgar janji kau?” soal Aida perlahan.
Perit mendengar sorakan keluarganya di luar. Sungguh dia rasa takut kehilangan Hafizul. Kenapa baru sekarang dia takut kehilangan lelaki itu sedangkan dia tidak pernah mengambil tahu tentang Hafizul? Tidak sama sekali.
Benar! Sekali pun Hafizul hendak menghukum diri, begitukah caranya? Dia tahu, memang itu niat Hafizul. Untuk menghukum diri sendiri. Sudah lama dia mengenali Hafizul. Sikap Hafizul juga sudah tentu dia dapat tafsir dengan mudah sekali.
‘Berhentilah jadi bodoh, Joi!’ marah Aida di dalam hati. Sungguh dia tidak sanggup mendengar suara adik-beradiknya menjerit kengerian. Entah ngeri disebabkan siapa dipukul siapa tetapi dia yakin jeritan ngeri itu ditujukan buat Hafizul.
“Alhamdulillah!!!” sorakan itu menyentak lamunan Aida. Maksudnya?
“Abang Pijoi dah menang. Yeay!!” jerit Arissa kuat. Keluhan lega dilepaskan sebaik sahaja telinganya menangkap suara riang Arissa dan sorakan keluarganya. Lega. Rasa segala beban terlepas pergi...
Sorakan adik beradiknya di luar tidak diendahkan lagi. Apa yang pasti kini, dia lega.





0 komen:

Post a Comment

 

LunaSAMS Template by Ipietoon Cute Blog Design