SALAH SIAPA? 9


Bab 9
CAHAYA matahari yang memancar masuk ke dalam bilik begitu menyakitkan matanya. Perlahan-lahan mata dibuka. Pandangan yang samar pada mulanya bertukar jelas setelah dipejam celik berkali-kali. Pelik. Ke mana perginya Aida? Jam di dinding bilik dipandang sekilas. Sudah jam tiga petang! Ya Allah, lama sungguh dia tidur! Cepat-cepat dia bangkit.
Terasa lenguh-lenguh dan sakit badan. Barulah hari ini terasa kesan sakit di muka dan badannya! Bagai direnyuk dan digusti oleh Hulk pula rasanya. Dia melangkah keluar dengan hanya berseluar panjang dan tidak berbaju. Wajah pertama yang dicarinya sebaik sahaja mata menyapa ruang tamu ialah wajah Aida. Aida tiada. 
Wajah Ayah Chik dan Achik menyapa matanya. Pasangan tua itu hanya tersenyum memandangnya. Mereka sudah tidak marahkah dengan apa yang sudah berlaku?
“Bangun pun...” Achik menegur lembut.
Hafizul agak pelik dengan cara Achik menegurnya. Penuh keibuan. Sama macam dulu-dulu. Achik dah tak marahkan dia ke? Tapi, dia tetap membalas soalan Achik dengan senyuman dan anggukan.
Tangan Achik disalami penuh hormat. Achik menyambut elok tangan menantunya. Air matanya bergenang. Hati ibu mana yang tak rindukan anak? Hafizul sudah dianggap bagai anak kandungnya sendiri. 
“Macam mana? Sakit badan?” sapa Ayah Chik sambil menepuk bahu Hafizul.
Mungkin berbangga dengan kemenangan Hafizul malam tadi. Hafizul tersengih. Salam dihulurkan kepada ayah mertuanya pula. Semakin pelik dia dengan layanan elok yang diterima. Adakah kerana wajahnya yang sudah menyerupai badut itu?
“Sakit jugaklah. Lenguh-lenguh bangun tadi.” Kata Hafizul sambil tersenyum kekok. Sudah lama mereka tidak berbual begini selepas kejadian dulu.
“Saya tak berniat nak langgar janji saya pada Aida, tapi... semalam saya terfikir kalau saya tak sempat jumpa dia...” Hafizul berkata penuh rasa bersalah. Achik dan Ayah Chik berpandangan sesama mereka. Hafizul fikir mereka juga ‘dalang’ di sebalik perjanjian Aida itukah?
Selama ini mereka fikir Hafizul seorang yang tidak bertanggung jawab dan pengecut. Tak sangka ada sebab lelaki itu tidak pulang menjenguk mereka di kampung. Aida, Aida...
“Tak apa. Dah lama kami tunggu Pijoi balik. Pergi basuh muka dulu. Makan dulu siap-siap.” Arah Achik lembut.
Hafizul mengangguk menurut. Dia memanjangkan langkahnya ke bilik air untuk membasuh muka. Kelibat dan wajah Aida masih tiada menyapanya. Mungkin Aida ada di luar rumah, sedang meladeni perasaan di pangkin. Fikirnya.
Dia melabuhkan punggung ke kerusi di meja makan. Aris datang ke dapur mengambil air dari peti untuk diminum. Aris kemudiannya duduk di hadapan Hafizul. Wajahnya tegang. Hafizul mula rasa takut apabila berdua-duaan dengan Aris. Bimbang juga jika dia dipukul hari ini. Sudahlah bengkak-bengkak semalam tidak surut lagi. Harapnya Aris sekadar duduk membatu saja.
Bukannya dia tak dapat nak tangkis sekiranya diserang Aris, cuma dia tak mahu bersikap kurang ajar.
“Macam mana kau boleh masuk battle tu?” soal Aris dengan suara mendatar. Nak kata dia berminat nak tahu, tak juga. Mungkin sekadar bertanya. Fikir Hafizul. Pelik juga mendengar soalan daripada Aris itu. Mungkin Aris sengaja mahu berlagak seperti biasa. Hubungan mereka dulunya elok sangat.
Uncle Lim uruskan semua. Uncle dengan Ikmal. Aku masuk beraksi aje.” Jawab Hafizul kekok. Aris mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham. Minuman diteguk. Halkum turun naik. Matanya tidak lepas dari memerhati wajah bengkak-bengkil Hafizul.
Not bad.” Kata Aris dengan muka seriusnya.
“Apa yang not bad? Muka aku ni ke?” soal Hafizul. Bukannya dia tak perasan cara Aris pandang dia. Macam nak telan. Kalau dia anak dara, harus dia takut. Buat pertama kalinya, Aris tersenyum nipis mendengar soalannya.
“Kau berlawan semalam. Kalau muka, aku rasa teruk pihak lawan kau tu lagi.” Kata Aris. Kali ini berganda-ganda rasa pelik Hafizul. Tadi Achik, kemudian Ayah Chik. Dan sekarang, Aris? Ada sesuatukah yang mereka rahsiakan dari dia?
“Terima kasih.” Ucap Hafizul.
“Tapi kau patut guna taktik uppercut tu sebanyak mungkin biar senget rahang dia.” Komen Aris selamba.
Hafizul tersenyum sambil mengunyah nasinya. Tak sangka Aris akan mengulas tentang ‘permainannya’ semalam. Dia bukannya bertinju sebab bermusuhan sehingga perlu menyengetkan rahang pihak lawan. Selepas tamat perlawanan, mereka berdamai. Memang itulah adat bertanding. Berdarah sikit-sikit tu, adatlah. Masing-masing nak menang.
“Abang Pijoi, sakit tak?” soal Arissa yang tiba-tiba muncul di dapur. Arissa duduk di sebelah Aris dan bertentangan dengan Hafizul. Hafizul tersengih saja mendengar soalan adik iparnya itu.
Wajah Arissa berkerut-kerut memandang kesan lebam dan bengkak di wajah Hafizul.
“Boleh tahanlah sakitnya. Semalam tak sakit mana. Hari ni, bangun tidur baru terasa macam kena belasah dengan Hulk.” Jawab Hafizul.
“Ramai tak yang handsome-handsome sertai pertandingan tu?” soal Arissa dengan muka nakalnya. Kepalanya disekeh si abang yang tegas. Automatik tangan mengusap kepala yang disekeh sambil mulut mengomel geram.
“Jangan nak menggatal. Kau tu budak lagi.” Aris bersuara tegas. Arissa mencemikkan mukanya. Budaklah sangat! Dia dah layak berkahwin pun. Ramai kawan sebayanya yang sudah bertunang dan berkahwin.
“Ada yang kacak-kacak. Tapi orang putihlah. Orang putih tak bersunat.” kata Hafizul selamba. Arissa menjelirkan lidah.
“Heeee! Tak naklah!” Arissa menggeliat geli-geleman. Dia terus menghilangkan diri dari dapur. Hafizul tergelak jadinya, namun tak lama. Wajahnya sakit. Aris pula tersengih-sengih dengan reaksi Arissa. Tahu pun trauma. Sesudah makan, Hafizul membasuh tangan dan juga pinggannya.
“Aida mana? Dari tadi aku tak nampak dia.” soal Hafizul kepada Aris. Nak berbual mesra dengan Aris dia jadi tidak berani. Lelaki itu masih dingin sebenarnya. Air muka Aris berubah bila diajukan soalan begitu.
Why with that face? Mana Aida?” soal Hafizul tidak sedap hati.
“Aida... dia dah pergi.” Aris memberitahu perlahan. Mungkin simpati pada Hafizul. Dia tahu Hafizul pulang kerana Aida. Sekarang, Aida sudah tiada. Kasihan sungguh. Mata Hafizul pula sudah terbuntang mendengarnya.
“Dia pergi mana?” soal Hafizul tak menyempat-nyempat.
“Kitorang pun tak tahu dia ke mana. Kami cuma disuruh hantar dia ke stesen bas saja tadi. Tapi si Armanlah didesaknya sebab semua tak nak layankan kehendak dia. Dia kata, nanti dia dah bersedia nak menghadap kamu, dia balik terus kepada kamu.” kata Ayah Chik yang entah bila muncul itu.
Hafizul tercengang-cengang. Dia tidak patut mengambil keputusan terburu-buru begini. Apa yang diramal berlaku juga. Aida meninggalkan dia sekali lagi.
“Saya tak patut balik... bukannya dia tak ada warning pasal ni.” perlahan sahaja suara Hafizul. Keluhan dilepaskan.
Kalau boleh, mahu saja dia menangis di situ tetapi ditahankan saja air matanya. Dia tidak mahu kelihatan lemah di mata keluarga Aida. Aida semakin menjauh darinya dan dia merasakan yang kemungkinan dia tidak dapat bersama dengan Aida lagi. Aida begitu membenci dirinya.
“Kamu tunggulah dia sejuk dulu ya?” pujuk Ayah Chik lembut.
Hafizul hanya mengangguk-anggukkan kepalanya mendengar nasihat Ayah Chik. Rasa-rasanya, peluang untuk dia bertemu dan dimaafkan Aida sangat tipis kali ini. Sangat-sangat tipis. Satu sikap Aida sama ada dia ingat ataupun dia lupa ingatan ialah keras kepalanya. Sikap itu takkan pernah luntur.
Kalau A yang dikata, maknanya A lah. Kalau B, B lah. Payah untuk orang mengubah pendiriannya. Hafizul yakin, Aida menghilang lebih lama menyembunyikan diri daripadanya. Dia nampak riak simpati bapa mertuanya tetapi... kenapa mereka tidak terus menghalang? Bukankah sepatutnya mereka tahu Aida berdosa melayannya sebegitu? Bagaikan dia bukan suami kepada Aida.
“Tak ada gunalah saya di sini kalau saya tak mampu bawa pulang isteri saya.” kata Hafizul hampa. Ayah Chik mengeluh perlahan.
“Ayah dah jenuh bagi nasihat dekat dia. Tapi kamu tahu sajalah sikap dia yang keras kepala tu. Tak terlawan kita ni dibuatnya. Apa yang dia nak, itulah yang dia mesti dapat. Achik menangis tadi pun dia buat keras kepala saja. Kena ugut penampar dengan Aris pun dia buat tak lalu saja.” Bebel Ayah Chik.
Hafizul rasa bersalah kerana tersalah anggap. Ayah Chik dan Achik menghalang rupa-rupanya. Aris ugut untuk menampar isterinya? Kenapa dalam suasana kucar-kacir begitu tadi dia tidak langsung terjaga? Tidur mati ataupun dia mati betul untuk beberapa ketika? Kalau Aris menampar isterinya, dia tidak akan teragak-agak untuk membalas semula. Dia tidak mahu Aida disakiti.
“Nak buat macam mana, ayah. Dia dari kecil memang begitu.” Keluh Hafizul.
“Ayah tak tahu sebenarnya apa yang jadi pada kamu berdua ni. Nak salahkan kamu seorang, memang tak adil sebab yang seorang lagi tu memang tak ingat apa-apa. Lagi pula, kamu selalu sangat lindung dia. Jadi, kisah sebenar dia kami tak tahu. Banyak-banyakkan berdoa moga hati dia lembut ya?” pesan Ayah Chik lagi.
Hafizul mengeluh perlahan. Ayah Chik tidak berani menyalahkan sesiapa. Ini bermakna, Ayah Chik tidak mempercayai sepenuhnya pada kata-kata dia dulu. Kata-kata Ayah Chik itu mampu dibalas dengan anggukan.
Aris yang memerhati hanya terdiam. Ya, betul kata Ayah Chik. Dia juga tidak tahu sebelah pihak mana yang salah sebenarnya. Dia kenal Hafizul dan dia juga cukup kenal adiknya sendiri. Untuk apa Hafizul mengharapkan agar Aida ingat semula kalau yang berlaku dulu memang salahnya?
“Kau ni memang perahsia!” keluh Aris geram. Memikirkan Aida dan Hafizul sahaja sudah cukup memeningkan kepalanya. Seperti hendak meleraikan kes misteri jenayah pula.

AIDA hanya termenung sendiri di dalam bas. Kuku ibu jarinya digigit-gigit. Kenapalah dia tidak menikmati pelukan Hafizul tadi terlebih dahulu? Sungguh dia benar-benar  merindui suaminya. Sudah lama mereka tidak bertemu. Lelaki itu sahabat karibnya. Pelukan Hafizul yang menghangatkan itu sudah dirinduinya walaupun dia meninggalkan rumah tidak sampai empat jam lalu.
Seingat Aida, mereka tidak pernah tidak bertemu dengan Hafizul untuk jangka masa yang panjang begini. Paling lama pun dalam masa seminggu sepanjang mereka membesar bersama. Tidak tahulah pula apa yang jadi sewaktu lima tahun tempoh ingatannya hilang dulu. Cepatlah sampai ke destinasi.
Ke mana dia pergi, dia sudah meminta Ayah Chik dan Achik untuk merahsiakan dari pengetahuan Hafizul. Jika tidak, dia tidak akan teragak-agak untuk lari lebih jauh. Dia bukannya tiada wang untuk berbuat demikian. Wang simpanannya sangat mencukupi untuk dia lari jauh. Ayah Chik dan Achik terpaksa akur dengan permintaannya.
Mereka mahu melihat cucu mereka. Berguna juga ugutan Aida itu walaupun dia berasa bersalah kerana mengugut ibu bapa sendiri yang tidak-tidak.
Telefon bimbit yang diberikan Arissa kepadanya bergegar.
‘Abang Pijoi dah balik dengan air matanya.’ mesej yang diterimanya daripada Arman itu sudah cukup untuk membuatkan air matanya bertakung.
‘Ada beritahu dia tak aku ke mana?’ balas Aida.
‘Tak. Kita dah janji, kan? Minggu depan dia ada battle. Dia kata, kalau kak ada contact kitorang, dia suruh kak doakan dia.’ balas si adik lagi. Adik yang begitu menyayangi Hafizul.
‘Hmm. Okey.’ Balasnya.
‘Akak tak patut buat dia macam tu. Hampa sangat dia tadi. Hampa sangat-sangat sampai semua orang tengok pun rasa nak menangis.’ Mesej itu ditatap dengan lama. Air mata yang mula merembes dibiarkan saja.
Dia juga sebenarnya tidak menyangka yang dia masih tidak mampu untuk menatap muka lelaki itu. Salah diakah kerana terlalu pendendam dengan apa yang terjadi?

“SEKEJAP je kau balik.” Komen Ikmal sebaik sahaja melihat wajah muram Hafizul di muka pintu. Macam ada benda yang tak kena sahaja. Muka Hafizul begitu keruh sekali. Tentu dia tidak berjaya memujuk Aida untuk pulang.
“Baru pagi tadi dapat peluk dia, terus dia lari entah ke mana.” Beritahu Hafizul sedih.
Ikmal terdiam mendengarnya. Benarlah seperti kata Hafizul. Aida benar-benar tekad meninggalkan lelaki itu sekiranya Hafizul melanggar janjinya. Kalau dia pun tentu dia langgar juga. Sudah lama tidak bertemu dengan isteri sendiri. Suami mana yang sanggup menahan rindu?
At least, terubatlah rindu kau...” pujuk Ikmal yang berfikiran positif.
“Terubat pun... sekarang dia dah lari lagi jauh. Aku tak tau macam mana dah nak cari dia. Aku takut aku tak dapat jumpa anak aku sampai bila-bila.” Adu Hafizul dengan keluhan. Dengan keluarga mertua yang terlalu menyimpan rahsia, bagaimana dia hendak menjejaki isterinya?
Dia tahu, pasti Aida mendesak ibu dan bapa mertuanya supaya berjanji untuk merahsiakan ke mana dia menghilang. Dia cukup kenal sikap Aida yang gemar mendesak itu. Tetapi, dia tidak salahkan keluarga mertuanya. Salah dia juga kerana memungkiri janji.
Ikmal tersentuh melihat keadaan rakan karibnya. Padanya, Aida itu dikira bernasib baik kerana mendapat suami yang prihatin, bertanggung jawab dan setia seperti Hafizul. Kalau dia di tempat Hafizul, entahkan sudah mencari gadis lain untuk dibuat ‘peneman’ di waktu sunyi. Rugi sungguh Aida tidak sedar akan itu. Hafizulnya menyayangi dia sesungguh hati. Apa lagi yang dia mahukan dari Hafizul?
Perkara yang dah berlaku dulu? Itu boleh berlaku pada sesiapa pun. Aida tak patut meletakkan seluruh kesalahan kepada Hafizul dalam keadaan dia tak ingat apa-apa begitu. Ia tidak adil.
Sorry bro...” Ikmal menepuk bahu Hafizul, cuba melegakan sahabatnya. Hafizul tersenyum hambar.
“Tapi aku dapat rasa perut dia. Baby aku terus bangun dari tidur bila aku usap perut Aida. Ya Allah, comel sangat. Macam dia menggeliat pun ada... tak sabarnya nak tunggu dia keluar, weh. Mesti cute je.” Wajah keruh Hafizul sudah berseri-seri sebaik sahaja menceritakan mengenai anaknya.
“Wah! Mesti anak kau pun excited jumpa kau!” kata Ikmal yang turut ceria mendengar berita itu. Hafizul tersengih.
“Lepas habis battle nanti, aku ingat nak tumpukan terus pada famili akulah. Aku nak cari kerja. Lepas ni, entah macam mana aku nak beri bini aku duit kalau aku terus tak bekerja dan melangut dekat rumah macam ni.” Keluh Hafizul kesal. Kerja sudah dipecat... dia sudah bertekad yang dia tak akan menggunakan wang simpanan kecemasannya di dalam bank ASNB selagi dia masih boleh berusaha.
Walaupun wang itu untuk persiapan perkahwinannya, namun dia tetap tak akan gunakan. Yelah, dapat kahwin koboi... mestilah duit itu tak terusik. Jadi, wang itu akan digunakan untuk masa depan anaknya nanti. Apa aje yang dia ada sekarang? Sebuah motor dan sebuah kereta saja.
Motor? Ya! Dia boleh menjual motornya buat sementara waktu ini. Untuk mencari kerja tentulah tidak. Bagaimana dia nak mengasingkan kerja dan pertarungan itu nanti? Ah! Kenapalah dia tidak berfikir panjang sebelum masuk bertanding? Konon-kononnya dah fikir masak-masak! Huh.
“Baguslah kalau kau dah fikir macam tu.” kata Ikmal menyokong.
“Wey. Kau tolong tanya sesiapa nak beli motor aku.” Kata Hafizul bersama keluhan.
Meskipun dia amat menyayangi motor kesayangannya itu, namun dia tidak punya pilihan lain. Lagi pula, dia sudah ada kereta. Kereta tentunya lebih penting berbanding motor. Bagaimana jika Aida pulang nanti dan ketika itu Aida hendak bersalin? Tentu akan mendatangkan masalah jika tiada kereta.
“Wey, serius?” Ikmal agak terkejut mendengar kata-kata Hafizul itu.
“Yup. Aku tengah sengkek ni, Mal. Hidup aku susah teruk. Balasan agaknya atas dosa aku dulu.” Ujar Hafizul sambil ketawakan hambar. Lebih kepada ketawakan diri sendiri. Ikmal mengeluh. Jatuh simpati dia pada nasib yang menimpa Hafizul. Sudah jatuh ditimpa tangga dan digilis pula lori. Begitulah perumpamaan nasib yang terpaksa Hafizul tanggung sepanjang bergelar suami ‘tak beristeri’ ini.
“LC?” soal Ikmal pendek.
“Motor apa lagi aku ada selain LC tu? Motorola?” soalan Ikmal dibalas dengan soalan. Tersengih Ikmal apabila disindir begitu.
“Kau baru beli tahun lepas kut, motor tu. Takkan nak jual dah? Calar-balar pun tak ada. Pada aku... rugi weh.” Ikmal tidak berpuas hati.
“Aku terdesak ni, wey. Lagipun apa nak hairan? Aku dah ada keretalah. Nak gerak-gerak ke mana-mana tu, boleh sangat. Paling tidak pun, aku jalan kaki. Ketersampaian baguslah kat bangunan ni. Restoran kat bawah aje. Kedai topup segala haram jadah semua ada kat bangunan ni aje. Tak pakai motor pun, tak matilah aku jalan kaki.” Kata Hafizul selamba.
“Sayangnya...”
“Lagipun, nak bayar rumah ni, sakit weh. Mahal. Nak-nak aku duduk sorang.” Ikmal terdiam. Ada benarnya juga.
“Kau nak jual berapa ni?” soal Ikmal.
“Aku beli tujuh k lebih. Aku jual empat k sajalah kut.” Kata Hafizul tenang.
“Murahnya. Motor kau tu motor baru.” Ikmal mencemik.
“Kau nak jual mahal buat apa? Motor tu aku dah guna. Tapi, kalau kau rasa tak patut, kau mark uplah lima ratus ke. Lepas tu kau ambillah lima ratus tu. Tapi, jangan kelentong orang. Nanti tak pasal-pasal jadi kes polis. Motor tu atas nama aku, Mal.” Hafizul berpesan. Ikmal tergelak.
“Kau ingat aku jahat sangat ke, ha?” soal Ikmal. Hafizul tersenyum.
“Manalah tau?” Hafizul berkata selamba.
“Tak adalah. Murahnya. Sebenarnya, aku terfikir nak beli.” Kata Ikmal.
“Ha, kau ajelah yang ambik. Lagi untung. Bila aku rindu motor tu nanti, boleh aku pergi rumah kau aje lepas rindu.” Hafizul bersuara teruja. Ikmal menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Murah sangat tu, Joi. Tak sampai hati pulak aku.” Kata Ikmal serba salah. Sudah lama dia teringin untuk memiliki motor yang bernombor plat cantik itu. Dulu dia pernah memujuk Hafizul untuk menjual kepadanya tetapi Hafizul begitu menyayangi motor itu. Bila peluang terbentang di depan mata, dia pula yang rasa serba salah.
“Hek eleh. Kau jangan nak mengadalah. Kau nak, kau ambil. Kalau kau tak nak, aku jual kat orang lain dengan harga tu.” kata Hafizul separa mengugut.
“Yelah-yelah. Jangan jual kat orang lain. Aku nak. Plat cantik.” Komen Ikmal tersengih-sengih.
“Kau dari dulu suka plat aku.”
“Mestilah. Ada ong tu, semua  satu. Aku ambillah nanti. Esok, aku transfer duit ke akaun kau. Tapi aku bayar ansuran boleh? Dua kali bayar.” Kata Ikmal. Hafizul tersengih. Mereka berjabat tangan mencapai kata sepakat.
“Boleh! Alhamdulillah. Thanks, Mal.” Ucap Hafizul terharu.

Lega setelah mendapati Ikmal sanggup membantunya. Entah bagaimanalah dia hendak membalas jasa sahabat karibnya yang banyak membantunya itu. Dia percayakan Ikmal sebab Ikmal sangat mudah menepati janjinya. 

0 komen:

Post a Comment

 

LunaSAMS Template by Ipietoon Cute Blog Design