SALAH SIAPA? 2


BAB 2
5 tahun sebelumnya...
“AIDA, keluarlah. Ada hal ni. Aku tak siap assignment. Matilah kalau Madam Atie tau. Tolonglah aku siapkan.” Rayu Hafizul di hujung talian. Dahi Aida berkerut seribu. Pelik. Hafizul tak pernah tak siap assignment. Kalau dia, memang selalu sangat tak siap dan Hafizullah yang akan membantunya menyiapkan kerja.
“Eh, biasanya kau orang paling awal yang siapkan assignment. Asal tak siap pulak kali ni?” soal Aida tidak menunggu lama.
“Aku keluar tadi...” suara Hafizul perlahan saja mengakuinya.
“Kau ke mana? Balik pukul berapa?” lagak bagai seorang isteri, Aida menyoal aktiviti Hafizul.
“Main futsal, Da. Budak-budak ni ajak. Ada tournament. Sekarang nak start buat, aku tak tahu nak mula macam mana. Aku lupa dah apa lecturer ajar.” Rungut Hafizul. Semakin pelik Aida.
Hafizul seorang yang sangat-sangat fokus di dalam kelas. Malah, jika dia mengganggu tumpuan Hafizul hanya dengan ingin meminjam liquid paper, Hafizul akan menjegilkan mata dan memarahinya. Takkanlah apa yang Madam Atie baru ajar siang tadi dah lupa? Kalau minggu lepas, percayalah juga dia.
“Da tolonglah...” suara Hafizul semakin mendayu-dayu.
“Kau gila ke? Dah pukul satu lebih ni. Mana boleh keluar.” Rungut Aida pula. Memanglah dia nak tolong. Hafizul pun selalu tolong dia. Tapi masalahnya sekarang, mereka tinggal di dalam kolej. Di kolej, mereka perlu ikut peraturan. Sedangkan lampu bilik pun tak boleh dinyalakan selepas pukul 12 malam. Inikan pula nak menyelinap keluar?
“Panjatlah pagar.” Hasut Hafizul.
“Tak naklah!” Aida mendengus. Sejak bila pula Hafizul pandai mengajarnya buat ‘jahat’?
“Aida, aku biasa tolong kau. Sampai hati kau buat aku macam ni.” Suara Hafizul semakin sayu. Aida jadi tak keruan bila Hafizul dah mula guna ayat pasrah.
“Mengungkit!” omel Aida sendiri.
“Bukan. Hmmm. Takpelah. Aku ponteng kelas jelah besok. Pandailah kau kelentong madam kalau dia tanya pasal aku.” Hafizul berkata tidak lama kemudian.
“Kau gila apa? Takkan sebab tak siap kerja pun kau nak ponteng kelas? Besok datang awal...” tak sempat nak berceramah, talian tiba-tiba putus. Hafizul mematikan panggilannya.
“Pijoi!” jerkah Aida dengan suara yang tertahan-tahan. Rakan sebilik semuanya dah tidur. Hafizul merajuk dengannya. Ah! Tak boleh jadi ni... kalau Hafizul merajuk memang lama.

HAFIZUL tersengih lebar memandang kek di tapak tangan kanannya. Tertera nama Aida di atasnya bersama sebatang lilin yang masih belum dinyalakan.
“Eh, jadi tak?” soal Lee sambil usyar line. Mereka dah melanggar peraturan kampus dah pun. Mana boleh mereka berada di kawasan itu pada tengah-tengah malam buta.
“Kejap lagi adalah tu.” kata Hafizul bersama senyum meleretnya. Dipandang rakan-rakan lain yang beratur sambil tertunduk-tunduk di belakang mereka.
Tiba-tiba telefon bimbitnya bergetar menandakan sms masuk.
‘Heee, kau ni memang sengaja kan? Tunggu! Lima minit aku sampai.’
Semakin lebar senyuman Hafizul.
“Korang diam ek. Ni dia dah mesej. Kejap lagi dia datang. Siap sedia...” senyuman nakal jelas terpancar di wajah masing-masing.
“Lambatnya. Gatal weh. Banyak nyamuk. Apa pasallah tak ajak dia overnight aje?” soal seorang daripada tiga sahabat mereka. Semuanya lelaki, kawan sekelas yang agak rapat dengan Aida dan Hafizul.
Overnight kang nampak sangat kita nak sambut birthday dia... lagi satu, aku mana cukup budget. Kalau sama lelaki takpe jugak. Dalam kereta pun boleh tidur. Alasan seterusnya, besok pagi ada kelas Madam Atie. Kalau kau nak madam menjerit-jerit nanti, kau buatlah perangai.” Bebel Hafizul. Madam Atie merupakan pensyarah yang mereka semua paling tak suka.
Madam Atie kuat mengamuk! Kalau kuat mengamuk saja tak mengapa. Tapi bila kena denda pensyarah mereka itu... pergh! Malu satu kampus. Madam Atie suka bagi denda yang mampu menarik perhatian pelajar lain di kampus itu. Itu yang paling menyeramkan sebenarnya.
“Syhhh! Aku dah nampak dia.” Lee bersuara. Mereka semua menyorok.

AIDA berjalan hentak-hentak kaki. Saja nak tunjuk protes. Tak pasal-pasal dia kena panjat pagar. Baru saja dia tanamkan tekad dalam hati, hendak belajar jadi perempuan yang lemah-lembut. Sekarang dia terpaksa langgar niatnya itu semata-mata disebabkan rakan baik yang suka merajuk!
Bertambah rasa sakit hatinya apabila bayang Hafizul pun masih tak kelihatan. Takkan merajuk sampai balik kompleks siswa kut? Baru lagi dia hendak mendail semula nombor telefon Hafizul, tiba-tiba ada satu cahaya lilin dari seorang lelaki.
Aida tersenyum terharu. Nyanyian happy birthday berkumandang di telinganya. Aida tergelak. Tak sangka Hafizul menipunya untuk membawa dia ke sini. Hilang segala rasa marah tadi dan digantikan dengan rasa terharu.
Dia sendiri pun lupa yang hari ini sudah masuk hari jadinya. Yalah, tiada sesiapa pun yang mengucapnya. Nak mengharapkan dia sendiri untuk ingat hari jadinya? Memang taklah. Hari ini hari apa dan berapa haribulan pun dia sudah lupa. Mujur juga dia tahu tarikh hari lahirnya.
“Wey! Sampai hati kau tipu aku...” Aida ketawa senang hati walaupun kata-katanya seperti orang berjauh hati.
“Syhhhh! Perlahankan suara anda. Cepat tiup kek ni.” Pijoi memberi arahan.
Sebaik sahaja Aida meniup lilin, kek dipotong. Aida masih belum perasan ada rakan-rakan lain yang bersembunyi. Dia makan kek yang dipotong sambil berdiri. Hafizul pula sudah meletakkan kek itu ke tepi.
Setelah memberi isyarat, rakan-rakannya tadi meluru keluar dan membaling telur ke arah Aida. Aida terjerit-jerit kerana panik. Hafizul juga turut sama membalingnya menyebabkan Aida mengejarnya separuh nyawa. Suasana bising itu akhirnya menyebabkan polis bantuan muncul...
Kelam kabut Aida melarikan diri. Hafizul menyuruh Aida untuk memanjat lututnya untuk memudahkan dia memanjat pagar. Dek kerana tersilap langkah, Aida terjatuh.
“Aida!!” panik mereka memanggil nama Aida.
“Bangun weh!” pipi Aida ditampar-tampar lembut. Tapi Aida masih kaku. Hafizul hilang punca.
“Weh pergi larilah!” arahnya kepada rakan-rakannya.
“Kau?”
“Biarkan. Pergi!” halau Hafizul. Dia takkan sesekali meninggalkan Aida sendirian di situ. Sudah menjadi tanggung jawabnya untuk menjaga Aida.
Sebaik sahaja mendengar arahan Hafizul itu, apa lagi? Bertempiaranlah rakan-rakannya melarikan diri sebelum polis bantuan semakin hampir. Hafizul sudah tak keruan melihat keadaan Aida.
“Awak buat apa malam-malam ni? Dekat sini?” soal suara polis bantuan itu. Keras. Mukanya disuluh lampu. Hafizul tahu dia sudah tertangkap. Tapi dia tak pedulikan tentang itu.
“Dia pengsan. Tolong... kitorang sambut hari jadi dia... tapi... dia jatuh. Tolong saya, pak cik.” Hafizul menggaru-garu kepalanya. Risaunya bukan sedikit.


0 komen:

Post a Comment

 

LunaSAMS Template by Ipietoon Cute Blog Design