SALAH SIAPA? 1



Moga kisah ini menjadi tauladan kepada kita semua. Aamiin. 
BAB 1
“MENGANDUNG?!!” terkejut semua ahli keluarganya mendengar berita tergempar itu. Ibu bapa Aida lebih-lebih lagi terperanjat. Masing-masing tangan mengurut dada. Bagaimana anak mereka itu boleh mengandung sedangkan si gadis itu masih belum berkahwin? Si doktor mengangguk-anggukkan kepalanya berkali-kali.
“Ya, dia mengandung. Nasib baik kemalangan itu tidak menjejaskan kandungannya. Cuma, kepalanya mengalami hentakan kuat. Ada sedikit kesan retak pada tengkoraknya. Saya berharap semua dapat bersabar kerana dia masih belum mampu bertindak balas. Keadaan dia masih lemah. Saya berharap agar orang terdekatnya boleh memberi kata-kata semangat pada dia terutama suaminya.” Doktor itu beredar setelah berbicara agak lama di situ.
Terutama suaminya. Bagai terngiang-ngiang patah kata itu di telinga masing-masing. Aida mana ada suami...
“Macam mana dia boleh mengandung? Kita salah didik anak kita ke, bang?” soal si ibu sambil menangis kepiluan di bahu si suami. Hampa. Kecewa dengan anak gadis yang telah diberikan didikan agama yang cukup itu sanggup melakukan perlakuan tak senonoh begitu.
Hafizul yang sedari tadi menjadi pendengar setia hanya menelan liur. Terketar-ketar tangannya mendengar berita itu. Dia yakin di dalam perut Aida itu ada benihnya! Dia terduduk di kerusi dan menekur lantai. Dia bakal bergelar bapa sebelum nikah? Apa ni? Aida...
“Pijoi, beritahu Achik... macam mana boleh dia mengandung? Siapa yang buat dia mengandung? Dia liar ke kat bumi KL ni?” soal si ibu dengan penuh kesal. Hafizul menarik nafas berat. Dia sudah agak! Memang dia yang akan disoal oleh si ibu. Dia merupakan rakan karib Aida semenjak kecil lagi. Dan soalan ibu kepada Aida itu hanya mampu dibalas dengan gelengan.
“Habis tu... dia kahwin lari ke?” soal Achik lagi.  Hafizul tertunduk. Tidak menjawab juga.
“Pijoi, Ayah Cik tahu, mesti Pijoi tahu rahsia dia. Mesti Pijoi simpan rahsia Aida. Tolong beritahu Ayah Cik apa yang sebenarnya dah jadi ni?” soal Ayah Cik iaitu bapa kepada Aida pula. Soalan yang lebih kepada rayuan itu menyebabkan Hafizul semakin berat hati.
Masing-masing menanti jawapan daripada dia. Nafas ditarik lagi. Sesak nafasnya apabila disoal begitu. Aida... dia masih terlantar sakit di katil hospital. Sepatutnya dia memang dapat agak. Mesti Aida mengandung...
“Dia tak liar... dia tak kahwin lari. Semua tu sebab saya. Anak dalam kandungan dia tu, anak saya. Saya yang dah rosakkan dia. Saya akan bertanggung jawab. Maafkan saya, Ayah Chik. Saya tak jaga dia.” Hafizul menunduk takut.
“Astaghfirullahalazim... kau dah hilang pedoman ke, Pijoi?!” ternaik suara Ayah Cik mendengarnya. Achik pula mengurut dada. Nak tumbang dia setelah mendengar berita itu.
“Ya Allah! Kasihannya anak aku!” rintih Achik sedih. Hafizul tidak berani mengangkat muka. Pasti ibu bapa Aida sedih mendengarnya. Dia yang selama ini diharapkan untuk menjaga Aida telah memusnahkan harapan itu. Harapkan pagar, pagar makan padi.
“Bedebah kau!”
Kolar baju Hafizul dicekup. Tumbukan padu daripada abang Aida, Aris singgah di pipi kanan Hafizul. Hafizul terjelepuk ke bawah. Suasana jadi kecoh apabila Aris sekali lagi menumbuk Hafizul. Hafizul tidak melawan. Ayah Chik dan Arman meleraikan pergaduhan itu dengan menarik tubuh Aris menjauhi Hafizul.
Doktor dan staff ada yang keluar melihat pergaduhan itu. Ada juga di antara pesakit yang menyaksikan apa yang terjadi sebentar tadi. Masing-masing cuba memberikan amaran supaya tidak boleh berbuat bising di hospital tersebut.
“Ris! Ni hospital!” Ayah Cik menghalang. Kalau ikutkan, teringin dia nak beri ‘nasi tambah’. Geram dengan apa yang dah berlaku.
Hafizul meraup wajahnya. Sakit... sakit dipukul. Sakit ditanggung. Bagaimana dengan penerimaan Aida? Anak dia bagaimana? Terimakah Aida pada anak itu nanti?
Dia ingin sekali menjenguk Aida di dalam! Dia terlalu ingin. Itulah satu-satunya cinta sejati dia. Itulah satu-satunya sahabat karib yang dia ada ketika susah dan senang. Mereka belajar di tempat yang sama. Mereka bekerja di bawah bumbung yang sama... sekarang, tentunya dia tidak akan diterima oleh keluarga Aida. Harapannya agar Aida tersedar dan sudi menerimanya...
“Kau jantan dayus!” jerkah Aris lantas menyepak kaki Hafizul sebelum beredar dari situ. Hafizul hanya mampu menangis. Kesilapan dia membuatkan semua yang rapat dengannya mula menjauh.

“DIA dah sedar.” berita itu sampai ke pengetahuan Hafizul apabila doktor memberitahu ahli keluarganya yang lain. Seluruh ahli keluarga Aida bergegas ke wad Aida namun tidak Hafizul. Awal-awal lagi dia sudah diberi amaran agar tidak memunculkan diri di hadapan Aida.
Meronta-ronta hatinya ingin melihat perkembangan Aida.
“Aida panggil masuk!” suara keras Aris memanggil Hafizul. Aris masih lagi tidak mahu memandang wajah Hafizul. Hina sekali wajah itu di matanya walaupun berkali-kali Hafizul merayu agar memaafkannya.
Hafizul masuk ke dalam wad tanpa menunggu lama. Aris mendengus. Kalau bukan kerana mereka di hospital, tentu dia sekali lagi ingin memecahkan muka Hafizul. Arman dan Arissa iaitu adik-adik Aida memandang Hafizul dengan riak simpati. Hafizul begitu rapat dengan mereka.
Kesalahan yang Hafizul sudah lakukan membuatkan mereka menjadi serba-salah untuk menegur pemuda itu. Mereka berdua juga masih tidak percaya dengan apa yang dah berlaku. Mustahil Hafizul merosakkan kakaknya? Setelah beberapa tahun mereka ke hulu ke hilir bersama... kenapa baru sekarang Hafizul berubah tingkah?
“Aidaaaa.” panggil Hafizul lembut. Wajah pucat Aida dipandang penuh simpati.
“Pijoi, apa sebenarnya yang dah jadi ni?” soal Aida sambil memejamkan matanya dengan berat. Kepalanya tentu masih sakit. Dia merengek sedih. Kawannya itu jugalah yang dicari dahulu.
“Kau accident.” Jawab Hafizul takut-takut.
 “Aku accident? Aku berlanggar dengan siapa?” soal Aida.
“Kau sendiri aje. Ada orang langgar lampu merah waktu kereta kau dah jalan. Kau mengelak, langgar tiang. Dia bawak laju, kejar traffic light. Dan kau pun tentu tak expect...” ujar Hafizul perlahan. Dia menghampiri Aida lantas duduk di kerusi kosong di sebelah katil wad. Dia harus berani.
“Kelakar.” Aida tersenyum-senyum. Hafizul berkerut pelik. Entah apa yang kelakarnya, dia pun tak tahu.
“Asal diorang semua macam salahkan kau? Kenapa diaorang beria-ia nak suruh aku kahwin dengan kau?” soal Aida lagi. Hafizul semakin ketakutan. Maknanya Aida masih lagi tidak tahu kisah sebenar.
Wajah Achik dipandang namun wajah tua itu tidak lagi sudi memandangnya. Matanya singgah menatap wajah tua Ayah Chik. Lelaki itu hanya mampu menunjukkan riak hampanya. Tentu semua kecewa dengan dia. Kecewa yang teramat sangat. Anak gadis mereka yang sentiasa dipuji dengan keimanannya akhirnya mengandung anak luar nikah kepada kawan baiknya sendiri.
Aida dan Hafizul berkawan sekian lama. Ke mana saja pasti berdua. Kalau hendak ke kelas Iqra pun bersama. Ke sekolah juga bersama. Pokok pangkalnya, ke mana Aida pergi, Hafizul pasti ada sekali. Sekarang, mereka tidak sangka langsung perkara itu akan terjadi. Menyesal kerana tidak mengehadkan hubungan persahabatan Aida dan Hafizul ketika mereka di usia remaja.
“Cakaplah terus-terang weh. Kenapa sampai kena kahwin ni? Kenapa tipu aku pasal aku accident? Kau orang sengaja nak gimik, ek?” soal Aida bila soalannya tadi dibiarkan sepi.
“Mana ada aku tipu?” Hafizul semakin kehairanan.
“Hah! Tak tipu? Aku ada kereta? Lawak aje. Sejak bila pulak aku pandai bawak kereta?” Aida ketawa. Hafizul bertambah pelik. Aida tak tahu bahawa dia mempunyai sebuah kereta? Macam mana boleh jadi macam ini? Bukankah dulu Aida yang beria-ia mahukan kereta Proton Saga itu? Aida tak pandai bawak kereta? Mengarut!
“Kau dah lupa ke kereta kau?” soal Hafizul dengan kening yang berkerut-kerut. Bagaimana kalau Aida lupakan semuanya? Habis, bagaimana dengan dia? Bagaimana dia hendak berhadapan dengan semua masalah ini sendirian?
“Aku takde kereta!” Aida naik geram.
“Aida.” ibu dan bapa Aida sudah bersuara cuak. Takkan Aida sudah lupa?
“Apa yang kau ingat tentang hari sebelum kau terlantar kat sini?” Hafizul menyoal dengan debaran di dada. Rasa-rasanya, dia boleh agak yang Aida lupa ingatan.
“Semalam? Kacang je! Baru lagi semalam kita sambut birthday aku dekat kolej kan? Korang buat surprise kat aku? Lepas tu aku terjatuh, kan? Hari ni aku terjaga, dah ada kat sini dah. Ke kau yang dah lupa ni, Joi?” soal Aida dengan penuh sinis. Geram pula dengan Hafizul yang sengaja nak berlakon cuak di depannya itu.
Hafizul ternganga. Perkara itu sudah berlaku lima tahun lepas! Ya! Peristiwa mereka baling telur dan tepung di kolej sehingga dikenakan tindakan tatatertib kerana membuat kacau di kolej. Memang ada Aida terhantuk lalu pengsan pada malam itu. Tapi keesokan harinya, Aida sedar dan mereka menjalani kehidupan di kolej macam biasa.
“Aida, ini tak kelakarlah!” Hafizul bersuara serius.
Bagaimana jika Aida lupa? Bagaimana dia hendak terangkan kepada Aida mengenai anak mereka itu? Anak yang terjadi atas kegoyahan imannya dulu? Dia takut! Takut sangat... kalau dulu dia ada Aida dan keluarga Aida sebagai penguatnya, bagaimana pula sekarang?
“Sayang, zaman kolej sayang dah beberapa tahun lepas berlalu.” ujar Achik pedih. Muka Aida berubah. Terkejut.
“Lima tahun lepas...” Hafizul bersuara lemah. Mata Aida semakin membesar. Lima tahun lepas? Lama betul dia tidur. Dia koma ke?
“Kau sengaja nak buat aku panik, kan? Semalam seronok kau baling telur kat aku, hari ini kau buat perangai macam ni pulak. Nak sambut birthday aku, cepatlah sikit. Tak apa. Kat hospital pun aku boleh sambut. Mana kek aku?” soal Aida.
“Aida, tak kelakarlah! Semalam kau ada dekat sini lagi. Semalam kau ada kat sini! Dah tujuh hari kau tak sedarkan diri. Takkan kau dah lupa?” Hafizul mendesak. Dia takut. Takut dengan apa yang dia lihat.
Muka Aida bertambah keliru. Wajah Hafizul dipandang pelik. Kata-kata Hafizul itu yang membuatkan dia pelik. Takkanlah dah tujuh hari dia tak sedarkan diri? Memanglah dia ada terasa sakit dan sengal-sengal badan tapi takkanlah dia tidak sedarkan diri selama tempoh itu?
“Sudahlah! Jangan nak menipu! Tak kelakar pun.” Aida membentak. Tiba-tiba kepalanya terasa sakit.
“Kami tak tipu.” Ayah Cik bersuara pilu. Aida memandang wajah orang tuanya. Dia perasan, kedutan di wajah kedua orang tuanya itu bertambah. Ya. Mungkin betul kata mereka.
“Ayah, Aida tak nak kahwin lagi. Aida muda lagi. Baru 21 tahun. Nak kena kahwin dengan kawan baik sendiri pulak. Rasa sumbang! Orang dah anggap dia macam abang sendiri...” Aida bersuara sebak. Dia tidak mahu berkahwin dengan Hafizul!   
Dan dia tetap merasa usianya baru saja 21 tahun. Takkanlah ingatannya dalam tempoh lima tahun itu lenyap begitu saja? Dia tak boleh terima!
“Aida dah dua puluh enam tahun! Aida mesti kahwin dengan dia!” Aris bersuara tegas. Dia memeluk tubuh dan menjeling Hafizul geram. Hafizul tertelan liur. Aida memang benar-benar terlupakah dengan apa yang berlaku? Habis nasib dia, bagaimana? Bagaimana dia hendak memberitahu tentang anak mereka?
“Aida tak nak kahwinlah! Mak, tengoklah Along ni, main paksa-paksa pulak! Tak naklah kahwin dengan kawan baik sendiri. Gila ke?” Aida membentak. Hafizul tertunduk mendengarnya. Rasa macam kena tikam bila Aida berkata begitu. Macam hina sangat kalau bernikah dengan sahabat karib sendiri.
“Aida kena kahwin sayang.” Achik berkata lantas menyembunyikan wajahnya yang pilu di belakang badan Ayah Chik.
“Kenapa semua suruh Aida kahwin? Aida muda lagi! At least, bagi satu sebab kenapa Aida mesti kahwin dengan kawan baik Aida sendiri!” Aida membentak.
“Sebab dalam perut Aida tu, anak dia!” jerkah Aris yang sudah hilang sabar itu. Aida terdiam. Ternganga tidak percaya. Dia menatap muka Hafizul yang mula memerah itu. Lama. Hafizul tidak berani menatap wajahnya.
 Adakah berita itu, benar? Melihat wajah Hafizul yang gelisah dan hanya menunduk tanpa berkata apa sudah cukup meyakinkan dia bahawa jawapannya ‘ya’.
“Pijoi. Betul ke?” soalnya. Diam.
“Pijoi, jawablah!” desak Aida. Dia mahu Hafizul menafikannya.
“Betul, Da. Anak aku.” Jawapan Hafizul itu bagaikan guruh yang berdentum ke dadanya. Aida tersesak nafas. Dalam perutnya ada benih Hafizul? Bagaimana perkara itu boleh terjadi sedangkan...
“Aku mengandungkan anak kau? Macam mana boleh jadi macam ni? Pijoi, kenapa kau buat aku macam ni?” rintih Aida sebak. Dia marah... campur sedih.
Hafizul semakin kehilangan kata. Sesak nafasnya diajukan soalan begitu oleh Aida sendiri. Dia perlukan masa untuk menjelaskannya. Yang pasti, tiada sesiapa yang akan melindungnya di belakang. Dia bersendirian. Ikmal? Tentulah dia tidak perlukan bantuan rakannya itu untuk menerangkan kejadian sebenar. Perkara mungkin akan jadi lebih teruk sekiranya Ikmal terlibat sama.
Lagi pun, Aida tidak berapa sukakan Ikmal. Dia tak suka kalau Hafizul rapat dengan Ikmal sangat. Kalau penjelasan itu datang dari mulut Ikmal, pasti tiada sesiapa mahu percaya.
“Betul, Da. Malam tu... aku. Maaf.” jawab Hafizul sebak. Aida menggeleng-gelengkan kepalanya. Bukan itu jawapan yang dia nak dengar.  
“Aku percayakan kau!” Aida termenung. Air matanya turun membasahi pipi. Tak sangka dia dikhianati oleh lelaki yang sangat dia percaya.
“Aida, aku minta maaf.” Hafizul bersuara sebak. Rayuan Hafizul itu membuatkan rasa bencinya pada lelaki itu berada di kemuncak. 
“Aku percayakan kau! Bodoh! Aku percayakan setan macam kau!” Aida tiba-tiba bagaikan dirasuk. Dicampak bantal di belakangnya ke arah Hafizul. Hafizul tidak mengelak. Hanya merelakan saja dirinya dicerca.
Akhirnya Aida berteleku di situ setelah tiada apa lagi yang hendak dibaling. Dia penat. Penat sangat. Hanya air mata yang setia menemaninya sekarang. Achik memeluk Aida erat. Dia turut sama menangis. Bagaimanalah semua ini boleh terjadi?
“Dia kena bertanggung jawab atas apa yang dia buat.” ujar Aris penuh dendam. Hafizul hanya mampu menunduk.
Dia sudah bersedia sejak awal lagi. Dia memang tahu itulah yang bakal disuruh oleh keluarga Aida. Aida menggeleng. Dia tidak mahu! Tidak mahu menatap muka Hafizul lagi. Patutlah semua tidak mahu berbicara soal Hafizul. Rupa-rupanya, ini kesalahan Hafizul kepadanya! Terlalu besar.
“Aku minta maaf. Aku tak minta kejadian malam tu jadi. Aku tak sedar, aku minta maaf. Aku akan tanggung jawab pada kau.” rayu Hafizul perlahan. Keluarga Aida sudah panas telinga mendengarnya. Masing-masing mengacip gigi. Cuba menahan sabar dari membuat kecoh di situ.
“Aku tak nak kau kahwin dengan aku! Jijik aku dengan kau! Ayah, izinkan Aida gugurkan anak ni.” Aida merayu. Hafizul terkejut. Sampai hati Aida mahu membuang anaknya?
“Astaghfirullahalazim, Da! Jangan buat pasal! Membunuh namanya tu. Ayah tak benarkan. Budak kecik tu tak ada salah.” semua beristighfar mendengar kata-kata Aida itu. Ayah Chik kelihatan hampa dengan pemikiran anaknya.
“Aida, jangan bunuh anak aku. Tolonglah!” rayu Hafizul. Dia melutut di sisi katil Aida. Aida memandangnya dengan muka bengis.
“Aku benci kau! Aku tak tahu macam mana aku boleh jadi kawan kau selama ni! Aku jijik dengan kau Pijoi. Aku jijik. Jantan gersang! Aku menyesal kenal kau! Menyesal sangat!” jerit Aida bagaikan orang histeria. Hafizul turut menangis di situ. Perit dia rasakan bila melihat reaksi Aida...

Aida, sumpah aku menyesal lepas kejadian malam tu. Aku tak boleh tidur lena macam orang lain, Da. Aku mengaku, iman aku tak kuat! Aku mengaku hal itu, Aida. Teruskan menghukum aku tapi jangan kata kau menyesal kenal aku... 

2 komen:

 

LunaSAMS Template by Ipietoon Cute Blog Design