SALAH SIAPA? 3


Bab 3
“AIDA, makan ni.” pujuk Hafizul. Aida tersentak. Kenangan itu terus lenyap sebaik sahaja terdengar suara Hafizul. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak mahu makan langsung. Tak ada selera. Benci dia melihat muka Hafizul.
Hafizul diam. Sesekali dia meraup mukanya. Bagaimanalah dia hendak memujuk Aida?
Aida mengeluh. Ada hikmahnya juga dia tidak ingat apa-apa dalam tempoh 5 tahun ini. Kalau tidak, tentu dia dihantui bayang-bayang bagaimana dia diulit sahabat karibnya sendiri. Sungguh dia rasa jijik! Entah kenapa pula dia terpaksa kahwin dengan Hafizul. Keluhan dilepaskan. Kasar.
“Aku tak nak makan! Kau makanlah sorang-sorang.” Aida mendengus.
“Aida, aku tahu, kau tak nak pandang pun muka aku. Tak apalah. Tapi, aku nak kau jaga kesihatan kau. Kesihatan baby tu.” Ujar Hafizul. Sebaik sahaja mendengar perkataan ‘baby’, mata Aida mencerlung merenung lelaki itu.
“Da, aku tak sengaja malam tu. Jangan layan aku macam kau tak kenal aku.” Hafizul bersuara perlahan. Takut. Makanan diletakkan ke meja.
“Tak sengaja atau sengaja, benda tu tak mengubah apa-apa. Kau dah tinggalkan budak kecik kat dalam perut aku ni! Kenapa kau tak tinggal dekat perempuan lain je? Berlambak lagi, Joi! Berlambak lagi perempuan lain! Kenapa mesti aku? Kenapa kau sanggup hancurkan kepercayaan aku pada kau? Apa yang kau benci sangat pada aku?
Aku dah tak kenal kau siapa. Hafizul dulu tak macam ni! Hafizul dulu baik sangat. Kalau bukan sebab mak ayah aku tak bagi, dah lama aku gugurkan anak haram ni. Jijik aku bila teringatkan ada darah daging kau dalam badan aku. Jijik!” Aida menekan geram. Hafizul mengetap giginya.
Dia marah! Marah bila Aida menyalahkan dia sedangkan dia tahu itu memang salahnya. Tidak perlulah semua mengungkit salahnya yang satu itu! Dia tertekan juga! Sampai hati Aida mengatakan bahawa anak itu anak haram? Ya! Memang betul. Tetapi anak itu tiada salah. Yang salahnya dia! Dia yang menyebabkan anak itu wujud.
“Suka hati kaulah nak makan ke tidak! Aku dah cakap, anak kau tu anak aku jugak. Aku akan bertanggung jawab pada dia! Dia anak aku! Anak aku! Anak kita!” Hafizul bertegas. Dia bangkit dari kerusi lantas terus meninggalkan Aida sendirian. Aida tersenyum sinis.
“Ini bukan anak aku!” dengus Aida.
Langkah Hafizul mati. Dia tergelak pedih. Itu cuma anak dia. Ya. Memang anak dia seorang sahaja...
Okay. Kau perlukan rehat. Aku blah. Tolong makan.” Keluh Hafizul. Langkah kembali dipanjangkan ke luar. Dia mahu pulang. Dia mahu melepaskan rasa geramnya pada dinding rumah! Dia tidak punya sesiapa lagi.

“AKU nak kau tahu sesuatu... aku dah fikir masak-masak tentang hal ni, dan aku harap kau dengar dan faham elok-elok.” Aida bersuara perlahan.
Hafizul mengangguk. Semalam, Aida sudah dibenarkan pulang dari hospital. Hari ini pula dia ditelefon Arman dan dia diberitahu bahawa Aida mahu berbincang sesuatu dengannya. Dia memang dah lama tunggu saat itu. Mungkin Aida dah ingat.
Go on.” ujar Hafizul pendek.
Dia terima setiap cemuhan Aida terhadapnya. Dia terima semua itu. Aida perlukan masa. Perkahwinan mereka akan berlangsung secepat mungkin. Bolehkah dia memberikan Aida masa meskipun selepas mereka bernikah nanti?
“Lepas kahwin, aku nak duduk dengan mak ayah aku dekat kampung. Aku harap kau terima permintaan aku ni.” Hafizul mengeluh mendengar kata-kata Aida.
Benar telahannya. Aida mahu berpisah. Belumpun mereka diijabkabulkan, kini Aida sudah berani meminta perpisahan? Buku limanya yang pecah ditatap lama. Semalam, habis berdarah teruk tangannya akibat menumbuk dinding berkali-kali. Puas hatinya melepaskan amarah dengan cara itu.
Sampai satu tahap, dia hubungi Ikmal semula. Dia perlukan Ikmal sekarang.  
“Tapi takkanlah...”
“Aku nak kau tahu yang aku jijik sangat-sangat nak tengok muka kau Joi. Aku jijik. Kalau pada tangan aku ada asid, dah lama aku simbah dekat muka kau. Tapi itu pun takkan berjaya puaskan hati aku. Tak setimpal dengan apa yang kau dah buat dekat aku...” Ujar Aida penuh dendam. Dia tak pernah diajar untuk berdendam tetapi dalam kes ini... dia tak boleh menahan dirinya.
“Kata-kata kau lebih menyakitkan dari asid, Da. Enough. Aku faham. Aku akan bagi kau masa untuk bertenang.” Hafizul pejam mata. Sakitnya hati dia... rasa macam ditikam dengan belati dan kemudian dikorek-korek. Terlalu sakit!
“Masa? Bukan soal aku boleh bertenang ke tak. Tapi apa yang kau dah buat dekat aku... jahat sangat. Tolonglah, faham aku.” Aida masih lagi tidak memandang muka Hafizul.
“Da, cubalah ingat semula. Mungkin kau akan maafkan aku?”
Stop it! Kau dah gila ke nak suruh aku ingat balik semua yang dah berlaku kat aku? Kau dah hilang akal ke?” Aida mengamuk. Kembang-kempis hidungnya menahan amarah.
“Da, aku rasa berdosa Da... sangat. Kau jangan ingat aku tak rasa bersalah dengan apa yang dah jadi...”
“Kalau kau rasa berdosa, kalau kau rasa bersalah... patutnya awal lagi Joi. Awal lagi kau menikah dengan aku. Bukannya kau buat keputusan untuk senyap macam tu aje... sampai aku pregnant... lepas tu baru sekarang kau nak tanggung? Manusia jenis apa kau ni?” Aida semakin sakit hati mengenangkan hal itu.
Hafizul tarik nafas dalam-dalam. Dia tunduk. Dia tahu dia salah. Dia bacul.
“Aku tak nak tengok muka kau. Lepas kita nikah, haluan kita berbeza. Tolonglah. Aku nak simpan baby ni pun dah dikira baik...” Aida berkata lagi.
Hafizul pejam mata dan mengetap bibirnya rapat. Dia sedar, persahabatan mereka sudah tiada maknanya lagi pada Aida. Padan muka dia. Doktor kata, memori Aida yang hilang itu hanya untuk sementara. Jadi dia harap, sebaik sahaja Aida pulih nanti, Aida akan mencarinya dan menerima keadaan itu dengan seadanya. Seperti dulu.
“Belajarlah untuk memaafkan...” pinta Hafizul.
“Faham aku, boleh tak? Kau ingat semua ni senang ke untuk aku hadam? Kawan baik aku... kawan baik aku dari kecil lagi dah khianati aku. Kau rosakkan masa depan aku dengan cara paling kejam sekali. Kau fikir mudah untuk aku terima semua ni? Apatah lagi nak memaafkan...”
“Aku cuba faham kau ni! Aku cuba... tapi permintaan kau berat. I get it if you need time. Tapi janganlah buat keputusan terburu-buru macam ni...”
“Aku dah cakap, ini bukan soal perlukan masa atau apa. Aku dah fikirkan masak-masak. Sekalipun aku dah maafkan kau, aku tak boleh terima orang yang dah khianati kepercayaan aku. Kita akan berkahwin, ya. Tapi atas kertas je. Aku tak nak ada apa-apa hubungan lagi dengan kau. Langsung. Maksud aku, tolong jangan pernah muncul depan aku lepas semuanya selesai nanti.”
“Wey, macam ni kau kata kau dah fikir masak-masak?” Hafizul memprotes. Ternyata Aida berfikir menggunakan kepala lutut!
“Kalau kau nak baby tu, okey. Kau ambik. Kau pun tahu aku tak nak simpan budak haram ni.” Kata-kata Aida semakin tajam. Hafizul semakin rapuh.
“Da, tolong jangan cakap macam tu dekat anak aku. Sakit, Da... sakit.” Hafizul tekan dadanya.
“Lepas aku bersalin, kau ambik budak ni, bawak dia lari jauh. Jauh dari aku. Tolong... aku tak nak tengok muka kau orang berdua. Tolonglah, aku merayu.” rayu Aida. Hafizul geleng-gelengkan kepalanya.
No way... macam mana dia nak membesar tanpa mak dia? Macam mana dia nak menyusu apa semua? It takes two of us to make it work.” Hafizul berkata parau.
“Susu formula ada. Kau jangan nak jadikan tu alasan. Hormat keputusan aku, Joi. Tolonglah. Hargailah sikit yang aku setuju nak kandungkan dia untuk kau! Bukan sekejap.” Aida mendengus. Dia memang dah fikir masak-masak semalam. Dia tak mahu ada kaitan langsung dengan Hafizul dan anak dalam kandungannya itu.
Hafizul mengeluh berat. Dia terpaksa bersetuju. Dia bimbang kalau Aida gugurkan anak itu dengan makan makanan berasid.
“Hukuman apa lagi kau nak beri kat aku?” soal Hafizul berat.
Dia tahu, Aida sebenarnya cari jalan untuk melumpuhkan semangat dia. Dia tahu Aida sengaja buat begitu supaya dia rasa apa yang Aida rasa. Sebenarnya Aida tak tahu yang dia menanggung lebih teruk dari apa yang Aida tanggung sekarang.
“Kenapa kau sanggup buat aku macam tu?” soal Aida tanpa menjawab soalan Hafizul. Matanya berkaca-kaca. Dah banyak hari dia menangis mengenangkan hal itu. Dia boleh jadi Kassim Selamat kalau terus menangis lagi untuk beberapa hari.
Hafizul mengeluh lagi. Dia sendiri pun tak nak kenang kejadian itu.
“Aku mabuk waktu tu, Da. Aku tengok kau... macam aku tengok... perempuan tak pakai baju.” ujar Hafizul lambat-lambat. Rasa bersalah kerana terpaksa menipu tentang kejadian sebenar. Mungkin jika dia berikan alasan itu, Aida akan pertimbangkan.
Aida ternganga. Mulutnya mengucap panjang. Sejak bila Hafizul itu pandai minum minuman keras? Hafizul tidak takut dosakah?
“Apa nak jadi dengan kau ni? Sejak bila kau jadi macam orang tak ada iman macam tu? Kau buat aku semakin bencikan kau!” jerkah Aida geram. Hafizul tersenyum hambar. Dia patut lebih tahu penerimaan Aida. Berilah alasan apa pun, Aida tetap akan mengamuk!
Mungkin jika ingatan Aida pulih nanti, dia perlu menjelaskan sekali lagi tentang kejadian itu namun dia tidak kisah. Kepada keluarga Aida, dia katakan hal yang sama. Dia mabuk! Itu saja. Selebihnya biarlah menjadi rahsia sebab dia malu.
“Aku minta maaf sebab menjadikan kau mangsa aku.” ujar Hafizul perlahan. Aida mendengus. Tidak tahu sama ada dia boleh berbual elok dengan Hafizul atau tidak. Dia bencikan lelaki ini. Sungguh! Lelaki ini yang mengkucar-kacirkan hidupnya.
“Kalau aku tahu begini nasib aku, mati hidup balik pun aku tak ingin nak berkawan dengan kau. Dari kecik lagi aku takkan sesekali bawak kau kenal dengan keluarga aku!” ujar Aida lantas masuk ke dalam rumahnya meninggalkan Hafizul sendirian di luar.
Hafizul menggelengkan kepalanya dan mendengus. Jemari digenggam kuat. Cuba bersabar dengan penghinaan demi penghinaan yang diterimanya. Cuba menahan diri dari membocorkan rahsia.
“Aku buat semua ni sebab aku terlalu sayangkan kau. Maafkan aku.” luah Hafizul perlahan. Dia melangkah pergi. Lebih baik dia cepat pergi sebelum terjadi apa-apa yang buruk. Setiap kali berbicara dengan Aida, tentu mereka akan bergaduh besar.
Permintaan Aida tadi... oh... itu. Terlalu berat untuk dia.  
“Jaga diri kau dan anak aku, Da.” Bisik Hafizul.

“MACAM MANA keadaan dia?” soal Ikmal. Hafizul tersenyum hambar. Kepala digeleng-gelengkan beberapa kali. Keluhan dilepaskan. Air mata berlinang. Teruk sungguh ujian yang dia terima sekarang hanya Allah saja yang tahu.
“Teruk. Maksud aku, cara dia layan aku. Teruk. Tapi dia, makin okey. Dah boleh berjalan laju dah. Okeylah tu...” dan boleh bercakap laju sampai sakit hati aku. Sambung Hafizul di dalam hati.
“Kenapa tak cerita dekat dia keadaan yang sebenar?” Ikmal menyoal. Simpati dia pada Hafizul.
“Tak boleh. Aku tak nak. Aku nak mereka tahu setakat apa yang aku nak dia tahu je, dah. Aku segan kalau diaorang tahu lebih.  Perkara ni memalukan aku juga. Kau kena ingat, Mal. Aku tewas malam tu. Kau sendiri pun tahu.”
“Yelah, tapi...”
“Dia lagi tak boleh terima kalau dia tahu kejadian sebenar. Sekurang-kurangnya, biarlah dia ingat sendiri supaya dia tak rasa aku bohongkan dia dengan kejadian sebenar.” Hafizul bertegas.
Ikmal tepuk bahu Hafizul, memberi kekuatan kepadanya.
“Dia tahu ke kau jumpa aku ni?”
“Tak tahu. Dia tak nak ambil tahu langsung pasal aku. Pandang muka aku pun dia tak rela. Inikan pulak nak dengar update dari aku.” Hafizul memicit dahi. Kepalanya pening kebelakangan ini kerana terlalu banyak berfikir.
“Dia... kenapa dia benci sangat dengan aku ek?” Ikmal tiba-tiba bersuara setelah mereka berdua mendiamkan diri dengan agak lama. Ikmal tak pernah tahu kenapa Aida begitu tak suka pada dia. Setiap kali pandang muka dia, mesti Aida akan menjeling meluat.
“Dia kata kau ganas. Dia tak suka.” Hafizul memberikan alasan. Sebenarnya Aida sentiasa meragui keikhlasan Ikmal dalam berkawan dengannya. Hafizul kenal Ikmal itu bagaimana orangnya. Mungkin Aida berkata begitu sebab cemburukan Ikmal yang perlahan-lahan ‘mengambil’ tempatnya sebagai sahabat karib dia.
“Huh, cantik punya alasan...” Ikmal terketawa sendiri mendengarnya.
“Mungkin sebab kau dah buat aku terpengaruh dengan sukan kau tu agaknya...” Hafizul berikan alasan lain pula.
“Hmm, mungkin.” Ikmal mengangguk-angguk setuju. Mungkin juga. Perempuan macam Aida tentu tak sukakan lelaki yang ganas macam dia.
“Eh, bila kau dengan dia berkahwin?” Ikmal mengubah topik.
“Kau nak pergi ke? Kahwin aku simple-simple ajelah. Dekat pejabat agama aje pun. Faham-fahamlah...” Hafizul merendah diri. Bukan niatnya untuk tidak mahu menjemput Ikmal tetapi dia bimbang sangat Ikmal akan membocorkan rahsia kepada Aida sekeluarga.
“Nak. Teringin aku nak pergi. Tapi tak boleh. Ada dua sebab aku tak nak pergi yang kau perlu tahu. Satu, sebab Aida tak suka aku. Sebenarnya aku tak kisah sangat pun kalau dia tak suka aku. Dah biasa pun. Tapi sebab kedua ni...” Ikmal berjeda.
“Apa dia?”
“Aku akan beritahu hal yang sebenar dekat diaorang sebab pada aku, tak guna kau simpan benda ni lama-lama.” Ikmal berkata selamba. Serentak itu Hafizul menggeleng-gelengkan kepalanya.   
“Baik kau jangan pergi.” terus-terang Hafizul melarang. Ikmal ketawa.
“Kau tak terasa kan?”
“Tak. Aku yang larang kau dari pergi. Jangan pergi. Aku harap kau tak terasa. ” Ulang Hafizul. Ikmal geleng-gelengkan kepalanya. Dia pun rasa itu yang terbaik. Memanglah dia nak sangat lihat sahabat karibnya menikah tetapi keadaan tidak menyebelahi mereka.  

AIDA DAN Hafizul dinikahkan juga di Pejabat Agama. Tiada cincin sebagai tanda pengikat, tiada hantaran... Hafizul meraup wajahnya dengan kesyukuran. Lega. Akhirnya impian dia menjadi kenyataan.
Aida cinta pertamanya. Dari remaja lagi dia menyimpan angan untuk bernikah dengan Aida. Namun Aida tidak pernah memandangnya. Dia hanya mampu memandang sepi setiap kali Aida dan kekasihnya berjalan bersama dan dia hanya mampu mengekor tanpa membantah.
Sudah menjadi tanggung jawabnya semenjak kecil untuk sentiasa memerhatikan Aida. Sekarang, dia harus berpisah dengan Aida. Berat sungguh dugaan yang diterimanya. Aida, moga sentiasa di bawah lindunganNya. Moga terpelihara dari sikap rakus manusia. Seperti aku... doanya.
“Aku harap kau ingat apa yang pernah aku cakapkan dulu. Jangan cari aku. Jangan pernah munculkan diri kalau kau tak nak jumpa anak kau ni lagi.” Aida mengingatkan Hafizul dengan amaran tegasnya itu.  
Tangan kiri Hafizul masih tidak berganjak dari gear kereta meskipun mereka sudah berada di hadapan apartmen Aida. Arman dan Arissa yang menanti di luar tidak langsung dihiraukan. Dua-beradik itu sedang sibuk berbual. Mungkin berbual tentang mereka.
“Kalau aku rindukan kau nanti, macam mana?” soal Hafizul parau.
Meskipun selepas kejadian malam itu dulu, Aida masih lagi boleh bercakap dengannya, memandang mukanya. Waktu itu Aida faham keadaannya. Kenapa sekarang Aida tidak sudi langsung hendak melihat mukanya?
Nafas ditarik panjang setelah mendengar soalan daripada Hafizul itu. Aida menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia masih rasa dikhianati. Terlalu...
“Itu masalah kau. Salah siapa, aku jadi macam ni?” ujar Aida sinis. Dia memeluk tubuh. Hafizul mengeluh. Dia tahu salah dia. Dan sampai sekarang, dia tertekan dengan perkara itu.
“Tak boleh ke kita hidup macam pasangan suami isteri yang lain? Beri aku peluang, Da... boleh? Aku janji, aku akan cuba jadi yang terbaik untuk kau dan anak kita...” kata Hafizul dengan penuh harapan. Berharap agar Aida memaafkannya kerana dia tidak punya sesiapa untuk berkongsi kasih. Dia perlukan Aida. Dia tersangat perlukan Aida.
Aida ketawa meluat sebaik sahaja mendengar ‘anak kita’ yang keluar dari mulut Hafizul. Jijiknya dia dengan Hafizul yang berpura-pura seolah-olah menjadi mangsa dalam kes mereka.
“Tak boleh! Aku bencikan kau, macam mana aku nak hadap kau hari-hari sedangkan sekarang ni aku rasa nak toreh muka kau? Aku tak boleh tengok muka kau. Langsung. Setiap kali aku tengok muka kau, aku dapat bayangkan penderitaan aku malam tu. Sakit hati aku ni tau tak? Sakit!” ujar Aida tanpa memandang muka Hafizul. Dia memandang ke luar tingkap. Air mata yang mengalir ke pipi diseka dengan belakang tangan.
Sekarang, dia rasa dialah lelaki paling cengeng dalam dunia. Setiap hari air matanya mengalir bila terkenangkan penerimaan Aida.
“Kalau kau dah ingat semuanya nanti, tolong cari aku.” Hafizul merayu.
“Aku tak nak ingat!” Aida mengacip giginya rapat.
“Macam mana dengan aku? Kau kahwin dengan aku atas alasan apa? Kalau kau tinggalkan aku terus nanti macam mana? Kau ingat aku boleh hidup ke kalau kau menyepi terus nanti? Kau dah jadi bini aku, Da.” soal Hafizul bertubi-tubi.
“Atas alasan tanggung jawab kaulah aku kahwin dengan kau. Ini, anak dalam perut aku ni! Ini sebabnya. Bila dah jadi macam ni, kau jangan nak salahkan aku. Salahkan diri kau. Kita kawan baik, sanggup kau khianati kawan baik kau macam ni? Kau tak ada iman, tak ada otak! Kau buat aku menyesal berkawan dengan kau.” Aida bersuara dengan semakin sebak.
Hafizul tunduk, penumbuknya digenggam kuat. Pedih.
Aida menahan sebak. Dia sayangkan kawan baiknya. Kenapa Hafizul sanggup melakukan perbuatan terkutuk begitu kepadanya? Sukarnya bila ingatannya hilang. Dia tidak dapat ingat apa-apa. Bagaimana Hafizul boleh terjebak dengan alkohol sedangkan lelaki itu terkenal dengan perangai baiknya! Lelaki itu sangat mendahulukan agama. Itu yang dia tidak percaya!
“Aida, satu je aku minta. Jangan sesekali kau mengaku yang kau menyesal kenal dengan aku. Aku sayangkan kau. Hati aku perit bila kau cakap macam tu. Seolah-olah kau tak hargai persahabatan kita selama dua puluh tahun ni...” Hafizul bersuara parau. Aida menceber. Sakit hatinya dengan kata-kata Hafizul yang kedengaran hipokrit itu.
“Salah siapa?! Kau tak fikirkan hati aku, Pijoi! Hati aku lagi sakit bila kau khianati kepercayaan aku pada kau. Dua puluh tahun aku berkawan dengan kau, semua tu terhapus macam tu aje. Kau rosakkan aku!” Aida membentak.
Hafizul tahu, apa-apa pun alasan dia sekarang, pasti Aida tidak akan dapat terima. Jadi dia mendiamkan diri. Wajah diraup dengan kedua belah tangan.
“Aku nak tahu, mana handphone aku?” soal Aida setelah dia kembali bertenang. Telefon bimbitnya tidak dipulangkan. Dia mahu melihat apa yang ada di dalam telefonnya itu.
“Dah rosak.” jawab Hafizul pendek. Berbohong. Dia mahu memegang telefon bimbit Aida sampai bila-bila. Banyak rahsia yang terdapat dalam telefon bimbit Aida itu.
“Sim kad?” soal Aida lagi. Lambat-lambat Hafizul mengeluarkan sekeping sim kad dari dompetnya. Dihulurkan kepada Aida. Aida merampasnya dengan laju. Hafizul hanya mampu berharap agar dia sudah memadam segalanya yang tidak berkaitan dalam hidup Aida di dalam sim kad itu. Biarlah rahsia kekal menjadi rahsia sehingga Aida ingat semula.
“Bila kau balik?” soal Hafizul mengubah topik.
“Kejap lagi.” ujar Aida pendek. Hafizul menelan liur. Payau. Sebentar sahaja lagi dia bakal kehilangan isterinya.
“Da, aku harap, kalau kau ingat kejadian malam tu, kau akan berhenti menyalahkan aku. Aku harap kau faham situasi aku waktu tu. Aku perlukan kepercayaan kau, Da. Aku perlukan kau. Kau sendiri tahu kejadian malam tu macam mana. Aku tak dapat kawal. Cepatlah ingat balik. Kalau kau ingat balik, aku yakin kau takkan marah-marah aku macam ni. Aku yakin kau faham tempat aku. Da, kesianlah kat aku ni. Aku seorang diri je yang kena tanggung semua ni. Aku tertekan Da...” Hafizul berkata sebak.
“Faham tempat kau? Kau seorang diri je yang tanggung? Jangan nak buat lawak boleh tak? Ni, dalam perut aku ada anak ni macam mana pulak? Kejadian tu dah berlaku. Aku tak ingat dan aku tak nak ingat. Sebab aku yakin yang aku terseksa sangat bila kau dah rogol aku. Apa dosa aku dah buat kat kau?” soal Aida.
Hafizul diam. Hatinya meronta-ronta menyuruhnya untuk menceritakan hal yang sebenar. Kepala digeleng-gelengkan perlahan.
“Izinkan aku peluk kau. Sekali aje. Aku nak peluk isteri aku sebelum aku berpisah dengan kau.” pinta Hafizul berat.
“Tak payahlah! Aku dah kata, aku jijik dengan kau. Boleh faham tak?” soal Aida bengang. Dia membuka pintu kereta, bersiap sedia hendak keluar.
“Sekali aje. Aku takkan cari kau. Aku janji. Aku janji akan tunggu sampai kau cari aku.” Hafizul berkata berat. Hatinya meronta-ronta tidak mahu Aida membesarkan anak mereka sendirian.
Aida mengeluh. Hafizul kini suaminya. Seribu kali dia menolak, seribu kali jugalah dosa yang dihimpunnya. Dia seorang yang sangat berpegang pada agamanya. Tangan Hafizul dicapai tanpa dia  memandang wajah suaminya itu. Dikucup tangan Hafizul secepat mungkin. Tubuhnya secara tiba-tiba ditarik dalam dakapan suaminya. Kuat. Erat sehingga mukanya tersembam ke dada Hafizul. Pipi dan dahinya dikucup bertalu-talu sehingga dia naik lemas.
“Sudahlah, Joi!” Aida membentak sambil menolak tubuh Hafizul namun pelukan terlalu kemas untuk dileraikan. Dia bersalam untuk perpisahan! Dan Hafizul memeluk dan menciumnya sebagai bekalan untuk hari-hari perpisahan mereka nanti. Pelukan akhirnya terlerai. Kepala Aida dipegang. Dikucup lagi dahi Aida.
“Aku sayangkan kau. Bila kau dah ingat balik, cari aku. Aku sentiasa ada.” ujar Hafizul sebak. Air mata, tanpa dapat ditahan lagi menitis laju. Tinggallah dia sendirian di bumi Kuala Lumpur ini.
Aida tanpa pamitan, terus keluar dari kereta dan mendapatkan adik-adiknya. Air mata yang gugur diseka secepatnya.
Ingin sekali dia membalas kata-kata Hafizul tadi bahawa dia juga sayangkan Hafizul. Namun semuanya sudah terkubur.
Untuk memaafkan lelaki yang telah mengkhianatinya, dia tidak mampu. Itulah peritnya tentang pengkhianatan. Ia tidak datang dari orang yang bergelar musuh, Tetapi ianya datang dari orang yang paling dipercayai...
Untuk mempercayai Hafizul sekali lagi? Tidak sama sekali.



0 komen:

Post a Comment

 

LunaSAMS Template by Ipietoon Cute Blog Design