SALAH SIAPA? 5


Bab 5
AIDA membuka surat itu dengan tangan terketar-ketar. Di dalam sampul itu masih terdapat kertas lain dan bila ditilik isinya, ia merupakan sejumlah wang. Agak banyak. Wang nafkah.
‘Buat bini aku. Macam mana dengan anak aku? Sihat ke dia? Kau jaga dia elok-elok ye, Da? Aku rindukan kau berdua. Rindu sangat-sangat. Rasa macam dah bertahun kau tak tinggalkan aku khabar berita. Aku cuma nak tahu sama ada kau betul-betul sihat atau tak. Kau tak nak bercakap dengan aku, jadi aku utuskan surat untuk kau. Moga kau tahu apa yang aku nak cakapkan selama ini.
Aida, aku tahu kau bencikan aku sungguh-sungguh. Dan aku tak expect untuk dibenci kau sampai tahap begini. Aku tahu, memang salah aku pun yang buatkan kau benci pada aku. Percayalah Aida, aku tak mampu padam dosa aku dulu sekelip mata. Sampai sekarang pun aku masih diburu rasa bersalah.
Lagi aku tak sangka, itulah kali pertama aku dengan kau... dan aku langsung tak sangka, dengan hanya sekali tu, hidup kita terus berubah. Percayalah, sekali itu tak pernah terlintas di fikiran aku langsung untuk membiarkan ia terjadi.
Mungkin semua tu terjadi disebabkan nafsu aku dan iman aku yang lemah. Mungkin juga kerana aku tersalah tafsirkan perasaan sayang dan cinta aku pada kau sehingga menjadikan ia alasan untuk menghalalkan yang haram. Aku minta maaf. Sungguh. Perkara yang jadi malam tu bukanlah kehendak aku, Da. Aku tak sanggup nak berpisah dengan kau, Aida. Aku dah insaf. Tolonglah kembali pada aku. Hidup aku sunyi tanpa kau.
Baliklah, Da. Kalau kau nak tahu kisah yang sebenarnya, aku akan beritahu dengan jujur. Tapi, kau baliklah dulu. Ke pangkuan aku. Aku harap kau pertimbangkan. Fikirkan masa depan anak kita, Da... fikirkan dia. Dia perlukan ayah. Dia perlukan aku. Dia juga perlukan kau.’
Aida menangis-nangis membaca surat itu. Sungguh dia masih keliru. Kalau benar kejadian malam itu bukan kehendak Hafizul, bagaimana kejadian itu masih tetap berlaku juga? Apa sebenarnya maksud Hafizul?
“Kenapa kau sekejam ini, Joi? Kenapa?” rintih Aida.
Disebabkan surat itu, hari ini dia berkurung di dalam bilik sehingga ke malam. Benci untuk mengaku, dia sudah jatuh sayang pada anak luar nikahnya ini. Kerana, Hafizul begitu menyayanginya. Kenapa dia mesti merasa sayang pada sesuatu yang Hafizul sayang sedangkan lelaki itu yang membuatkan hidup dia tiada maknanya lagi? Kenapa?

“IKMAL, datang rumah aku kejap.” Tanpa memberi salam, Hafizul menjemput Ikmal untuk datang ke rumahnya. Dia perlukan Ikmal sekarang. Hidupnya semakin berserabut dan dia tak mampu untuk tanganinya sendirian lagi. Dia perlukan seseorang untuk meluah.
“Kenapa weh? Aku busy ni. Ada training. Budak baru masuk.” Kata Ikmal di hujung talian. Dapat Hafizul dengar bunyi-bunyi punching bag ditumbuk berlatarbelakangkan suara Ikmal.
“Datang ajelah. Penting ni.” Hafizul mendesak.
Okay. Lepas habis training ni aku datang. Sabarlah Joi! Kau nak kejar apa? Bini bukannya ada dengan kau pun. Relax sudahlah.” Selamba sahaja nada Ikmal di hujung talian. Hafizul mendengus. Disebabkan tiada isteri di sisilah dia jadi begini. Hampir gila.
“Sebab tak ada dialah aku suruh kau datang ni. Aku nak masuk balik. Daftarkan nama aku kat training tu. Aku nak join competition tu.” Hafizul tidak menunggu lama untuk memberitahu hasratnya.
“Wow wow wow! Kau dah fikir masak-masak ke weh?” soal Ikmal yang agak terkejut dengan keputusan Hafizul itu. Hafizul menarik nafasnya.
“Sudah.” Jawabnya yakin dan tegas.
Okay. Kau pun tahu Aida akan marah kalau kau libatkan balik diri kau dalam benda ni, kan? Kau memang sengaja nak cari penyakit ke?” soal Ikmal.
“Aku serius. Aku tak pedulilah kalau dia marah aku join balik benda ni. Dia memang tengah marahkan aku pun. Tak mengubah apa-apalah. Selama ni aku ikut apa dia nak. Sekarang, aku nak ikut kemahuan hati aku pulak. Aku nak join balik.” kata Hafizul tegas.
If that is your wish. Ingat, no way back ye benda alah ni. Sekali dah sign in, tak boleh sign out. Kau jangan buat ikut suka hati mak bapak kau aje dalam hal ni. Kau fikirlah masak-masak dulu. Kau tak ingat dulu betapa teruknya kau kena dengan si Aida tu bila tahu kau join benda ni? Kau sanggup ke nak kena lebih teruk lagi?” soal Ikmal geram. Hafizul mendengus.
Bukannya benda tu tak elok pun. Cuma, mungkin bakal menyakitkan hati Aida tetapi... dia tidak boleh fikirkan perkara lain buat masa ini. Dia perlukannya.
Sudah lama dia berhenti dari sukan Muay Thai itu. Semenjak di zaman kolej lagi. Itupun disebabkan Aida yang memaksanya berhenti dengan ugutan tidak mahu menjadi kawan kepadanya lagi tetapi... kali ini, dia benar-benar tidak mahu memikirkan masalahnya lagi. Satu saja cara untuk dia menghukum diri dan melarikan diri dari masalah ini adalah dengan kembali melibatkan diri dengan sukan itu.
“Apa yang aku kena sekarang ni tak cukup teruk ke?” soalnya sinis.
Okay! Sorry. Wrong question. Okeylah. Apa-apa hal, aku bagi kau masa. Fikirkan dulu masak-masak.” Ikmal memujuk. Bukannya dia tidak tahu masalah rumah tangga Hafizul dan bukannya dia tidak tahu sebab-musabab segala itu terjadi. Hafizul teman baiknya, tentu sekali dia tahu apa masalah yang kawannya hadapi. Termasuklah peristiwa malam di mana Hafizul tewas dengan nafsunya itu.
“Aku dah fikir masak-masak. Kau sign in ajelah. Sekali aku menang, aku bahagi dua dengan kau habuannya. Kau nak kan?” dengus Hafizul.
Payah sungguh nak meminta tolong dengan Ikmal ini nampaknya. Mungkin takut dengan amarah Aida agaknya. Dulu pun Aida pernah memarahi Ikmal kerana kononnya membawa pengaruh tak elok kepadanya hanya disebabkan dia menceburi bidang muay thai ini.
“Wowowo... rileks. Jangan cakap pasal menang. Kau tak tahu siapa yang join competition ni.”
“Aku akan pastikan yang kita menang. Aku perlukan duit, weh.”
“Hmmm... Kalau aku kena maki dengan Aida tu macam mana?” soal Ikmal.
Hafizul mengeluh. Dia sudah mengagaknya. Ikmal takut kena marah dengan Aida nampak gayanya.
“Jangan risau. Dia tak ingat apa-apa pun.” Kata Hafizul selamba.
“Hey! Ingat ye, dia tak ingat tu dalam tempoh lima tahun lepas, selepas hari jadi dia. Kau dah start libatkan diri kau dalam training tu sebelum hari jadi dia lagi...” Ikmal berkata tegas. Hafizul terdiam. Ya tak ya juga. Sudah lama benar dia melibatkan dirinya dengan aktiviti itu. Maknanya, sudah lama sungguhlah dia berhenti.
Dulu, betapa bahagianya dia bila Aida risaukan dia. Bila Aida fikirkan dia. Bila Aida bermati-matian mendesaknya supaya berhenti melakukan perkara ‘bodoh’ itu. Agak-agaknya, sekarang, Aida akan kembali mengambil berat tentang dia tak? Ah! Semua itu terlalu sukar untuk diramal. Aida sudah begitu bencikan dia, entah sampai bila pun dia tidak tahu.
“Argh! Biarkan sajalah. Kau nak takut apa? Dia bukannya nak marah kau pun. Paling tidak nanti dia marahkan aku. Tolonglah, Mal. Aku perlukan sesuatu nak lepaskan stress ni.” Hafizul merayu pula. Ikmal nampaknya terlalu takut pisang berbuah dua kali.
“Joi, kalau nak masuk competition ke battle ke... aku tak galakkan.”
“Biarlah.”
“Kau cedera nanti...” Ikmal bersuara lagi. Dia risaukan sahabatnya. Itu sahaja. Lainlah kalau dia. Dia tidak punya sesiapa selain ibu dan ayahnya. Hafizul lain. Dia ada anak dan bini...
“Pedulikan.”
“Okey! Kau memang tak dengar nasihat orang kan? Kau datang sini dulu, kita bincang.” Arah Ikmal.
“Bila tu?” soal Hafizul lega.
“Kalau boleh sekarang. Lepas tu dah siap kontrak dan sebagainya, kau kena training. Macam dululah.” Kata Ikmal tenang.
“Aku pergi sekarang. Kejap lagi aku sampai.” Hafizul mematikan taliannya. Dia bergegas mencari dompetnya. Kotak besar di bawah katil dibuka.
“Hey! Kita bertemu lagi setelah lama terpisah.” Kata Hafizul sendirian lantas dikeluarkan alat itu dari kotak dan dipindahkan ke dalam beg hitamnya.

“MAL! Kau dah daftarkan aku?” soal Hafizul sambil berjabat tangan dan berlaga bahu dengan Ikmal. Ikmal tersengih melihat Hafizul yang datang dengan hanya berseluar pendek dan berbaju tanpa lengan. Nampaknya Hafizul sudah tidak sabar untuk memulakan misinya.
“Aku isi borang aje dulu. Tapi certain-certain detail aku tak masukkan sebab tak tahulah, nanti pandai-pandailah kau isi sendiri. Tu, pergi masuk. Big Boss nak signature kau.” Kata Ikmal sambil menepuk bahu Hafizul. Hafizul tersenyum sahaja.
“Kau kena ajar aku dari A benda ni, Mal. Aku dah lemau bab-bab ni...” kata Hafizul sambil menayang sengih. Ikmal tergelak.
“Lelaki pujaan wanita takkanlah cepat sangat lemau?” soal Ikmal.
Hafizul tergelak. Inilah gelaknya yang pertama selepas lama terpisah dengan Aida. Pujaan wanita? Aida itu bukan wanitakah sehinggakan dia dibenci sedemikian rupa? Memikirkan Aida, hatinya kembali sayu... entah apa khabarlah Aida di kampung.
“Nak buat macam mana? Lima enam tahun tu bukan jangka masa yang pendek, bro.” Kata Hafizul selamba.
“Aku tahu tu. Eh! Kau ni tak bekerja dah ke?” soal Ikmal.
“Kalau aku bekerja pun apa masalahnya?” soal Hafizul merahsiakan tentang dirinya yang dipecat dulu.
“Masalahlah. Orang lain yang bekerja kat sini pun tak ada bertindih waktu kerjanya dengan waktu training. Tapi kau... problem. Kau kan tau benda ni kena training siang malam. Kau nak masuk battle, doh... bukan perlawanan persahabatan. Bukan pertunjukan.” Kata Ikmal gusar.
“Dahlah. Kau tak payah risau pasal aku. Dah lama aku kena buang kerja sebenarnya.” kata Hafizul akhirnya. Ikmal terbelalak.
What? Kerja sedap-sedap kau boleh berhenti?” soal Ikmal terkejut.
“Kau faham kan beza kena buang kerja dengan berhenti tu macam mana?” soal Hafizul sinis. Ikmal terdiam seketika. Untuk dia korek masalah Hafizul sekarang, memang dia mencari nahas.
Nanti, dia akan tanya juga apa sebenarnya yang menyebabkan Hafizul dipecat dari kerjanya. Mungkin ia berkaitan dengan Aida. Kalaulah Hafizul memberitahu masalahnya itu kepada dia dulu, mesti dia akan tolong apa yang patut. Hafizul selalu melepak dengannya pada waktu malam tapi dia tak pernahlah pula mengesyaki yang Hafizul sudah tidak bekerja.
Mungkin Hafizul merahsiakan daripada pengetahuannya kerana tidak mahu dia bersimpati pada nasibnya.
“Oo. Okey. Dahlah. Pergi masuk sana. Big Boss dah rindu sangat kat kau tu.” kata Ikmal sambil menumbuk bahu Hafizul. Hafizul menayang sengih.
“Aku tahulah.” Kata Hafizul dan pantas berlalu ke dalam bilik Big Boss, Uncle Lim.
“Halo! Banyak lama tak jumpa. Saya sudah rindu sama you.” Uncle Lim sambil mendepangkan tangannya. Hafizul tersengih dan memeluk Uncle Lim. Lelaki yang dihormatinya selama ini.
“Saya pun rindu uncle. Pergh... badan uncle tough gila sekarang...” Hafizul memuji. Uncle Lim tergelak.
“Mestilah. Badan you sudah tak tough lagi ma... apa pasal jadi macam ni?” Uncle Lim menepuk-nepuk bahu Hafizul.
“Nak buat macam mana, uncle? Badan tak tough sebab dah banyak hari tak makan. Selera mati.” Kata Hafizul. Semenjak kejadian hitam dulu, dia tidak lagi bersenam.
“Macam mana boleh jadi macam tu?”
“Bini jauh.” Selamba Hafizul berkata.
“Haiya! Suruh dia duduk dekat ma. Apa susah?” kata Uncle Lim bersama senyumannya. Punggung dilabuhkan ke tempat duduknya. Kaki dinaikkan ke atas meja lagak otai-otai zaman sekarang. Rokok dihidupkan dan dihisap penuh gaya.
“Duduklah. Itupun nak saya bukakan kerusi sama you ka?” soal Uncle Lim selamba. Hafizul tergelak. Dia menurut.
Uncle. Mana saya punya kontrak?” soal Hafizul.
“Haiya! You suami orang ma. Kalau you nak tukar fikiran lu, nanti saya juga yang rugi. You sign kontrak, nanti bini you mengamuk, you cabut lari. Susah la, Joi.” Kata Uncle Lim dengan kening berkerut-kerut.
“Habis, tadi Ikmal kata ada kontrak?” soal Hafizul pelik.
“Ada! Itu kontrak masuk itu battle dan surat training. Bayaran Ikmal sudah tolong you settle.” Kata Uncle Lim.
“Ha, mana kontraknya, uncle? Tak sabar nak sign ni.” kata Hafizul teruja.
“Saya mau tengok prestasi you dululah, Joi. Balik nanti saya bagi itu kontrak sama you. Apa macam?” soal Uncle Lim.
Uncle, saya sudah tak hebat lagi macam dulu. Nanti uncle menangis tengok saya.” gurau Hafizul. Uncle Lim tergelak besar.
“Sebab tadak hebatlah nanti saya mau jadikan you hebat. Biar you menang. You pernah jadi yang terbaik aaa. Kali ni battle kita bukan calang-calang tempat. Kali ini kita masuk tv ma. You boleh jadi famous!” Kata Uncle Lim. Kakinya diturunkan dan dia merapatkan dadanya ke meja.
Hafizul terdiam. Alamak! Masuk tv ke? Habislah dia kalau perkara ini sampai ke pengetahuan Aida.
“Ala... Masuk tv? Saya tak naklah sampai masuk tv uncle.” kata Hafizul kurang senang.
“Ya. Dekat sport channel. Okaylah. Saya kasi you sign itu kontrak dululah. Nanti you tak boleh tukar fikiran. Haiyoh! You ni kejap mau kejap tak mau. You jangan buat hal, uh? Saya dah cakap sama itu manager suruh masukkan nama you tadi. Saya pakai kabel. You jangan hampakan saya ah.” Kata Uncle Lim sambil membuka laci mejanya dan mengeluarkan kertas perjanjian. Hafizul menelan liur. Alamak! Benarkah tindakannya ini?
Sign sajalah. Then, training saja. Nanti battle pertama ramai orang masuk. Saya tak nak you orang pertama tersingkir ma...” kata Uncle Lim. Hafizul menunduk membaca kontrak itu. Aduh! Kenapalah dia jadi tidak sedap hati pula dengan tindakannya ini?
Setelah puas membaca, dia mengambil pen di meja Uncle Lim. Detail yang masih kosong, diisi dengan lancar. Tiba di garisan tanda tangan, dia berhenti. Teragak-agak dia hendak menurunkan tanda tangan di situ. Di borang yang telah diisi maklumatnya oleh Ikmal tadi.
“Maafkan aku, Aida...” bisik Hafizul lantas tanda tangan diturunkan juga.
“Okay. We have a deal now. Jangan hampakan saya.” kata Uncle Lim sambil menghulurkan kad keahlian kepada Hafizul. Hafizul menyambut dengan teragak-agak.
‘Aku betul-betul minta maaf, Da.’ Bisik hati Hafizul.


0 komen:

Post a Comment

 

LunaSAMS Template by Ipietoon Cute Blog Design