Bab 14
“MERIAHNYA!!!”
sindir satu suara garau. Arrayyan
berpaling. Mati senyumannya apabila ditegur
Hisyam. Kening lebatnya bertaut memandang
ke arah Hisyam yang menghampirinya dengan
langkah segak. Meriah? Dia ada bakar
bunga apikah? Atau dia ada memakai
baju yang berwarna ceria? Automatik dia
membelek ke arah baju di badannya
sendiri. Hitam. Ceria ke? Meriah ke?
Bukannya warna pink pun!
Arrayyan menggaru-garu kepalanya yang tak
gatal.
“Meriah?” soalnya pendek. Hisyam
tersenyum-senyum. Apa pasal pulak dia
tersenyum ni? Apa yang meriah?
“Dari tadi aku perhati kau asyik
tersenyum seorang diri. Aku rasa, kau
ni dah sawanlah!” Hisyam bersuara selamba.
Dia bersandar di dinding yang
berdekatan dengan Arrayyan dengan memeluk
tubuhnya. Arrayyan menjegilkan matanya.
“Sawan, otak kau!” Arrayyan menempelak
cepat. Risau pula kalau Hisyam menyakatnya.
Dia semakin tidak berhati-hati dalam
menyembunyikan perasaan gembiranya sekarang ini.
Kenapa ya? Macam mana boleh jadi
macam ni? Apa yang menyebabkan dia
rasa gembira sangat ni?
“Ya otak aku. Kau memang dah
terkena sawan cinta. Jatuh cinta dah kau
ni!” Hisyam menggiat. Arrayyan mencebirkan
bibirnya. Dia jatuh cinta? Dengan siapa?
Bukannya dia ada terjumpa mana-mana gadis
cantik pun! Abby? Eh? Kenapa boleh
pulak terbit nama tu secara tiba-tiba
ni? Err. Cantik sangat ke Abby tu?
“Pandai-pandai kau aje letak penyakit
aku kan? Mana adalah? Masa bila pulak
aku senyum ni?” Arrayyan berdalih.
Segan sungguh dia bila ditangkap tengah
khusyuk tersenyum sendiri dengan Hisyam.
Hisyam ini pun satu, buat tak nampak
sudahlah! Kata sepupu paling
sporting? Sporting apanya
kalau macam ni? Abby
punya pasallah ni! Hari-hari suka sangat
melawak! Sampaikan kepala otak aku ni
dah tak boleh berhenti memikirkan perilaku
dia. Ajaib sungguh!
“Kau tak payah nak kelentong akulah.
Aku berdiri dah sepuluh minit dekat
tepi pintu tu, muka kau, senyum
sorang-sorang lepas tu tergeleng sorang-sorang.
Tak ke sawan namanya tu?” Hisyam
memangkah. Arrayyan tersenyum salah kena.
“Alah, salah ke kalau aku senyum?
Aku senyum pun nak tegur jugak ke?”
soal Arrayyan tidak puas hati. Tidak
tenang hatinya bila ditebak sebegitu oleh
Hisyam.
“Tak salah kalau kau senyum pada
orang, tapi salah bila kau tersenyum-senyum
sorang-sorang padahal tak ada benda yang
melucukan pun. Nak kata kau tengok
tv, tv pun tak terpasang. Aku tak
tahulah kalau kau ada kuasa ajaib
boleh tengok tv yang tak berpasang,”
sindir Hisyam sambil menahan senyum.
Kelakar sungguh rupa Arrayyan bila
sedang angau seperti ini. Setiap masa
asyik tersenyum. Kalau dulu, mana dia nak
senyum? Serius memanjang
sampai Hisyam fikir
Arrayyan ada masalah
besar dalam hidup.
“Ini, aku rasa, kau tentu teringatkan
pekerja kau tu kan? Yang melatah tu?”
teka Hisyam dengan muka
nakal mengena. Arrayyan
menjeling, mukanya merona
merah. Hisyam tahan
gelak.
Dia sekadar meneka. Sebelum ini, Arrayyan
tidak pernah bercerita perihal pekerjanya
melainkan jika dia sendiri yang bertanya
perihal pekerja lelaki itu. Tiba-tiba,
baru-baru ini Arrayyan terbuka pintu hati
hendak bercerita mengenai gadis yang
bekerja di tempat kerjanya tanpa perlu
disuruh. Siap dia memuji lagi kecantikan
gadis itu. Tidakkah itu dipanggil angau?
“Eh? Tak ada maknanya aku nak
ingat pada dia. Dahlah jalan
terkedek-kedek. Mulut pulak asyik melawan
dan melatah sahaja dia tahu. Lepas
tu, kalau jerkah sekali melatah seribu
kali! Kalau buat kerja dalam kelam-kabut,
sekali tak garu kepala macam orang ada
kutu memang tak sah. Lepas tu, kalau
dapat berborak-borak dengan orang lelaki
sampai lupa dunia. Aku berdiri tegak
terpacak dekat dia pun dia buat tak
tahu. Benci betul aku,” bebel Arrayyan tanpa
menyedari yang dia
telah menceritakan apa
yang diperhatikan olehnya
sepanjang Abby bekerja
di syarikatnya.
Hisyam tergelak sinis.
Ego Arrayyan ini tinggi sangat!
Kalau dah suka, apa susahnya? Mengaku
sahajalah. Buat dia pening kepala sahaja
melihat keangauan sepupunya yang semakin
menjadi-jadi itu. Ini dah kerja gila.
Teringin juga dia untuk melihat siapakah
gerangan yang berjaya membuat hati beku
Arrayyan itu jadi berbunga-bunga?
“Kau ni. Itu bukan benci. Itu jealous
namanya,” Hisyam menempelak geram.
Dah pekerja dia berborak dengan
lelaki sampai tak hiraukan dia, dia
nak marah apa pasal? Lagi satu,
setiap perkara yang pekerja dia buat,
diperhatikan dengan teliti. Macam ada yang
tak kena aje. Sebelum ni, tak ada
pulak Arrayyan nak perhatikan pekerja dia
sampaikan garu kepala sewaktu buat kerja
dalam keadaan kelam-kabut pun dia tahu.
Ini aneh!
“Ah! Berhenti cakap pasal dia!” eleh.
Dah kalah tu bolehlah berdalih! Ingin
sahaja Hisyam menghentam Arrayyan yang ego
itu dengan kata-kata sebegitu tetapi dia
malas hendak memanjangkan cerita. Lagi
pula, sudah tiga puluh tahun dia
menghadap muka Arrayyan ni! Memang tak
nak kalah bila bercakap! Balik-balik, dia
yang sakit hati sendiri nanti.
“Okay, kalau kau jatuh hati dengan
dia pun, apa salahnya?” Hisyam masih
lagi menggiat tetapi tidak seagresif tadi.
“Eeee, tak nak aku! Hari-hari aku
makan penampar dia nanti,” Arrayyan
menggeliat geli-geleman. Tidak sanggup rasanya
ditempeleng Abby hari-hari. Mahu mati kena
tampar dia nanti.
“Asal pulak?” soal Hisyam aneh.
Arrayyan inilah! Ada-ada sahaja jawapan
yang dia cipta. Naik rimas pula
mendengar alasannya.
“Yalah, kalau nak kejutkan dia memang
tak boleh. Sebab kalau dia terperanjat
aje, terus mulut dia melatah benda
bukan-bukan. Kalau nasib tak berapa elok,
ditamparnya muka kita macam dia tampar
si samseng dulu tu. Macam mak cik-mak
cik. Pernah sekali aku terdengar dia
sebut benda yang tak sepatutnya dia
sebut, kau tahu? Dengan
aku-aku ni sekali
naik malu. Teruk sangatlah!!” Arrayyan
mengomel. Hisyam berdekah-dekah ketawa.
“Aku rasa dia secocok sangat dengan
kau! Sebab itulah! Dia terlalu unik.
Kau ego macam ni, dan dia pulak
melatah cara paling agresif. Aku rasa
nanti kau tak berani nak tinggi suara
pun dengan dia. Jangan dia ambil alih
tugas bos kau tu sudahlah,” Hisyam
bersuara mengejek. Entah kenapa, dia rasa Arrayyan
bakal menjadi seorang yang ‘baik’ bila
hari-hari ‘dikuliahkan’ si pekerjanya itu nanti.
“Jangan harap... Arrayyan
Zainuddin takkan pernah
jatuh takhta dari
pangkat ‘bos’!” Arrayyan
berkata megah. Hisyam
menjungkitkan bahunya.
“We’ll see,” ujarnya
pendek namun yakin.
“MASUK!!”
jerit Arrayyan dengan suara petirnya dari
dalam. Abby menurut dengan hati yang
bengkak. Kalau diikutkan hatinya, tak
teringin langsung dia hendak menjejakkan
kaki ke dalam bilik si Arrayyan ini.
Bukannya ada apa-apa istimewa pun!
“Kenapa bos panggil saya?” soal Abby
yang malas hendak menatap muka Arrayyan. Matanya
memandang ke arah
kasut sendiri. Nak
tiru style Arrayyan yang
sering memandang kasutnya.
Tak ada rasa
apa pun? Rasa
gayat aje... komen
Abby di dalam
hati.
“Kalau bercakap tu, tak boleh ke
mata pandang saya?!” Arrayyan berkata
bengang. Hina sangatkah dia pada mata Abby
sehinggakan gadis itu tiada selera hendak
menatap wajah tampan ala-ala model Itali
itu? Cheh!
“Hah? Maaf bos! Ada apa yang
boleh saya tolong bos?” soal Abby
pelik. Matanya tajam memandang anak mata
Arrayyan. Asyik-asyik muka dia saja yang
kena masuk bilik Arrayyan. Macam dah
jadi tempat persinggahan pula pejabat
Arrayyan ini!
Arrayyan sudah tergagap-gagap. Peluh mula
merecik-recik meskipun dalam cuaca sejuk
sebegitu. Terkejut dengan panahan
mata Abby yang
begitu tajam sehingga
menggoyahkan rasa yakin di
hatinya tadi. Nak cakap ke tak
nak? Aduhai. Kalau cakap pun, faham
ke Abby? Kalau Abby faham,
mana aku nak
letak muka aku?
Kalau dia tak
faham pula, macam
mana dia nak
tahu? Alamak! Berjaya ke guna idea
Hisyam tu? Arrgh!
“Ni shi wo
de gongren! (awak adalah pekerja saya).
Wo de nu pengyou!
(saya punya teman wanita). Azham, ta shi bu shi ni de
nan pengyou ma? (Azham, adakah dia
teman lelaki awak?)” Arrayyan menyoal
dengan riak serius.
Abby berkerut seribu.
“Bushi (bukan). Ta shi wo de pengyou
(dia adalah saya punya kawan). Hao pengyou (kawan
baik),” jawab Abby. Dia buat muka
pelik. Riak Arrayyan berubah serta-merta!
Alamak! Dia faham bahasa Mandarinkah?
Malu! Malu! Malu!!! Arrayyan rasa mukanya
kini sudah tebal berinci-inci akibat luahan
hatinya itu. Hisyam punya idea memang harem! Tak boleh
pakai! Sia-sia aje aku mengaku yang
aku suka tengok Abby ni kat dia
semalam! Arrggh!
Jatuh maruah aku! Sial punya Hisyam! Mujur
aku tak cakap
‘wo ai ni’ tadi!
Kuku ibu jarinya
digigit-gigit.
“Eh, saya salah cakaplah. Ni shi wo de mishu (awak
adalah saya punya setiausaha). Azham, ta shi bu shi you zai
bangongshi ma? (Azham, adakah dia di
pejabat?)” soal Arrayyan dengan ayat cover
malu yang entah
betul entahkan tidak
itu dek kerana
rasa malu yang
mengasak dada.
“Bos, cakap melayu sudahlah! Saya
tahulah saya ni pekerja bos, PA bos.
tapi, nak tanya pasal Azham tu
kenapa? Apalah bos ni, dari bilik bos
ni pun bos dah boleh nampak Azham
itu, kan?” Abby menjawab geram lalu
mulutnya dimuncungkan keluar,
ke arah Azham
yang sedang berbual
dengan Suzanna sambil
berselang-seli dengan buat
kerja.
Malu bila Arrayyan tak memasal cakap
yang dia teman wanita lelaki itu.
Sejak bila? Eee. Mujur juga Arrayyan
tersalah cakap! Arrayyan pula rasa macam
tertelan tanah. Aduhai malu betul muka
ni. Mana nak sorok? Ini yang
bertambah benci pada Abby ni! Semuanya
dia tahu. Semuanya Abby jadi handal!
Aku nampak lemah dan lembab kalau
duduk depan dia! Argh! Aku dah salah
suka pada orang ni! Siaplah kau Abby,
kalau aku cakap bahasa Tamil pun,
entah-entah kau terror
jugak ye? Tak apa. Hari ini, sebab
kau dah buat aku malu, aku kenakan
kau kaw-kaw!
“Saya nak awak dengan Azham cari
fail dari Syarikat Season tu sebanyak
yang mungkin. Saya hendak buat beberapa
penelitian pada fail tersebut. Dapatkan
sekurang-kurangnya sebanyak lapan buah fail,”
arah Arrayyan tegas dan serius. Hahaha.
Rasakan! Ingat senang ke nak cari
fail tu? Entah cukup entah tidak
lapan buah fail.
“Baik bos,” jawab Abby bersahaja.
Langsung tak ada riak terkejut atau
terbelalak. Tenang menerima arahan.
“Saya keluar dulu,” Abby meminta izin
dan melangkah pergi.
Arrayyan tersenyum nakal dari duduknya.
Pen yang dipegangnya digoyang-goyangkan dan
kemudian dimasukkan ke dalam mulut.
Punggung pen itu digigit dengan riak
muka yang nakal. Rasakan kau! Kalau
semua benda kau boleh buat dengan
cekap, aku nak tengok kali ini sama
ada cekap atau tidak kau buat kerja?
“ZAHAM,
bos ada kerjalah untuk kita! Saya
ni ada banyak kerja nak kena settle.
Bos minta awak dan saya untuk carikan
fail dari Syarikat Season tu. Paling
kurang pun, bos nak lapan buah fail.
Bos nak buat penelitian apa entah,” Abby
mengadu. Depan bos, dia buat muka cool, belakang bos,
dia dah panas punggung!
“Lapan buah fail? Banyak tuuu!” Azham
bersuara kuat. Terkejut. Abby mengangguk-angguk
mengiyakan kata-katanya tadi. Sudahlah! Macam
mana dia nak berhadapan dengan situasi
sebegini? Apakah yang menyebabkan Arrayyan
bertukar jadi sawan macam ini? Sebab
tersalah cakap tadikah? Erkh!
“Tak apalah, meh, saya tolong awak,” Azham
berkata. Dia cakap perkataan ‘tolong’?
Helo, bos suruh kita buat kerja ni
sama-sama tahu tak?! Tak ada istilah
‘tolong’ lagi dah. Dia ingat aku
kelentong dia ke apa? Abby bermonolog
di dalam hati. Geram dengan kata-kata Azham
yang mungkin sedang berfikir bahawa hanya
dia yang diarahkan Arrayyan untuk mencari
fail itu.
Pening dengan Azham dan pening dengan
Arrayyan. Tak apalah, lagi cepat aku
dapat fail tu, lagi bagus!
Setelah beberapa ketika mencari fail
tersebut di bilik stor, Arrayyan datang
menunjukkan muka bengisnya.
“Tak jumpa cari lagi?” soal Arrayyan
garang. Arrayyan bercekak
pinggang di pintu
stor.
Abby mengeluh. Dia kini sudah
merangkak-rangkak di atas timbunan fail
yang disepahkan oleh Azham tadi. Azham
pula sudah terduduk mengibas bajunya yang
berpeluh. Keadaan mereka sangat mencurigakan!
Arrayyan jadi bengang bila melihat mereka
dalam keadaan lelah sebegitu. Macam baru
lepas buat benda yang ‘bukan-bukan’. Kenapa
hati ni jealous
sangat?!
“Baru jumpa tujuh. Satu lagi,” Abby
bersuara lemah. Jari telunjuknya diangkat
dengan lemah. Sudah hampir pecah otaknya
mencari fail-fail itu di situ.
“Azham, awak boleh pergi berehat.
Lepas tu, sambung semula kerja awak
yang terbengkalai tadi. Abby, saya nak
awak cari sampai dapat. Jangan berehat
selagi tak jumpa!” Arrayyan menggunakan
kuasa vetonya. Abby terbelalak. Perut ni
dah lapar sangat dah! Lauk sambal
Diela dalam tupperware
tu... ah! Memang aku teringin gila!
Hati Abby membentak geram.
Sudahlah masa rehat dipotong sehingga
aku terpaksa makan di pejabat sahaja.
Lepas tu, sekarang aku kena bekerja
lebih masa pula. Bila lagi dapat
rehat ni? Eeee! Hantu punya bos! Kenapalah
semakin lama perangai Arrayyan ini semakin annoying? Argh!
Benci!!! Abby menyumpah seranah di dalam
hati.
Azham bangkit meninggalkan Abby dan
Arrayyan di dalam bilik. Abby melilau
mencari fail itu. Dengan penuh semangat
waja, semangat hendak makan sambal Diela,
dia meredah fail-fail yang menimbun itu tanpa
menghiraukan Arrayyan yang mencerlung
memandangnya.
“Yeayy!!! I got it! Yeah! I
got it! Uu.. uu... I got it!”
akibat terlalu gembira, Abby terkinja-kinja
di situ juga! Sekurang-kurangnya, tidak
perlulah dia berlapar! Arrayyan menahan
tawanya. Teruk betul budak latah seorang
ini rupanya. Lupa alam bila dah gembira!
“Abby!!!” jerkah Arrayyan kuat. Sengaja
hendak mematikan tarian kegemilangan gadis
itu. Abby pun apa lagi? Melatahlah
yang bukan-bukan.
“Opocot.. butir mak kau meletup
ter.....” mulutnya ditekup Arrayyan dan tubuhnya
tersandar ke almari
kayu.
Rapat dengan tubuh Arrayyan
yang hampir menindihnya.
Abby tersentak. Dia menahan nafas.
Dekat sungguh Arrayyan dengannya. Liur tak
tertelan! Deru nafas Arrayyan terasa panas
menyapa pipinya. Wangian Arrayyan
menusuk hidung. Rapat.
Mata bertentang mata.
Lama.
Arrayyan bagaikan terleka.
Wangian Abby. Mata
Abby yang memukau.
Tidak sedar dirinya
tertindih gadis itu.
Abby memberi isyarat
mata. Lepaskan saya.
Arrayyan bagaikan tersedar.
Mulut Abby dilepaskan
perlahan-lahan. Dia menjauhkan
diri mereka. Dia
berdeham. Cuba kawal
rasa ‘awkward’ yang datang
bertandang.
Abby menahan debaran
yang datang tanpa
diundang dan masih
tidak pergi sesudah
dihalau. Sesaat pandangan
matanya dengan Arrayyan
berkabung, cepat-cepat mereka
berdeham dan mengalihkan
pandangan. Masing-masing cuba
berlagak selamba sedangkan
wujud dengan ketara
kejanggalan di antara
mereka.
“His awak ni! Butir-butir mak orang
pun awak nak kaji ke?!” bebel
Arrayyan sambil membuat muka
tegangnya. Cuba membuang
rasa ‘tidak enak’
itu.
Tangan diseluk ke
kocek. Di dalam
kocek, tangan yang
menekup mulut Abby
itu digenggam erat.
Masih terasa basahnya
bibir Abby terkena
tapak tangannya. Senyuman
bahagia ditahan. Akan dia
bingkaikan tangan kanannya
itu. Mujur Abby
tidak menggigit tangannya
tadi dan mujur
juga tiada orang
yang melihat adegan
panas sebabak tadi.
Niatnya hendak menghentikan
latah Abby, tidak
sangka pula mereka
sama-sama tercampak ke
situasi awkward itu.
Mukanya sendiri sudah
naik malu akibat latahan Abby. Bab-bab
melucah, boleh tahan Abby ni. Melatah
yang tidak-tidak! Abby menahan rasa malu
apabila ditegur sebegitu. Muka Arrayyan
memang muka tahan
senyum! Buat dia
rasa nak maki!
Malu! Malu! Malu! Arrayyan yang
sudah tidak betah
lagi dengan situasi
kekok itu kemudiannya
mengambil fail-fail pada tangan Abby dan
pergi dari situ.
Eeee! Hantu punya bos!!! pekik hati Abby
geram. Malu sungguh dia rasa bila
ditegur sebegitu.
0 komen:
Post a Comment