SALAH SIAPA? 8


Bab 8
“CONGRATULATIONS!!” jerit mereka beramai-ramai. Semua ahli gym sudah berada di situ dengan pistol parti yang dihalakan ke arahnya. Sekejap sahaja, tubuhnya dipenuhi kertas-kertas yang jatuh dari langit. Hafizul tersengih-sengih sambil tangan ligat menjatuhkan kertas-kertas di atas kepalanya itu ke lantai.
Sebenarnya, dia rasa bangga apabila berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya. Itupun tadi dia nyaris sangat nak kalah. Berbaloi juga dia berlatih siang dan malam. Nyata, cabarannya akan lebih besar lagi pada masa akan datang. Dan dia akan terus mempertingkatkan latihan dan usahanya supaya kejadian di mana dia hampir kalah tadi tidak akan berlaku lagi. 
Ramai meraikan kemenangannya di gym milik Uncle Lim itu.
How was it?” soal Ikmal sambil menepuk bahu Hafizul. 
Tadi dia tiada peluang untuk berbual dengan Hafizul disebabkan Hafizul dijulang menjadi pemenang dan terlalu ramai orang mengerumuni Hafizul. Tidak cukup dengan itu, ada beberapa orang wartawan yang mula mengambil tempat untuk menjalankan tugas masing-masing. Sudahnya, dia membiarkan saja soalannya itu di dalam hati.
Exhausted.” Komennya sepatah. Mereka tergelak beramai-ramai sebaik sahaja menerima jawapan yang penuh selamba daripada Hafizul itu. Kasihan pada orang yang baru kembali bertinju itu. Tentu ia sesuatu yang memenatkan setelah lama berhenti dari sukan itu.
“Tahniah. Saya bangga sama you.” Ucap Uncle Lim sambil tersenyum lebar. Dia berjabat tangan dengan Hafizul dan menepuk-nepuk bahu Hafizul dengan muka bangganya. Bangga kerana anak buahnya menaikkan nama dia.
Thank you, uncle. Sebab unclelah saya kat sini.” Ucap Hafizul merendah diri. Terharu dia dengan apa yang Uncle Lim dah lakukan terhadapnya. Mendaftarkan dia ke dalam pertarungan itu bukanlah sesuatu yang mudah dan Uncle Lim sanggup bersusah-payah untuknya.
No worries la. You orang hebat. Saya tolak you, saya memang suwey.” Kata Uncle Lim bersama gelak besarnya. Hafizul ikut tergelak. Uncle Lim dah banyak tolong dia. Padahal dia tidaklah rapat mana pun dengan Uncle Lim. Tak macam Ikmal.
Thank you. For trusting me, Mal.” Hafizul menepuk bahu Ikmal. Terharu juga dia dengan pengorbanan Ikmal. Dalam sakit-sakit begitu, Ikmal masih mahu membantunya.
Make sure next battle, kau buat lagi hebat dari tadi. Aku tak nak orang banyak tumbuk kau. Pusingan pertama tadi dah macam seri kau tau tak? Menakutkan betul. Kalau aku tak percayakan kau, dah lama aku lari balik.” Ikmal menumbuk perlahan bahu Hafizul bersama senyuman ikhlasnya. Hafizul sengih.
“Insya-Allah lepas ni aku berlatih gigih...” kata Hafizul tanpa menjanjikan apa-apa. Dia perlu buat yang terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya sehingga ke pusingan akhir.
“Tak apa. Kau baru lagi berlatih, terus kena bertanding. Sebab tu nampak lemau tu. Lepas ni, kalau lemau lagi, aku tak tahulah nak kata apa.” Kata Ikmal. Hafizul hanya mampu menayang senyuman hambar. Nak tersenyum lebar pun tak boleh. Pipi terasa sakit-sakit.
“Kau kena regging aku.” Hafizul berkata kepada Ikmal. Dia mahu Ikmal melatihnya dengan teruk supaya dia lebih berdisiplin di masa yang akan datang.
My pleasure.” Tersenyum jahat Ikmal.
Banyak aktiviti berat yang akan Hafizul terima sebagai latihan di dalam otaknya. Berlari naik turun bukit. Membuat wall climbing berkali-kali untuk mengekalkan kecergasan fizikal. Berlari sebanyak sepuluh pusingan satu taman, dan kemudian dinaikkan sehingga dua ke tiga puluh pusingan sehari.
“Tak sabar aku nak torture kau.” Dia menepuk bahu Hafizul.
“Aku pun tak sabar, sayang.” gurau Hafizul.
“Kamu sangat setan!” Ikmal menyiku belakang badan Hafizul. Terkekeh-kekeh Hafizul ketawa tanpa memperdulikan rasa pedih di mukanya.
Selepas meraikan kemenangannya dengan makan besar beramai-ramai, Hafizul mengajak Ikmal melepak di rumahnya lagi. Ikmal tanpa banyak kata hanya menurut. Dia tahu sangat apa yang bermain di fikiran Hafizul itu. Sewaktu penat menamatkan masa pertama tadi, lelaki itu menyebut nama Aida. Dia tidak pekak lagi untuk tidak mendengarnya.

“AKU ingat aku nak jumpa jugaklah bini aku. Aku rindukan dia sangat-sangat. Tak tertahan sangat dah hati ni. Aku nak tahu keadaan dia. Keadaan anak aku.” Luah Hafizul pedih.
Rindu yang menyebabkan dia terasa hendak menangis. Malah, air matanya sudah bertakung. Bila-bila masa saja air matanya akan gugur. Dia memang lemah kalau melibatkan perasaannya terhadap Aida. Ikmal menepuk-nepuk bahu Hafizul di sisinya. Cuba menenangkan kawannya.
“Kalau kau rasa kau nak balik, takkan aku nak halang pula? Apa hak aku? Selama ni aku jugak yang suruh kau balik. Kau sendiri yang tak nak balik.” Kata Ikmal tenang. Hafizul melepaskan keluhan berat.
“Aku takut dia lari dari akulah, Mal. Teruk aku kalau dia lari lagi jauh. Aku nak cari dia kat mana lagi? Kau bukan tak tahu dia ugut aku pasal anak aku.” Ujar Hafizul penuh serabut.
Bukan dia tak nak balik. Mulut saja kata tak nak, tapi hati berkali-kali hendak balik. Tapi akal melarang kerana dia tahu Aida memang memaknakan ugutannya.
“Tak mungkinlah dia nak lari jauh dengan keadaan dia mengandung macam tu.” Ikmal bersuara tanpa rasa ragu.
“Dia tu jenis yang tekad. Aku kenallah bini aku. Dia dah lama berkawan baik dengan aku. Apa dia cakap, pasti dia akan tunaikan.” Hafizul yang sudah cukup mengenali Aida yakin akan ugutan Aida itu.
“Cuba kau tanya adik-adik dia macam mana.” Ikmal memberi cadangan.
“Rissa cakap, waktu aku bertinju tadi pun Aida lari masuk bilik. Asalnya dia nak alih channel. Tapi semua tak bagi. Terus dia masuk bilik. Muka usah cakaplah, masam aje. Tentu dia tak nak tengok muka aku lagi buat masa ni. Nak-nak dengan keadaan aku macam ni.” Hafizul mengeluh lagi untuk kali ke seterusnya. Pening dia dengan masalah yang melanda rumah tangganya.
Itupun mujur ada Arissa yang menghantar sms dengan mengucapkan tahniah kepadanya tadi. Boleh juga dia tahu perkembangan Aida di kampung. Selama ini pun memang Arissa dan Arman saja yang selalu memberitahu perkembangan Aida kepadanya. Nak harapkan Aris? Jangan haraplah. Entah-entah nombor dia pun Aris dah buang dari senarai kontak.
“Hmmm... kata hati kau macam mana? Nak tunggu sampai dia ingat? Entah sampai bila tu, wey. Kau sendiri pun tak pernah pegang perut dia. Kesianlah anak kau dalam perut tu...” Ikmal terpaksa untuk menggunakan kata-kata yang tidak menyedapkan hati sahabat karibnya.
Padanya, Hafizul perlu tahu juga kesan buruk sekiranya dia tidak bertemu dengan isterinya. Anak di dalam perut Aida tu perlu juga menerima usapan kasih sayang seorang bapa. Bukan hanya usapan Aida seorang saja. Itupun kalau Aida nak usaplah.
“Itu pasallah. Aku tak boleh expect bila dia nak ingat semula. Aku rasa dia takkan ingat semula dah. Sebab dah lebih dari tempoh jangkaan doktor. Doktor pun suruh aku bersedia dengan keadaan dia kalau dia tak dapat ingat semula. Demi Allah aku teringin sangat nak usap perut dia. Anak aku dalam tu, Mal...” Hafizul bersuara perlahan. Terkilan kerana tak dapat mengusap perut Aida.
“Hmmm. Aku ingatkan dalam drama aje ade kisah macam tu.” Ikmal buntu.
“Itulah. Aku pun ingatkan dalam tv aje.” Hafizul mengiakan. Tidak sangka, hidupnya serumit itu. Semuanya sebab kejadian malam itu. Sehingga kini dia terpaksa menanggung akibatnya.
“Kau ni okey ke tidak?” soal Ikmal.
“Tak okey.” pendek sahaja jawapan yang diberi. Memang dia tidak okey.
“Kau rehatlah.” Ikmal bangkit menggeliat. Matanya sudah mengantuk.
“Aku nak balik kampung. Aku rindu anak bini aku. Aku terfikir waktu kena debik tadi. Macam mana kalau aku mati? Macam mana kalau aku tak sempat jumpa mereka sampai aku mati?” soal Hafizul sedih. Itu yang berada dalam fikirannya sepanjang perlawanan tadi.
So, nak aku hantar kau balik kampung sekarang?” soal Ikmal. Hafizul menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Aku balik sendirilah. Kau tolong jaga rumah aku.” selamba sahaja jawapannya. Ikmal mengeluh. Degil sungguh Hafizul ini rupa-rupanya. Macam ini rupa-rupanya bila orang dah rindu bini.
“Wey, kau baru habis battle. Sekarang dah pukul satu pagi, Joi... bahaya. Kau sampai sana tentu-tentu pukul tiga lebih. Fikir keselamatanlah. Kau pun penat. Tunggu besoklah. Aku boleh hantarkan.” Nasihat Ikmal. Dia bimbang sesuatu yang tak elok berlaku kepada sahabat karibnya.
“Tak boleh. Aku rindu bini aku. Aku nak tengok muka dia, nak rasa baby aku kat perut dia...” Sebak sahaja nadanya. Ikmal mengeluh.
“Ikut kaulah, Joi. Yang pasti, besok aku tak nak jadi orang yang kena baca Yasin dekat majlis tahlil arwah kau.” Kata Ikmal mengalah. Tidak tahu bagaimana lagi cara hendak memujuk Hafizul. Kalau dia kata nak yang A, maknanya memang kena berikan dia A!

“MAN dah tidur ke?” soal Hafizul berbisik di talian. Arman membuka matanya sebaik sahaja terdengar suara itu. Jam telefon bimbit dilihat sebelum kembali melekapkan telefon bimbitnya ke telinga. Mengantuk. Mati-mati dia ingatkan Sarah, si kekasih hati yang menelefonnya.
“Sudah, bang. Kenapa?” soal Arman.
Sorry. Abang ada kat luar ni. Abang nak masuk. Abang rindu Aida.” Arman bangkit dari baringnya. Terkejut. Takkanlah sebaik sahaja habis pertarungan, Hafizul terus ke sini? Tak sakitkah badannya? Kepala digaru-garu seketika sebelum dia bergegas ke muka pintu.
“Nak ke mana Man?” soal Aris. Mati langkah Arman. Alamak! Aris? Kenapa dia belum tidur lagi? Macam mana kalau Aris tahu tentang kewujudan Hafizul di situ? Tentu teruk abangnya mendebik Hafizul. Sudahlah Hafizul baru saja didebik bertubi-tubi sewaktu perlawanan tadi.
“Err... ambil angin kat luar.” Kata Arman. Aris berpeluk tubuh. Dia memandang wajah adiknya yang sudah pucat itu dari atas ke bawah. Masih berpakaian tidur. Tapi, takkanlah pula sibuk nak ambil angin secara tiba-tiba?
“Nak dating dengan awek pagi-pagi macam ni?” soal Aris keras. Arman menggeleng-gelengkan kepalanya pantas. Ya Allah. Habislah dia.
“Err... tak adalah. Kenapa Along tak tidur lagi?” soal Arman tergagap-gagap. Bimbang melihat renungan Aris yang sepertinya sudah bersedia nak menelan dia hidup-hidup.
“Eh! Memang time macam inilah aku tidur. Aku tunggu bola. Half time.” Kata Aris sinis. Arman berkerut-kerut. Takkanlah Aris tidak mendengar kereta Hafizul di luar rumah? Atau Hafizul balik naik apa? Takkanlah jalan kaki pula! Aduhlah Arman!
“Kau tu pulak! Nak apa sebenarnya tercegat depan pintu tu?” soal Aris.
Bukannya dia tidak tahu yang Hafizul berada di luar. Dia nampak Hafizul keluar dari kereta sewaktu dia menilik keluar tingkap tadi. Cuma dia mahu Hafizul memberi salam sendiri. Buat gaya pengecut begitu, dia tidak suka sungguh. Entah apa yang menyebabkan Hafizul ke sini pun dia tidak tahu.
“Errr...” Arman tergagap-gagap. Hafizul yang tercegat di depan pintu sudah menarik nafas. Dia sudah mendengar semuanya. Kasihan pula dia pada Arman. Bukannya dia tak tahu yang Arman cukup takutkan Aris.
“Assalammualaikum.” Akhirnya dia memberi salam.
“Siapa?” soal Aris pada Arman walaupun dia sudah tahu siapa. Sengaja hendak menyakat adiknya yang sudah terketar-ketar ketakutan itu. Susah sangat ke untuk berterus terang?
“Err. Abang Pijoi.” Jawab Arman yang sudah berpeluh-peluh itu.
“Dia nak apa?” soal Aris lagi. Lebih tegas soalannya sebaik sahaja nama itu disebut.
“Bini dia...” kata Arman takut-takut. Bibir diketap... Aris punya baran, jangan sesekali diuji. Boleh terpelanting Arman dengan sekali jerkahan dari Aris.
“Suruh dia masuk.” ujar Aris sambil kembali duduk di hadapan tv. Dia bersilang kaki membelakangi pintu rumah.
“Hah?!” soal Arman terkejut. Biar betul?
“Kau dengar kan?” soal Aris menyergah.
“Ya, ya...” dah jadi macam bibik pula Arman disergahnya. Arman membuka pintu untuk Hafizul. Hafizul tersenyum hambar.
“Ya Allah. Ini rupa-rupanya efek lepas tinju tadi ye?” soal Arman terkejut.
Hafizul tersengih namun hanya seketika kerana kesan bengkak itu menyakitkan wajahnya. Memang dia maklum di tepi matanya terdapat kesam lebam. Juga di pipi. Kalau tidak memakai mouthguard tadi, entah berapa batang giginya terpelanting.
“Ye.” Jawab Hafizul sambil tersenyum. Tangannya mengangkut masuk beg di tangan. Sempat Arman menghulurkan salam.
“Aida kat mana?” soal Hafizul tidak sabar.
“Ada dalam bilik dialah.” Aris berkata dengan nada yang mendatar. Tadi, dia rasa nak belasah Hafizul sebab menjadi lelaki pengecut. Tetapi sebaik sahaja terlihat wajah Hafizul yang bengkak-bengkil itu, dia jadi simpati pula.
Hafizul menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Aris. Aris menyambut acuh tak acuh. Sejurus selepas itu, Hafizul meminta diri untuk masuk ke bilik Aida. Arman menunjuk arah bilik Aida kepada Hafizul. Sesudah itu, dia terus meninggalkan Hafizul untuk kembali tidur.
Tombol pintu dibuka. Gelap. Lampu bilik dibuka. Aida masih pulas tidur. Dia melangkah masuk ke dalam. Lampu kembali ditutup. Direbahkan tubuhnya ke sisi Aida dan ditarik tubuh yang memboyot itu rapat ke dadanya.
Rambut Aida dicium-cium. Rindu sungguh dia pada isterinya. Perut yang memboyot  itu diusap-usap. Sungguh dia rindukan Aida dan anaknya.
Tiba-tiba tapak tangannya merasa tindak balas lembut. Anaknya menendang-nendang mungkin. Atau mungkin anaknya sedang menggeliat. Tapak tangannya terasa benjolan di perut si isteri. Aida ikut menggeliat sedikit namun masih lena.
“Hey anak papa... rindukan papa?” bisiknya perlahan. Sekali lagi dia menerima tindak balas. Lembut. 
Dapat dia rasa air matanya bertakung. Memang tak sia-sia dia balik dalam kepenatan jika ini merupakan hadiahnya. Buat pertama kali, dia berasa sangat gembira, terharu dan bersyukur apabila menerima tindak balas dari anaknya.
“Aku rindukan kau dan anak kita, Da.” Bisik Hafizul ke telinga Aida bersama senyuman bahagia. Lenalah dia tidur hari ini jika bertemankan anak dan isteri.

KAKINYA terasa ditindih hari ini. Aida menggeliat ke arah lain tetapi pergerakannya agak terhad. Dia bagai ‘dikunci’ oleh kaki seseorang. Mungkin kaki Arissa. Arissa selalu mengalami mimpi ngeri sehingga masuk ke biliknya. Tetapi... kaki Arissa berat beginikah?
Kini tubuhnya dirangkul erat oleh tangan yang disangka Arissa itu. Tangan Arissa besar beginikah? Dia meraba tangan itu sehingga ke lengan. Lengan Arissa kasar beginikah? Tangannya meraba lagi sehingga ke atas lengan.
Tak berbaju dan... berotot! Tiba-tiba dia membuka matanya. Wajah Hafizul begitu hampir dengan wajahnya. Hampir sahaja dia menjerit akibat terlalu terkejut. Wajah suaminya bengkak bengkil. Mungkin inilah kesan bertinju dengan pihak lawannya semalam. Separuh hati menyuruh untuk menyentuh kesan bengkak-bengkil itu. Separuh lagi hatinya melarang keras.
Bila kesedarannya datang, rangkulan Hafizul dilepaskan. Tiba-tiba dia berasa jijik dengan pelukan lelaki itu. Lelaki inilah yang merosakkannya. Lelaki inilah yang membuatkan hidupnya huru-hara. Lelaki inilah yang mengkhianati dia sebagai kawan baik! Dan lelaki inilah yang menyebabkan dia dan keluarganya dicemuh.
Secepat mungkin Aida bangkit dari baringnya. Melihat pakaian yang masih bersarung di tubuhnya membuatkan dia sedikit lega. Kenapa Hafizul melanggar janji mereka? Kenapa Hafizul pulang juga ke kampung?
Walaupun hati berasa kasihan dengan wajah suaminya namun dia tidak mahu terbawa-bawa rasa simpati itu. Hafizul memang layak kena debik. Dia melangkah keluar. Orang pertama yang dia cari ialah Arman. Arman yang rapat dengan Hafizul. Arman yang selalu tidur lewat. Aris pun sama tapi... dia tetap rasa Arman ada bersekongkol dengan Hafizul.
“Man! Kenapa lelaki tu ada dalam bilik akak?” soal Aida geram. Arman tergagap-gagap.
“Dia laki kau.” Jawab Aris bagi pihak Arman. Achik, Ayah Chik dan Arissa yang tidak tahu menahu mengenai kewujudan Hafizul itu sudah tercengang-cengang.
“Pijoi ada kat sini?” soal Achik dengan mata yang membulat. Tak percaya dengan apa yang dia dengar. Selama ini, dia terlalu terkilan kerana Hafizul tidak pernah pulang ke kampung dan menjenguk-jenguk mereka.
“Ya, mak. Pagi tadi dia balik.” Arman mengiakan.
“Kenapa bagi dia tidur kat bilik aku?” soal Aida geram. Telinga si adik dipiat geram. Tangannya ditepis Aris. Arman sudah menggosok-gosok telinga yang sudah merah.
“Dia tu laki kau. Kat mana lagi laki kau nak tidur kalau bukan kat bilik kau? Bilik aku?” Aris menyoal sinis. Semalam, dia sendiri lihat betapa terdesaknya riak Hafizul yang merindui isteri dan anaknya. Walaupun rasa marah masih bersisa, tapi dia masih ada rasa simpati di dalam diri.
“Dia dah janji takkan datang ke kampung selagi aku tak maafkan dia!” Aida meninggikan suaranya juga. Aris membuntangkan matanya. Geram bila adiknya melawan kata.
“Kau ni, siapa ajar kau jadi macam ni? Dia nak tengok bini dia, apa salahnya?!” jerkah Aris.
Memang patut pun Hafizul tak pernah balik. Hafizul begitu takutkan Aida. Aida membuatnya untuk berjanji. Teruk sungguh! Dia fikirkan Hafizul yang terlalu bacul untuk bertentang mata dengan mereka. Mak dan ayah mereka juga sudah mengurut dada. Simpati tumpah pada Hafizul.
“Dia rosakkan hidup aku!” Aida menegas.
“Tapi tu bukan alasan untuk kau jadi isteri nusyuz!” Aris rasa nak lempang muka adiknya.
“Dia tak layak dapat layanan elok. Kau tak duduk dekat tempat aku, bolehlah kau cakap macam tu.” Aida mencemik. Ahli keluarga yang lain sekadar menjadi pemerhati. Sudah masak benar dengan pergaduhan adik-beradik itu. Setiap hari pasti ada pertelingkahan yang berlaku antara mereka sampaikan mereka sudah malas nak menegur.
“Kau ada bukti dia rosakkan hidup kau?” soal Aris pula.
“Ni buktinya!” Aida menunjuk perutnya yang membulat itu.
“Mana kau tau? Entah-entah kau yang rela dia usik kau waktu tu. Kau bukannya ingat pun kejadian tu sampai kau boleh letakkan dia seorang aje di situasi kau!” Aris mengamuk. Semua yang melihat tertelan liur.
Hafizul di dalam bilik pula masih nyenyak tidur. Tidak terganggu langsung dengan suara bising mereka di luar. Mungkin terlalu penat. Kalau mereka di tempat Hafizul pun pasti besok-besok lusa baru bangun. Penat dan sakit.
“Aris...” Ayah Chik menegur bila Aris mula menuduh melulu.
Aris mendengus geram. Melihat wajah Hafizul semalam... entahlah. Dia yakin ada sesuatu yang lelaki itu sembunyikan. Tentu ia berkaitan dengan kewujudan bayi dalam perut Aida itu. Benarkah anak itu anak Hafizul atau Hafizul sekadar menjadi kambing hitam sahaja?
“Dia yang mengaku dia dah rosakkan aku. Kau nak bukti apa lagi?” soal Aida pedih. Aris mengeluh. Entah kenapa, hatinya kuat menyatakan bahawa kesalahan itu bukan terletak di bahu Hafizul seorang.
Hafizul begitu cintakan Aida, itu yang dapat dia lihat dari dulu lagi. Dari usia Hafizul belasan tahun lagi. Kenapa baru sekarang Hafizul bertindak sesuatu yang bodoh begitu sedangkan mereka sudah bertahun-tahun berjauh dari keluarga?
Kenapa tak dari dulu lagi? Dia bukannya tak kenal Hafizul... kenapa baru sekarang?



0 komen:

Post a Comment

 

LunaSAMS Template by Ipietoon Cute Blog Design