Moga kisah ini menjadi tauladan kepada kita semua. Aamiin.
BAB
1
“MENGANDUNG?!!”
terkejut semua ahli keluarganya mendengar berita tergempar itu. Ibu bapa Aida lebih-lebih
lagi terperanjat. Masing-masing tangan mengurut dada. Bagaimana anak mereka itu
boleh mengandung sedangkan si gadis itu masih belum berkahwin? Si doktor mengangguk-anggukkan
kepalanya berkali-kali.
“Ya, dia mengandung. Nasib
baik kemalangan itu tidak menjejaskan kandungannya. Cuma, kepalanya mengalami hentakan
kuat. Ada sedikit kesan retak pada tengkoraknya. Saya berharap semua dapat bersabar
kerana dia masih belum mampu bertindak balas. Keadaan dia masih lemah. Saya berharap
agar orang terdekatnya boleh memberi kata-kata semangat pada dia terutama suaminya.”
Doktor itu beredar setelah berbicara agak lama di situ.
Terutama suaminya. Bagai terngiang-ngiang
patah kata itu di telinga masing-masing. Aida mana ada suami...
“Macam mana dia boleh mengandung?
Kita salah didik anak kita ke, bang?” soal si ibu sambil menangis kepiluan di bahu
si suami. Hampa. Kecewa dengan anak gadis yang telah diberikan didikan agama
yang cukup itu sanggup melakukan perlakuan tak senonoh begitu.
Hafizul yang sedari tadi menjadi
pendengar setia hanya menelan liur. Terketar-ketar tangannya mendengar berita itu.
Dia yakin di dalam perut Aida itu ada benihnya! Dia terduduk di kerusi dan menekur
lantai. Dia bakal bergelar bapa sebelum nikah? Apa ni? Aida...
“Pijoi, beritahu Achik...
macam mana boleh dia mengandung? Siapa yang buat dia mengandung? Dia liar ke kat
bumi KL ni?” soal si ibu dengan penuh kesal. Hafizul menarik nafas berat. Dia sudah
agak! Memang dia yang akan disoal oleh si ibu. Dia merupakan rakan karib Aida semenjak
kecil lagi. Dan soalan ibu kepada Aida itu hanya mampu dibalas dengan gelengan.
“Habis tu... dia kahwin
lari ke?” soal Achik lagi. Hafizul
tertunduk. Tidak menjawab juga.
“Pijoi, Ayah Cik tahu, mesti
Pijoi tahu rahsia dia. Mesti Pijoi simpan rahsia Aida. Tolong beritahu Ayah Cik
apa yang sebenarnya dah jadi ni?” soal Ayah Cik iaitu bapa kepada Aida pula. Soalan
yang lebih kepada rayuan itu menyebabkan Hafizul semakin berat hati.
Masing-masing menanti jawapan
daripada dia. Nafas ditarik lagi. Sesak nafasnya apabila disoal begitu. Aida...
dia masih terlantar sakit di katil hospital. Sepatutnya dia memang dapat agak. Mesti
Aida mengandung...
“Dia tak liar... dia tak
kahwin lari. Semua tu sebab saya. Anak dalam kandungan dia tu, anak saya. Saya yang
dah rosakkan dia. Saya akan bertanggung jawab. Maafkan saya, Ayah Chik. Saya tak
jaga dia.” Hafizul menunduk takut.
“Astaghfirullahalazim... kau
dah hilang pedoman ke, Pijoi?!” ternaik suara Ayah Cik mendengarnya. Achik pula
mengurut dada. Nak tumbang dia setelah mendengar berita itu.
“Ya Allah! Kasihannya anak
aku!” rintih Achik sedih. Hafizul tidak berani mengangkat muka. Pasti ibu bapa Aida
sedih mendengarnya. Dia yang selama ini diharapkan untuk menjaga Aida telah memusnahkan
harapan itu. Harapkan pagar, pagar makan padi.
“Bedebah kau!”
Kolar baju Hafizul dicekup.
Tumbukan padu daripada abang Aida, Aris singgah di pipi kanan Hafizul. Hafizul terjelepuk
ke bawah. Suasana jadi kecoh apabila Aris sekali lagi menumbuk Hafizul. Hafizul
tidak melawan. Ayah Chik dan Arman meleraikan pergaduhan itu dengan menarik tubuh
Aris menjauhi Hafizul.
Doktor dan staff ada yang
keluar melihat pergaduhan itu. Ada juga di antara pesakit yang menyaksikan apa yang
terjadi sebentar tadi. Masing-masing cuba memberikan amaran supaya tidak boleh berbuat
bising di hospital tersebut.
“Ris! Ni hospital!” Ayah Cik
menghalang. Kalau ikutkan, teringin dia nak beri ‘nasi tambah’. Geram dengan apa
yang dah berlaku.
Hafizul meraup wajahnya. Sakit...
sakit dipukul. Sakit ditanggung. Bagaimana dengan penerimaan Aida? Anak dia bagaimana?
Terimakah Aida pada anak itu nanti?
Dia ingin sekali menjenguk
Aida di dalam! Dia terlalu ingin. Itulah satu-satunya cinta sejati dia. Itulah satu-satunya
sahabat karib yang dia ada ketika susah dan senang. Mereka belajar di tempat yang
sama. Mereka bekerja di bawah bumbung yang sama... sekarang, tentunya dia tidak
akan diterima oleh keluarga Aida. Harapannya agar Aida tersedar dan sudi menerimanya...
“Kau jantan dayus!” jerkah
Aris lantas menyepak kaki Hafizul sebelum beredar dari situ. Hafizul hanya mampu
menangis. Kesilapan dia membuatkan semua yang rapat dengannya mula menjauh.
“DIA
dah sedar.” berita itu sampai ke pengetahuan Hafizul apabila doktor memberitahu
ahli keluarganya yang lain. Seluruh ahli keluarga Aida bergegas ke wad Aida namun
tidak Hafizul. Awal-awal lagi dia sudah diberi amaran agar tidak memunculkan diri
di hadapan Aida.
Meronta-ronta hatinya ingin
melihat perkembangan Aida.
“Aida panggil masuk!” suara
keras Aris memanggil Hafizul. Aris masih lagi tidak mahu memandang wajah Hafizul.
Hina sekali wajah itu di matanya walaupun berkali-kali Hafizul merayu agar
memaafkannya.
Hafizul masuk ke dalam wad
tanpa menunggu lama. Aris mendengus. Kalau bukan kerana mereka di hospital, tentu
dia sekali lagi ingin memecahkan muka Hafizul. Arman dan Arissa iaitu adik-adik
Aida memandang Hafizul dengan riak simpati. Hafizul begitu rapat dengan mereka.
Kesalahan yang Hafizul sudah
lakukan membuatkan mereka menjadi serba-salah untuk menegur pemuda itu. Mereka berdua
juga masih tidak percaya dengan apa yang dah berlaku. Mustahil Hafizul merosakkan
kakaknya? Setelah beberapa tahun mereka ke hulu ke hilir bersama... kenapa baru
sekarang Hafizul berubah tingkah?
“Aidaaaa.” panggil Hafizul
lembut. Wajah pucat Aida dipandang penuh simpati.
“Pijoi, apa sebenarnya
yang dah jadi ni?” soal Aida sambil memejamkan matanya dengan berat. Kepalanya tentu
masih sakit. Dia merengek sedih. Kawannya itu jugalah yang dicari dahulu.
“Kau accident.” Jawab Hafizul takut-takut.
“Aku accident?
Aku berlanggar dengan siapa?” soal Aida.
“Kau sendiri aje. Ada orang
langgar lampu merah waktu kereta kau dah jalan. Kau mengelak, langgar tiang. Dia
bawak laju, kejar traffic light. Dan
kau pun tentu tak expect...” ujar Hafizul
perlahan. Dia menghampiri Aida lantas duduk di kerusi kosong di sebelah katil wad.
Dia harus berani.
“Kelakar.” Aida tersenyum-senyum.
Hafizul berkerut pelik. Entah apa yang kelakarnya, dia pun tak tahu.
“Asal diorang semua macam
salahkan kau? Kenapa diaorang beria-ia nak suruh aku kahwin dengan kau?” soal Aida
lagi. Hafizul semakin ketakutan. Maknanya Aida masih lagi tidak tahu kisah sebenar.
Wajah Achik dipandang namun
wajah tua itu tidak lagi sudi memandangnya. Matanya singgah menatap wajah tua Ayah
Chik. Lelaki itu hanya mampu menunjukkan riak hampanya. Tentu semua kecewa dengan
dia. Kecewa yang teramat sangat. Anak gadis mereka yang sentiasa dipuji dengan keimanannya
akhirnya mengandung anak luar nikah kepada kawan baiknya sendiri.
Aida dan Hafizul berkawan
sekian lama. Ke mana saja pasti berdua. Kalau hendak ke kelas Iqra pun bersama.
Ke sekolah juga bersama. Pokok pangkalnya, ke mana Aida pergi, Hafizul pasti ada
sekali. Sekarang, mereka tidak sangka langsung perkara itu akan terjadi. Menyesal
kerana tidak mengehadkan hubungan persahabatan Aida dan Hafizul ketika mereka di
usia remaja.
“Cakaplah terus-terang weh.
Kenapa sampai kena kahwin ni? Kenapa tipu aku pasal aku accident? Kau orang sengaja nak gimik, ek?” soal Aida bila soalannya
tadi dibiarkan sepi.
“Mana ada aku tipu?” Hafizul
semakin kehairanan.
“Hah! Tak tipu? Aku ada kereta?
Lawak aje. Sejak bila pulak aku pandai bawak kereta?” Aida ketawa. Hafizul bertambah
pelik. Aida tak tahu bahawa dia mempunyai sebuah kereta? Macam mana boleh jadi macam
ini? Bukankah dulu Aida yang beria-ia mahukan kereta Proton Saga itu? Aida tak pandai
bawak kereta? Mengarut!
“Kau dah lupa ke kereta kau?”
soal Hafizul dengan kening yang berkerut-kerut. Bagaimana kalau Aida lupakan semuanya?
Habis, bagaimana dengan dia? Bagaimana dia hendak berhadapan dengan semua masalah
ini sendirian?
“Aku takde kereta!” Aida naik geram.
“Aida.” ibu dan bapa Aida
sudah bersuara cuak. Takkan Aida sudah lupa?
“Apa yang kau ingat tentang
hari sebelum kau terlantar kat sini?” Hafizul menyoal dengan debaran di dada. Rasa-rasanya,
dia boleh agak yang Aida lupa ingatan.
“Semalam? Kacang je! Baru
lagi semalam kita sambut birthday aku
dekat kolej kan? Korang buat surprise
kat aku? Lepas tu aku terjatuh, kan? Hari ni aku terjaga, dah ada kat sini dah.
Ke kau yang dah lupa ni, Joi?” soal Aida dengan penuh sinis. Geram pula dengan Hafizul
yang sengaja nak berlakon cuak di depannya itu.
Hafizul ternganga. Perkara
itu sudah berlaku lima tahun lepas! Ya! Peristiwa mereka baling telur dan tepung
di kolej sehingga dikenakan tindakan tatatertib kerana membuat kacau di kolej. Memang
ada Aida terhantuk lalu pengsan pada malam itu. Tapi keesokan harinya, Aida sedar
dan mereka menjalani kehidupan di kolej macam biasa.
“Aida, ini tak kelakarlah!”
Hafizul bersuara serius.
Bagaimana jika Aida lupa?
Bagaimana dia hendak terangkan kepada Aida mengenai anak mereka itu? Anak yang terjadi
atas kegoyahan imannya dulu? Dia takut! Takut sangat... kalau dulu dia ada Aida
dan keluarga Aida sebagai penguatnya, bagaimana pula sekarang?
“Sayang, zaman kolej sayang
dah beberapa tahun lepas berlalu.” ujar Achik pedih. Muka Aida berubah. Terkejut.
“Lima tahun lepas...” Hafizul
bersuara lemah. Mata Aida semakin membesar. Lima tahun lepas? Lama betul dia tidur.
Dia koma ke?
“Kau sengaja nak buat aku
panik, kan? Semalam seronok kau baling telur kat aku, hari ini kau buat perangai
macam ni pulak. Nak sambut birthday aku,
cepatlah sikit. Tak apa. Kat hospital pun aku boleh sambut. Mana kek aku?” soal
Aida.
“Aida, tak kelakarlah! Semalam
kau ada dekat sini lagi. Semalam kau ada kat sini! Dah tujuh hari kau tak sedarkan
diri. Takkan kau dah lupa?” Hafizul mendesak. Dia takut. Takut dengan apa yang dia
lihat.
Muka Aida bertambah keliru.
Wajah Hafizul dipandang pelik. Kata-kata Hafizul itu yang membuatkan dia pelik.
Takkanlah dah tujuh hari dia tak sedarkan diri? Memanglah dia ada terasa sakit dan
sengal-sengal badan tapi takkanlah dia tidak sedarkan diri selama tempoh itu?
“Sudahlah! Jangan nak menipu!
Tak kelakar pun.” Aida membentak. Tiba-tiba kepalanya terasa sakit.
“Kami tak tipu.” Ayah Cik
bersuara pilu. Aida memandang wajah orang tuanya. Dia perasan, kedutan di wajah
kedua orang tuanya itu bertambah. Ya. Mungkin betul kata mereka.
“Ayah, Aida tak nak kahwin
lagi. Aida muda lagi. Baru 21 tahun. Nak kena kahwin dengan kawan baik sendiri pulak.
Rasa sumbang! Orang dah anggap dia macam abang sendiri...” Aida bersuara sebak.
Dia tidak mahu berkahwin dengan Hafizul!
Dan dia tetap merasa usianya
baru saja 21 tahun. Takkanlah ingatannya dalam tempoh lima tahun itu lenyap begitu
saja? Dia tak boleh terima!
“Aida dah dua puluh enam tahun!
Aida mesti kahwin dengan dia!” Aris bersuara tegas. Dia memeluk tubuh dan menjeling
Hafizul geram. Hafizul tertelan liur. Aida memang benar-benar terlupakah dengan
apa yang berlaku? Habis nasib dia, bagaimana? Bagaimana dia hendak memberitahu tentang
anak mereka?
“Aida tak nak kahwinlah! Mak,
tengoklah Along ni, main paksa-paksa pulak! Tak naklah kahwin dengan kawan baik
sendiri. Gila ke?” Aida membentak. Hafizul tertunduk mendengarnya. Rasa macam kena
tikam bila Aida berkata begitu. Macam hina sangat kalau bernikah dengan sahabat
karib sendiri.
“Aida kena kahwin sayang.”
Achik berkata lantas menyembunyikan wajahnya yang pilu di belakang badan Ayah Chik.
“Kenapa semua suruh Aida kahwin?
Aida muda lagi! At least, bagi satu sebab
kenapa Aida mesti kahwin dengan kawan baik Aida sendiri!” Aida membentak.
“Sebab dalam perut Aida tu,
anak dia!” jerkah Aris yang sudah hilang sabar itu. Aida terdiam. Ternganga tidak
percaya. Dia menatap muka Hafizul yang mula memerah itu. Lama. Hafizul tidak berani
menatap wajahnya.
Adakah berita itu, benar? Melihat wajah Hafizul
yang gelisah dan hanya menunduk tanpa berkata apa sudah cukup meyakinkan dia bahawa
jawapannya ‘ya’.
“Pijoi. Betul ke?” soalnya.
Diam.
“Pijoi, jawablah!” desak Aida.
Dia mahu Hafizul menafikannya.
“Betul, Da. Anak aku.” Jawapan
Hafizul itu bagaikan guruh yang berdentum ke dadanya. Aida tersesak nafas. Dalam
perutnya ada benih Hafizul? Bagaimana perkara itu boleh terjadi sedangkan...
“Aku mengandungkan anak kau?
Macam mana boleh jadi macam ni? Pijoi, kenapa kau buat aku macam ni?” rintih Aida
sebak. Dia marah... campur sedih.
Hafizul semakin kehilangan
kata. Sesak nafasnya diajukan soalan begitu oleh Aida sendiri. Dia perlukan masa
untuk menjelaskannya. Yang pasti, tiada sesiapa yang akan melindungnya di belakang.
Dia bersendirian. Ikmal? Tentulah dia tidak perlukan bantuan rakannya itu untuk
menerangkan kejadian sebenar. Perkara mungkin akan jadi lebih teruk sekiranya Ikmal
terlibat sama.
Lagi pun, Aida tidak berapa
sukakan Ikmal. Dia tak suka kalau Hafizul rapat dengan Ikmal sangat. Kalau penjelasan
itu datang dari mulut Ikmal, pasti tiada sesiapa mahu percaya.
“Betul, Da. Malam tu...
aku. Maaf.” jawab Hafizul sebak. Aida menggeleng-gelengkan kepalanya. Bukan itu
jawapan yang dia nak dengar.
“Aku percayakan kau!”
Aida termenung. Air matanya turun membasahi pipi. Tak sangka dia dikhianati oleh
lelaki yang sangat dia percaya.
“Aida, aku minta maaf.”
Hafizul bersuara sebak. Rayuan Hafizul itu membuatkan rasa bencinya pada lelaki
itu berada di kemuncak.
“Aku percayakan kau!
Bodoh! Aku percayakan setan macam kau!” Aida tiba-tiba bagaikan dirasuk.
Dicampak bantal di belakangnya ke arah Hafizul. Hafizul tidak mengelak. Hanya
merelakan saja dirinya dicerca.
Akhirnya Aida berteleku
di situ setelah tiada apa lagi yang hendak dibaling. Dia penat. Penat sangat.
Hanya air mata yang setia menemaninya sekarang. Achik memeluk Aida erat. Dia
turut sama menangis. Bagaimanalah semua ini boleh terjadi?
“Dia kena bertanggung jawab
atas apa yang dia buat.” ujar Aris penuh dendam. Hafizul hanya mampu menunduk.
Dia sudah bersedia sejak awal
lagi. Dia memang tahu itulah yang bakal disuruh oleh keluarga Aida. Aida menggeleng.
Dia tidak mahu! Tidak mahu menatap muka Hafizul lagi. Patutlah semua tidak mahu
berbicara soal Hafizul. Rupa-rupanya, ini kesalahan Hafizul kepadanya! Terlalu
besar.
“Aku minta maaf. Aku tak minta
kejadian malam tu jadi. Aku tak sedar, aku minta maaf. Aku akan tanggung jawab pada
kau.” rayu Hafizul perlahan. Keluarga Aida sudah panas telinga mendengarnya. Masing-masing
mengacip gigi. Cuba menahan sabar dari membuat kecoh di situ.
“Aku tak nak kau kahwin dengan
aku! Jijik aku dengan kau! Ayah, izinkan Aida gugurkan anak ni.” Aida merayu. Hafizul
terkejut. Sampai hati Aida mahu membuang anaknya?
“Astaghfirullahalazim, Da!
Jangan buat pasal! Membunuh namanya tu. Ayah tak benarkan. Budak kecik tu tak ada
salah.” semua beristighfar mendengar kata-kata Aida itu. Ayah Chik kelihatan hampa
dengan pemikiran anaknya.
“Aida, jangan bunuh anak aku.
Tolonglah!” rayu Hafizul. Dia melutut di sisi katil Aida. Aida memandangnya
dengan muka bengis.
“Aku benci kau! Aku tak tahu
macam mana aku boleh jadi kawan kau selama ni! Aku jijik dengan kau Pijoi. Aku jijik.
Jantan gersang! Aku menyesal kenal kau! Menyesal sangat!” jerit Aida bagaikan orang
histeria. Hafizul turut menangis di situ. Perit dia rasakan bila melihat reaksi
Aida...
Aida, sumpah aku menyesal
lepas kejadian malam tu. Aku tak boleh tidur lena macam orang lain, Da. Aku mengaku,
iman aku tak kuat! Aku mengaku hal itu, Aida. Teruskan menghukum aku tapi jangan
kata kau menyesal kenal aku...
Siapa penulis novel ni ya?
ReplyDeleteMana ennding nya
ReplyDelete